Pelajar Nakal Kini Terpuji

Ada rasa kekaguman saat memasuki pekarangan Wisma Hafiz yang terletak di tengah bandar Klang. Biasanya apabila disebut sekolah tahfiz pasti terbayang suasana di pinggir bandar, jauh daripada kesibukan kota dan deruan kenderaan. Namun apa yang penulis bayangkan meleset.

Di hadapan penulis tersergam bangunan menempatkan kelas pengajian al-Quran dan asrama untuk pelajar lelaki dan wanita. Ia satu senario biasa melihat sekumpulan remaja lelaki lengkap berjubah dan berserban manakala wanita berniqab melalui kawasan di sekitar bandar Klang.

Sejuk mata melihat mereka leka membaca tafsir al-Quran di taman yang disediakan berhampiran surau. Apabila azan Zuhur berkumandang sama ada lelaki mahu pun perempuan masing-masing berhenti melakukan kerja lalu berjalan menuju surau.

Keadaan ini menjadi rutin bagi pelajar tahfiz yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan jurusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat di Wisma Hafiz ini.

Ramai mempunyai latar belakang jurusan agama sejak di sekolah rendah atau menengah, namun ada juga yang memasuki Kolej Tahfiz semata-mata ingin berubah dan menjadi insan lebih baik.

Menurut Muhammad Hafidz Idris, 23, dia langsung tidak mempunyai kelulusan agama sama ada sekolah rendah atau menengah. Namun desakan hati begitu kuat untuk memasuki kolej yang menyediakan pendidikan al-Quran kerana ingin mengubah kehidupan menjadi lebih baik daripada sekarang.

Dia yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Hj Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang mengakui dia antara pelajar nakal di sekolah. Dengan hasrat ingin mengubah kehidupan menjadi lebih positif dengan amalan berdasarkan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad, suatu hari Hafidz terlihat di akhbar mengenai pengambilan pelajar baru di Kolej Tahfiz dalam jurusan Diploma Tahfiz al-Quran.

“Mulanya bapa sangat terkejut dan tidak percaya saya ingin menyambung pelajaran dan bidang al-Quran kerana sejak kecil saya termasuk dalam golongan pelajar nakal. Namun, dia mengangkat tangan tanda syukur kerana saya memilih bidang yang sangat baik dan menepati kehendaknya,” katanya.

Memasuki kolej pada Mei 2012, kini Hafidz dalam semester empat dan menamatkan pengajian dalam tempoh setahun lagi.

Menurutnya, walaupun langsung tiada asas hafazan al-Quran di sekolah, itu tidak menjadi masalah. Ini kerana dia sudah menetapkan azam untuk meneruskan bidang pengajian al-Quran sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke Mesir.

“Memang sejak hari pertama saya sudah berazam ingin belajar bersungguh-sungguh terutama dalam bidang hafazan. Alhamdulillah saya sudah menghafaz lima juzuk al-Quran yang saya sifatkan sangat luar biasa, teruja dan menenangkan jiwa,” katanya yang berasa bertuah kerana secara tidak langsung dia dapat memperbaiki solat dan amalan lain.

Ditanya apa perubahan paling nyata selain penampilan, jujur mengakui kini dia tidak lagi cepat marah. Malah, sifat negatif itu berjaya dikeluarkan dan diganti dengan perilaku terpuji mengikut sifat junjungan besar Nabi Muhammad.

Bagi Burhanuddin Uzer, 17, pelajar Sekolah Menengah Hafiz, minat untuk menjadi hafiz bermula sejak berada di sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Baru Hulu Selangor apabila terpilih menyertai hafazan peringkat kebangsaan dan negeri ketika darjah enam.

Melayari Internet mencari sekolah yang menyediakan pendidikan mengikut sukatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Burhanuddin bertemu laman web Wisma Hafiz lalu menyatakan kepada ibu bapa untuk menyambung pengajian di sini.

