Peka Keadaan Sekeliling

Sebut saja lokasi sama ada di rumah, dalam kereta, tepi jalan, kaki lima, lampu isyarat, stesen minyak, mesin ATM dan kini kawasan paling banyak berlaku kemalangan iaitu parkir kenderaan, hampir semuanya menjadi lokasi popular jenayah membabitkan wanita sebagai mangsa.

Malah ada antaranya berlaku di kawasan yang dianggap paling selamat seperti di rumah. Memang benar kemalangan tidak mengenal mangsa tetapi apa yang boleh dilakukan adalah membantu mengurangkan jenayah serta mengubah keadaan menjadi lebih baik.

Menyedari kebanyakan wanita mempunyai kesedaran yang sangat rendah mengenai ancaman jenayah, satu modul keselamatan peribadi untuk wanita diperkenalkan yang memberi penekanan mengenai pengetahuan dan kemahiran menerusi simulasi, permainan dan latihan dalam kumpulan.

Modul SAiF yang berasal daripada perkataan Arab bermaksud pedang atau aplikasi terpilih dalam pertempuran, diasaskan oleh Tuan Mazlan Tuan Hussein daripada Seven Layer Traning Consultancy Sdn Bhd. Ia memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pendekatan cara hidup kepahlawanan dengan memberi tumpuan kepada diri dan organisasi.

“Modul keselamatan peribadi wanita SAiF memberi tumpuan bagaimana wanita boleh mengelak sebelum berlaku krisis, menangani kejadian dan selepas berlaku kemalangan. Ia dihasilkan kerana setiap individu mempunyai gaya hidup berlainan jadi pendekatan bagi menangani situasi ini turut menggunakan kemahiran berbeza menerusi permainan ketika kursus dijalankan.

“Bagi memberi pemahaman jelas kepada wanita, kami menyediakan situasi, membiarkan mereka merasai dan memberikan tekanan terhadap penjenayah,” katanya yang banyak memberikan latihan kepada badan bukan kerajaan seperti Malakoff, Proton, Permata dan Maktab Tentera Diraja.

Perkara asas yang perlu diketahui dan diamalkan adalah mengenali kuasa jajahan dan tempat tinggal. Ini boleh dilakukan dengan mengambil tahu persekitaran, perjalanan pergi dan balik dari rumah ke tempat kerja, jarak di antara pondok polis terdekat dan nombor balai polis berhampiran untuk dihubungi.

“Wanita terutamanya harus mengambil tahu. Setidak-tidaknya jika berlaku perkara yang tidak diingini mereka tidak panik dan mampu mengatasinya,” ujarnya.

Arus kemodenan yang menyebabkan nilai kejiranan semakin luntur harus dikembalikan semula. Ini boleh dilakukan dengan mengenali jiran terdekat, ketua kampung atau ahli jawatankuasa kawasan serta nombor telefon mereka. Sekiranya berlaku kemalangan atau jenayah, individu boleh mendapatkan bantuan mereka.

Sekiranya terdapat perkara mencurigakan atau perasaan takut, segera hubungi polis. Kebiasaannya kata hati pertama itu benar dan harus dipercayai. Jangan berasa bersalah untuk menganggap seseorang mungkin berbahaya. Ini kerana kadang-kadang lelaki yang sopan atau mempunyai wajah yang baik sebenarnya mempunyai niat yang buruk. Jadi keselamatan itu lebih penting daripada keramahan orang yang tidak dikenali.

Perkara yang tidak diketahui wanita, kebanyakan jenayah berlaku disebabkan diri sendiri. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan adalah mengetahui sama ada anda menjadi tarikan kepada penjenayah. Misalnya, kejadian pecah cermin kereta yang sering berlaku disebabkan ada pemilik kenderaan meletakkan barang berharga seperti komputer riba, beg tangan, dompet, kasut, pakaian atau apa saja yang boleh menyumbang perasaan ingin tahu kepada penjenayah.

Bukan itu saja wanita yang sering menggunakan kemudahan awam turut menjadi mangsa penjenayah kerana mereka beranggapan golongan ini mudah diperdaya, tidak melawan dan mempunyai nilai.

Selain itu, wanita juga patut mengelak berada di tempat sunyi secara berseorangan selain menjaga batas berpakaian supaya tidak mendorong kepada rangsangan penjenayah. Walaupun cara berpakaian tidak boleh dijadikan ukuran kepada suatu kes jenayah, wanita dan remaja perempuan juga sukar untuk menafikan risiko mereka menjadi mangsa rogol, berbanding lelaki yang terdedah kepada samun, rompak dan ragut.

