Pastikan Kulit Bernafas

KUASA solekan mampu membuatkan wajah yang pucat serta kusam berubah menjadi sempurna apatah lagi jika ingin tampil manis dan menarik ketika menghadiri majlis.

Namun, sebelum mengambil keputusan untuk mencalit solekan pada wajah menggunakan kemahiran sendiri, perhatikan jenis dan warna kulit agar tidak kelihatan pelik di hadapan orang ramai.

Untuk mereka yang berkulit sawo matang, pemilihan warna dan cara solekan yang betul sememangnya penting untuk menampilkan kelainan pada wajah.

Sebelum memulakan solekan, wajah harus dibersihkan terlebih dulu bagi mengelakkan pori tersumbat dengan kotoran sekali gus membantu dalam pengeluaran jerawat.

Menurut jurusolek T Rose Beauty Saloon, Rosmawati Abdul Ghani, pemakaian serum atau semburan oksigen perlu digunakan selepas membersihkan wajah.

“Sebelum memulakan solekan, pemakaian semburan oksigen atau serum penting untuk memastikan kulit dapat bernafas terutama jika mengenakan mekap yang tebal.

“Jenis oksigen yang dipakai juga mempunyai kesan berbeza pada kulit. Semburan oksigen mempunyai ciri mudah menyerap ke dalam kulit namun ia lebih cepat kering berbanding serum yang juga boleh dijadikan sebagai pelembap khususnya jika kita memiliki kulit kering,” katanya.

Setelah menggunakan semburan oksigen atau serum mengikut jenis kulit, pemilihan solekan asas juga penting bagi memastikan wajah berubah menjadi sempurna.

Solekan asas mempunyai pelbagai warna dan jika memiliki kulit cerah, penggunaan rona hijau begitu sesuai bagi menonjolkan wajah gebu.

Bagi mereka yang berkulit sawo matang, gunakan solekan asas dengan menggabungkan rona hijau dan oren yang bertindak sebagai penutup cela serta menyamaratakan warna kulit.

Tambah Rosmawati, bedak asas juga penting untuk menambah kehalusan pada kulit wajah. Bagi mereka yang mempunyai kulit bermasalah, gabungan dua warna bedak asas seperti semula jadi dan tropika dapat menonjolkan ton lebih cerah atau semula jadi pada wajah.

“Caranya mudah dengan menekap bedak asas menggunakan span bermula dari bahagian bawah wajah ke atas untuk memastikan solekan tampak sekata.

“Setelah itu, gunakan bedak tabur atau kompak mengikut jenis kulit. Bagi mereka yang mempunyai kulit berminyak, penggunaan bedak tabur lebih baik kerana ia membantu menyerap minyak pada wajah manakala bedak kompak pula digunakan untuk menampilkan kulit gebu,” jelasnya mengenai teknik dalam solekan.

Seterusnya, bagi mendapat kesan mata galak, penggunaan warna asas pembayang mata iaitu putih harus dipakai di keseluruhan kelopak mata.

Ia dipakai pada permulaan kelopak mata dan menyentuh hingga ke tulang kening dan diakhiri di bahagian hujung mata. Tambah sempurna apabila celak digunakan di bahagian garisan atas dan bawah mata untuk menonjolkan lagi kecantikan diri.

“Pemakaian celak hanya dicalit pada bahagian garisan mata.. Untuk tampak lebih ceria, elakkan lukisan tajam di hujung mata.

“Tambah pembayang mata dengan gabungan rona merah dan hitam di keseluruhan kelopak mata jika kita memakai pakaian yang mempunyai banyak warna.

“Bahagian bawah mata juga harus dicalit dengan pembayang mata warna sama bagi memberi imbangan dan padanan sempurna dengan kelopak mata,” katanya.

Untuk melengkapkan lagi penampilan, gunakan pemerah pipi berwarna merah jambu ke oren mengikut bentuk muka bermula dari bahagian atas tulang pipi ke bawah.

Jangan lupa untuk mengenakan gincu serta pengilat bibir dengan menggabungkan warna gelap dan cerah bagi menonjolkan bentuk bibir diinginkan.

Terima kasih:

T Rose Beauty Saloon, Lot F-03A, Tok Yem Street Mall, Damansara Damai.

Model: Zulaikha Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

918 views