Anak ketiga daripada tujuh beradik ini berazam menghabiskan hafazan sebelum tamat tingkatan lima. Sudah menghafaz 23 juzuk al-Quran bagi remaja ini ia sesuatu yang sangat membanggakan dan menggembirakan bukan saja diri, tetapi juga keluarga. Ini kerana secara tidak langsung kehidupannya berubah untuk menampilkan perilaku yang benar-benar mengikut perlakuan baginda Nabi juga mengelak daripada mengambil makanan yang tidak sepatutnya.

“Untuk menjadi seorang hafiz perlakuan dan amalan pemakanan perlu dijaga. Ini kerana makanan yang tidak halal akan menjejaskan tumpuan. Begitu juga sekiranya akhlak tidak seiring dengan amalan ia akan menjadi pincang,” katanya yang ingin mendalami bahasa Arab selepas ini.

Fatinah Hanani Nurul Khalil, 20, pelajar jurusan Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat berazam mendalami al-Quran kerana ingin memperbetulkan bacaan menjadi lebih lancar. Dia yang mendapat pendidikan awal di Madrasah Darul Mujahidin di Klang sejak tingkatan satu hingga empat berazam menghabiskan hafazan sepenuhnya sebelum memikirkan sambungan pengajian selepas ini.

“Sejak awal lagi saya berazam ingin menghabiskan hafazan terlebih dulu sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti. Sangat penting memperkukuhkan ilmu al-Quran kerana di dalamnya terkandung pelbagai perkara yang tidak saya ketahui,” katanya yang sekarang sudah menghabiskan sembilan juzuk al-Quran.

Menurut anak sulung sembilan beradik ini, asas al-Quran sejak kecil sudah diterapkan di rumah apabila ayah yang bertugas sebagai guru agama sentiasa menekankan amalan membaca al-Quran sehingga dia bersama adik-beradik lain menjadikannya sebagai rutin harian.

“Jika tidak membaca seakan-akan hari saya tidak lengkap, hati tidak tenang dan tenteram. Begitu daya tarikan al-Quran kerana jika kita mendampinginya akan membuatkan semakin dekat dengannya. Begitu juga sebaliknya sekiranya menjauhkan diri, lama-kelamaan al-Quran semakin menjauh sehingga langsung tidak terdetik untuk membacanya,” ujarnya.

Dengan mengambil diploma di bidang qiraat, Fatinah berazam mengukuhkan pembacaan al-Quran daripada segi sebutan dan bunyi dengan betul.

Bagi Pengetua Kolej Hafiz yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (IPTAS) Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, 32, Kolej Hafiz yang ditubuhkan pada 1989 itu menawarkan bidang pengajian Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan semua graduan layak menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah dan Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang sama atau memilih mana-mana bidang berkaitan.

“Malah, kami dalam perancangan menambah pengajian baru iaitu Sains Komputer Tahfiz al-Quran kepada pelajar dan berusaha mendapatkan kerjasama daripada universiti tempatan yang berkaitan. Insya-Allah ia bakal dilaksanakan sedikit masa lagi,” katanya yang juga Juara Pencetus Ummah musim pertama siaran Astro Oasis.

Bukan itu saja pada 1993, Madrasah Hafiz Klang ditubuhkan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai profesional Islam menghafaz al-Quran dan kebanyakannya daripada Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

Bermula hanya sebagai pusat tuisyen untuk pelajar Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lama-kelamaan disebabkan adanya usrah serta qiamullail untuk pelajar yang dijalankan ayahnya sendiri, Muhammad Haneefa Hussin, menyebabkan ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke situ sehingga tidak dapat menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai.

“Dulu, sekolah ini hanya sebuah pusat tuisyen yang menyediakan mata pelajaran Sains dan Matematik serta kelas mengaji al-Quran sebagai pelajaran sampingan. Tetapi, berkat usaha ayah, ia berkembang menjadi sebuah Tadika Hafiz, Sekolah Rendah Hafiz, Sekolah Menengah Hafiz dan Kolej Hafiz yang menawarkan pengajian peringkat diploma,” katanya yang menjadi pelajar perintis untuk kelas akademik pada 1993.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

644 views