Pelajaran, Persatuan Seiring

Aktif berpersatuan tidak bermakna diri harus lupa pada pelajaran. Kedua-duanya perlu diseimbangkan bagi mencapai kecemerlangan berganda dalam hidup.

Itulah yang menjadi pegangan penerima anugerah tertinggi Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) iaitu anugerah Pandu Puteri Raja, Nidya Nishasri Selvadorai, 18.

Dia yang bersekolah di SMK Puchong Utama (1) mula serius menyertai aktiviti beruniform sejak berusia 10 tahun hingga tamat tingkatan lima.

Berada dalam kategori Pandu Puteri Ranger, Nidya mengakui gemar melakukan aktiviti lasak terutama bagi memupuk jati diri.

“Aktiviti badan beruniform ini banyak membantu saya membentuk personaliti diri supaya lebih tabah dan tahan lasak. Mungkin ramai beranggapan ia sekadar untuk bersuka-suka tetapi saya mengambil berat setiap perkara yang dilakukan.

“Jangan menganggap ia satu kekangan untuk berjaya dalam pelajaran kerana banyak perkara baru boleh dipelajari dan yang pasti, ia tiada dalam buku teks,” katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hingga kini dia berjaya mengumpulkan 24 lencana kecekapan PPPM. Minatnya itu juga mendapat sokongan keluarga walaupun pada mulanya mereka agak bimbang untuk melepaskannya menyertai aktiviti beruniform terbabit.

Bagi membuktikan keupayaannya, walaupun aktif berpersatuan, dia tetap memastikan bidang akademiknya berkembang seiring dengan pencapaiannya dalam bidang berkenaan.

“Saya mahu berada di tempat teratas dalam setiap bidang yang diceburi. Saya ingin membuktikan tidak salah untuk aktif berpersatuan tetapi pada masa sama, tidak mengabaikan pelajaran.

“Lagipun aktiviti pakaian seragam ini juga membantu meningkatkan kemahiran diri dan boleh mendapat ramai kawan dari seluruh dunia,” katanya.

Selain itu, bakatnya dalam bidang akademik turut terserlah apabila memperoleh anugerah pengetua, tokoh kokurikulum serta pelajar harapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya.

Aktiviti badan beruniform seperti ini bertujuan mendedahkan gadis kepada aktiviti kehidupan di luar yang serba mencabar serta membantu membangunkan keperibadian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Penerapan budaya sukarelawan yang tinggi dalam jiwa mereka supaya menjadi satu amalan murni dan menghindari sikap pentingkan diri sendiri perlu dilakukan sejak usia muda lagi.

Penyertaan sedemikian juga antara cara memupuk nilai perpaduan kerana program dilaksanakan tidak hanya tertumpu kepada satu kaum saja.

Sementara itu, Pandu Puteri Remaja, Rachel Wong Poh Yee, 14, pula menyertai aktiviti pakaian seragam ini untuk membentuk diri agar lebih berdikari.

Selain itu, katanya, kemahiran berkomunikasi juga mampu dipertingkatkan kerana setiap aktiviti dilakukan secara berkumpulan.

“Oleh itu, ia melatih diri untuk berinteraksi serta bertolak ansur serta menyelesaikan masalah secara bersepakat dengan ahli pasukan.

“Ia menjadi satu pendorong yang cukup berkesan dalam memastikan kejayaan sesebuah pasukan. Selain itu, setiap program dikendalikan secara santai dan bersahaja tetapi masih menitikberatkan kerjasama antara ahli pasukan,” katanya.

Dia yang belajar di tingkatan dua di SMK Sri Sentosa berkata, dulu banyak perkara yang tidak mampu dilakukannya sendirian tetapi kini segalanya berubah. Dia kini mampu mendirikan khemah, menggunakan ranting untuk menyalakan api serta melakukan bentuk ikatan lebih daripada 10 cara.

“Sebelum menyertai pasukan beruniform, memang sukar untuk saya melakukannya tetapi kini dalam sekelip mata, ia boleh dilaksanakan dengan mudah.

“Ada banyak kebaikan menerusi aktiviti sebegini dan saya akan terus menganggotainya selama yang boleh,” katanya.

Ahli Pandu Puteri Tunas (Brownie), Nur Affie Fasihah Abdul Rasid, 12, yang dicalonkan sebagai Pandu Puteri Tunas Harapan, menganggap penyertaan-nya dalam bidang kokurikulum sebegini bersifat antarabangsa.

Bersekolah di SK Kuala Kubu Bharu Satu, dia mula menyertai aktiviti pakaian seragam sejak berusia sembilan tahun.

Walaupun masih muda, Nur Affie Fasihah tidak pernah menjadikannya satu halangan untuk menyertai aktiviti luar.

“Setiap aktiviti yang dilakukan mengumpul ramai ahli PPPM, justeru saya mempunyai ramai rakan dari seluruh pelosok negeri.

“Paling membanggakan apabila berpeluang berkenalan dengan rakan asing yang hadir menyertai program. Ia meluaskan pandangan di samping mengenali budaya dan adat mereka,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datin Seri Zalillah Mohd Taib berkata, PPPM berasaskan aktiviti beruniform di sekolah tetapi setiap ahli berdaftar ialah ahli untuk seumur hidup.

“Terdapat 17 cawangan PPPM seluruh negara termasuk kawasan berkecuali iaitu Wilayah Persekutuan, Maktab Rendah Sains Mara serta maktab perguruan,” katanya.

INFO:

Persatuan Pandu Puteri Malaysia ditubuhkan pada 1916 dengan penubuhan pasukan pandu puteri di Sekolah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur di bawah kelolaan Getrude Ballard.

Ia didaftarkan dengan rasminya pada 1917 di ibu pejabat pandu puteri di Calcutta dan kemudian pusat pentadbirannya dipindahkan ke Singapura sehingga 1956.

Kemudian mulai 1957, ibu pejabat kebangsaan persatuan pandu puteri Malaysia terletak di Wisma Pandu Puteri, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.

Hingga kini, jumlah ahli yang menyertai persatuan beruniform ini seramai 80,000 orang di seluruh negara.

Penaungnya ialah Raja Permaisuri Agong manakala isteri Perdana Menteri ialah Yang Dipertua.

Ia ditadbir Lembaga Eksekutif Kebangsaan dan dipengerusikan Yang Dipertua.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

595 views