Pasu Teko Hiasan
Kata ibu penulis, rumah yang tiada jambangan bunga tampak lesu dan hambar. Kehadiran bunga hiasan meskipun kecil sememangnya boleh mengubah suasana dalam rumah menjadikan ia lebih berseri.
Jambangan bunga akan tambah cantik jika digandingkan dengan pasu yang unik. Ia akan jadi lebih eksklusif sekiranya pasu itu dibuat sendiri. Memang diakui ada banyak pasu bunga yang cantik di pasaran, tetapi jika dihasilkan sendiri, jambangan bunga anda akan kelihatan lebih menarik dan unik.
Ia mampu menampilkan kelainan dalam dekorasi rumah apatah lagi jika tidak memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi untuk menjadikan suasana rumah kelihatan lebih berseri.
Bahan yang digunakan juga mudah didapati dan kita tidak perlu bersesak ke kedai hiasan bagi mendapatkan pasu yang menarik.
Menurut Sharifah Noorakma Syed Abdullah, 26, penggunaan bahan sedia ada dan teknik ringkas memudahkan sesiapa saja menghasilkan pasu teko untuk hiasan meja tanpa mengeluarkan kos besar di samping dapat menampilkan dekorasi rumah yang unik.
“Gunakan bahan terbuang seperti surat khabar dan botol minuman plastik. Di samping mengurangkan kos perbelanjaan dan menjimatkan, ia juga dapat menggalakkan proses kita semula dan menjadikan sekeliling rumah lebih bersih.
“Sesiapa saja boleh melakukannya walaupun tidak mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pembuatan hiasan buatan tangan ini,” katanya.
Tambahnya, perkara penting yang perlu dilakukan ketika membuat pasu berbentuk teko ini ialah balutan surat khabar harus diratakan dengan sedikit air setiap kali ia digunakan.
Ia bertujuan untuk menjadikan balutan surat khabar lekat pada botol plastik dan strukturnya lebih kukuh. Ujarnya, bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran mengecat, gunakan saja syelek atau kertas majalah terpakai untuk menampilkan warna yang menarik, unik dan kreatif.
“Ketika membuat pasu bunga atau binaan pasu yang kukuh, gunakan gam kanji sebagai bahan pelekat. Untuk menyediakan gam kanji ini amat mudah, hanya bancuhkan tepung ubi dengan sedikit air, masak di atas api perlahan dan kacau hingga dapat kepekatan yang dikehendaki.
“Ia boleh dihasilkan dalam bentuk gam cair atau pekat, mengikut kesesuaian bahan hiasan. Gam kanji sesuai untuk membuat kraf tangan menggunakan surat khabar kerana mudah melekat selain menjimatkan kos,” katanya.
Sharifah Noorakma banyak menghasilkan barangan hiasan menggunakan material terbuang seperti surat khabar, botol kaca dan plastik serta kotak untuk dijual di galeri milik keluarga, Nur Al-Qhadri Unique Craft di Bandar Baru Sungai Udang, Melaka.
Bagi anda yang berminat, ikuti langkah mudah menghasilkan pasu bunga berbentuk teko untuk menyerikan rumah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.