Malah kecenderungan penjenayah untuk mendekati wanita yang seksi berbanding mereka yang berpakaian menutup penuh sememangnya tinggi kerana akan timbul anggapan wanita begini mudah didekati.

“Bagi mengelak kejadian buruk atau mempertahan diri, wanita seharusnya mempunyai senjata yang dapat digunakan ketika berlaku ancaman. Senjata ini bukan semestinya benda tajam seperti pisau, sebaliknya semburan lada hitam, wisel, payung, kunci dan kasut dapat dijadikan senjata segera untuk menyelamatkan diri. Sekiranya diugut mereka seharusnya mempunyai dompet palsu untuk diserahkan kepada penjenayah,” ujarnya.

Perkara paling penting dan harus dielakkan adalah jangan berada di tempat yang salah, pada masa yang salah dan dengan individu yang salah kerana semua ini akan mengundang bahaya. Wanita juga sebolehnya harus mengetahui kemahiran mempertahankan diri yang diperoleh menerusi bengkel atau seminar.

Ini kerana kemungkinan seni bela diri seperti karate, silat atau taekwando yang dipelajari tidak dapat digunakan ketika dalam keadaan bahaya disebabkan panik dan takut.

Sasaran penjenayah

Penjenayah juga mempunyai senarai atau sasaran individu yang mungkin menjadi fokus dalam aktiviti jenayah mereka. Antaranya wanita yang kelihatan sungguh mesra, peramah, mereka yang tersesat jalan, pelupa atau mabuk. Golongan ini senang dimanipulasi dan dijadikan mangsa penjenayah.

Ujarnya, penggunaan gajet seperti telefon bimbit sering mengundang bahaya kepada wanita. Ini kerana penjenayah akan mencari wanita yang leka atau sedang menggunakan telefon bimbit dan fon telinga kerana mereka tidak mengambil tahu keadaan persekitaran.

“Bagi mengelak ancaman jenayah, wanita dinasihatkan tidak menggunakan telefon bimbit atau menghantar pesanan ringkas ketika berjalan kerana ia bakal mengundang padah. Penggunaan telefon juga akan menyebabkan wanita tidak sedar yang dia sedang diekori,” katanya.

Tuan Mazlan yang juga Ahli Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menasihatkan wanita supaya berhati-hati ketika berada di parkir kereta kerana kawasan ini menjadi lokasi popular penjenayah. Apa yang boleh dilakukan adalah mengelak meletakkan kenderaan berhampiran kenderaan besar, dinding atau tiang kerana ia biasanya menjadi tempat persembunyian pemangsa.

Akhir sekali, seseorang yang ‘digari’ iaitu mereka yang sedang mengangkat beg, barang atau menggendong kanak-kanak antara sasaran penjenayah. Untuk keselamatan, pastikan anda berteman dan jika barang terlalu banyak, minta pekerja kedai atau pengawal keselamatan membantu membawa barang ke kereta.

Selain mengetahui sasaran penjenayah, wanita harus berhati-hati ketika berada di lokasi tertentu seperti tempat letak kenderaan, lif, meja makan dan perhentian bas kerana ia biasanya menjadi tumpuan. Kelalaian akan menyebabkan anda menjadi mangsa. Terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti ketika berada di lokasi ini antaranya:

Parkir kenderaan

1. Pilih kawasan letak kereta yang selamat

Jika anda mempunyai pilihan, letak kenderaan di kawasan yang mempunyai sistem keselamatan seperti kamera litar, peronda, berpagar, di bawah cahaya lampu terang, berhampiran laluan pejalan kaki dan pintu masuk. Elakkan daripada menjawab atau menggunakan telefon ketika berjalan ke dalam bangunan.

2. Jalan terus dan jangan berlengah

Sebaik saja meletak kenderaan, jangan terus matikan enjin, perhatikan persekitaran dulu. Jika anda selesa, barulah matikan enjin dan keluar dengan cepat dan tidak berlengah-lengah. Sebaik keluar, kunci dan terus beredar menggunakan laluan kenderaan ke destinasi anda. Jangan lalu di antara celah kenderaan di situ.

3. Pastikan kereta dikunci

Pintu dan tingkap mesti sentiasa dikunci supaya penjenayah tidak boleh mencapai pemegang pintu dari luar kereta. Sejurus masuk ke dalam kereta, kunci segera pintu menggunakan kekunci pusat atau automatik.

4. Sorok barangan berharga

Jangan biarkan barang berharga seperti dompet, komputer dan beg bimbit terbiar di atas kerusi atau dapat dilihat dari luar. Ini mengundang pencuri memecah cermin tingkap dan meragut barangan berharga. Sebaiknya, sorok atau simpan di dalam but atau di tempat selamat.

5. Pastikan anda boleh melihat kereta

Jika berhenti sebentar untuk membuat pembayaran melalui mesin bayar automatik, cuba letakkan kenderaan anda paling hampir dengan mesin itu. Sediakan wang secukupnya supaya pembayaran dapat dilakukan dengan cepat. Perlu diingatkan, walaupun mesin itu dekat dengan kenderaan, anda hendaklah matikan enjin dan mengunci kenderaan. Jangan biarkan ia hidup walaupun sebentar.

6. Jangan letakkan kereta di tempat tersorok

Lori, van dan kenderaan berat lain menjadi tempat untuk penjenayah bersembunyi. Justeru, elak daripada meletakkan kereta di sebelah kenderaan lain atau di sebalik tiang atau tembok.

7. Masuk segera

Buka pintu dan masuk ke dalam kereta dengan segera tanpa berlengah. Perbuatan menanggalkan kot atau menyusun barang yang dibawa masuk mendedahkan anda kepada bahaya untuk diserang.

8. Imbas kawasan letak kereta

Apabila hendak pulang ke kereta, imbas persekitaran terlebih dulu. Waspada terhadap individu yang mencurigakan terutama yang duduk di dalam kenderaan sambil memerhatikan anda kerana mereka mungkin penjenayah yang menanti peluang atau merancang melakukan jenayah.

9. Pastikan anda masuk ke dalam kenderaan dengan meletakkan pinggul dulu kemudian kaki.

Ini kerana sekiranya anda diserang anda boleh menggunakan kaki untuk mempertahankan diri.

10. Kembali ke tempat selamat jika diekori

Jika merasa anda diekori ketika hendak ke kereta anda, segera kembali ke tempat yang lebih selamat. Cuba minta bantuan kawan atau kenalan untuk menemani anda ke kereta.

11. Pastikan kunci sentiasa di tangan

Pegang kunci kereta sehingga anda sampai ke destinasi. Begitu juga ketika hendak kembali ke kereta. Anda tentunya tidak mahu teraba-raba mencari kunci dan memberi peluang penjenayah menyerang dari belakang.

Lif

1. Elak menggunakan lif jika ada orang yang meragukan di dalamnya.

2. Wanita dinasihatkan supaya berada di hadapan pintu lif bukannya di belakang. Ini memudahkan sekiranya berlaku perkara tidak diingini dan senang melarikan diri.

Perhentian bas

1. Ambil tempat duduk paling belakang atau akhir. Jangan sesekali membiarkan ada individu lain di belakang anda kerana ini akan mengundang perkara tidak diingini.

2. Sekiranya ada individu mencurigakan, elakkan daripada duduk berhampiran dengannya. Pastikan beg tangan atau barang berharga berada dalam keadaan baik.

Mesin ATM

1. Jangan mengambil wang ketika tiada orang atau pada waktu malam.

2. Jangan keluarkan jumlah wang yang banyak sebaliknya guna kaedah pemindahan atau membayar bil menerusi dalam talian.

3. Sekiranya ada individu mencurigakan pergi ke kaunter lain atau bawa sesiapa menemani anda.

Meja makan

1. Pastikan cari meja di bahagian dalam dan bukan tepi kaki lima jalan.

2. Selepas duduk pastikan beg tangan diletakkan di atas riba dan bukannya di kerusi kosong.

3. Elakkan meletakkan telefon bimbit, kamera atau dompet di atas meja ketika sedang makan kerana ia akan menyebabkan barang berharga dicuri.

Jika bersama bayi

Semasa meletakkan bayi ke dalam kereta (pastikan bayi diletakkan selepas anda memasukkan barang). Masuk ke tempat duduk kereta belakang bersama bayi dan kunci pintu kereta. Pastikan tali pinggang keselamatan dipakai pada bayi.

Kemudian lihat keadaan sekeliling dan sentiasa bersedia dengan semburan lada dan terus ke tempat duduk pemandu dan kunci kereta.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus atau latihan, boleh menghubungi Seven Layer Traning Consultancy Sdn Bhd
(03-55236821 atau 03-61858260)

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

717 views