Pelajari Teknik Yang Betul
“Ketika mengandung anak sulung pada 1996, saya memang teruja. Saya mula membaca banyak buku mengenai kehamilan dan penjagaan bayi. Penyusuan susu ibu satu topik mengujakan, namun pada masa sama menakutkan saya.
“Banyak kisah berkaitan penyusuan susu ibu yang saya dengar terutama membabitkan masalah payudara bengkak, puting berdarah dan paling biasa jumlah susu tidak mencukupi.
“Sudah tentu saya membaca sebanyak mungkin mengenai penyusuan bayi dan menghadiri kelas pranatal,” katanya.
Tambahnya, selepas satu jam menghadiri kelas penyusuan, pengasas The Breastfeeding Advocates Network (TBAN), Gina Yong, berasa sangat yakin untuk memberikan susu badan kepada bayi selama dua tahun.
Berkongsi pengalaman selanjutnya, Gina memberitahu tatkala jururawat bertugas meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tangannya, dia ternyata sangat gembira.
Kali pertama dia menyusukan bayi, Gina terasa sangat sakit dan mula menjerit. Di fikirannya, dia tidak tahu menyusukan bayi itu menyakitkan.
Apabila diluahkan masalahnya kepada jururawat bertugas, dia menerima jawapan menghampakan dan menganggap harus menerima hakikat bahawa penyusuan bayi memang menyakitkan.
Disebabkan tiada pengalaman, dia percaya dengan kata-kata diberikan jururawat berkenaan dan cuba menahan kesakitan yang dirasai pada puting payudara ketika menyusukan bayi.
“Saya cuba hentikan penyusuan selama lima minit. Namun, kesakitan dirasai tidak berkurang dan anak mula menangis sebelum memujuknya dengan memberi susu semula.
“Kemudian, jururawat yang sama menegur dan menyuruh saya memberikan anak susu formula kerana bayi tidak puas menyusu. Katanya ia disebabkan tidak mempunyai jumlah susu yang banyak.
“Jururawat itu menyarankan saya memberi susu formula kerana anak lapar selain memberi masa padanya belajar menghisap dengan betul. Apabila saya melihat anak tidak lagi menangis, saya berasa tenang,” katanya.
Namun Gina akui, dia begitu tertekan dan kecewa kerana tidak berjaya menyusukan anak.
Selepas tiga hari berlalu, payudara Gina bengkak dua kali lebih besar daripada saiz biasa. Dia diberi nasihat supaya mengepam susu keluar bagi mengurangkan bengkak pada payudara yang menyebabkannya sakit.
Pada masa sama, ketika mengepam payudaranya untuk mengeluarkan susu, ia kelihatan bercampur dengan darah. Ketika itu, dia berasa putus asa dan mengambil keputusan tidak mahu memberikan anaknya susu badan selepas pengalaman kurang menyenangkan itu.
Gina berasa susu formula pilihan terbaik untuk anaknya apatah lagi selepas melihat sendiri jumlah susu badan yang dikeluarkan tidak banyak ditambah dengan kesakitan.
Namun, anggapannya meleset. Selepas sebulan, anaknya mula mengalami masalah ruam teruk hingga menyebabkannya menangis setiap pagi, petang dan malam apabila tubuhnya berasa tidak selesa.
Belajar daripada pengalaman
“Namun, kami bersyukur kerana anak sulung kini membesar dengan sihat. Saya melahirkan anak kedua di San Francisco, Amerika Syarikat.
“Kali ini, saya sudah tetapkan fikiran untuk memberikan anak dengan susu formula kerana tidak mahu kekecewaan lalu berulang. Tambahan pula saya sedar susu badan saya tidak mencukupi.
“Namun, ketika mahu melahirkan anak pihak hospital menjelaskan hospital terbabit mesra bayi yang memerlukan ibu memberi susu badan sepenuhnya kepada bayi,” katanya.
Fikirnya ketika itu, jika mahu memberi susu formula, dia terpaksa mencari hospital lain untuk melahirkan anak. Dia tidak mempunyai peluang lain dan terpaksa memberi susu badan kepada bayi dengan bantuan penasihat laktasi.
Tanpa disangka, dia berjaya menyusukan bayi keduanya selepas bekerja keras walaupun mengalami sedikit kesakitan pada payudara.
Selepas diberi nasihat dan tunjuk ajar mengenai teknik betul penyusuan, Gina berjaya menyusukan bayinya dengan selesa.
Namun, Gina melakukan kesilapan apabila memberi anaknya susu formula ketika tempoh menyusu badan. Ketika itu, dia merasakan jumlah pengeluaran susu badan semakin berkurangan selepas anak diberi susu formula.
Dia hanya sempat memberikan susu badan kepada anak keduanya selama empat bulan sebelum menambah dengan susu formula.
Belajar daripada pengalaman lalu, dia mengambil iktibar dan memberikan susu badan sepenuhnya kepada anak ketiga.
Ditambah dengan maklumat mengenai penyusuan dan mempelajari teknik yang betul, dia yakin dapat melalui semua halangan atau masalah yang ditanggung sebelum ini.
Ilmu diperoleh ketika menjadi sukarelawan di hospital Amerika Syarikat itu membuka mata Gina bahawa kekecewaan bukanlah pilihan untuk ibu memberikan susu badan sepenuhnya kepada bayi mereka sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Gina percaya semua ibu boleh memberikan susu badan kepada bayi mereka jika teknik digunakan betul selain mendapat sokongan penuh daripada orang sekeliling terutama suami dan keluarga.
Dia turut membuktikan dengan kejayaannya menyusukan anak ketiga dan keempat dengan susu badan secara eksklusif sehingga satu tahun.
Baginya, apabila menyentuh topik penyusuan susu ibu, ilmu sangat penting selain menyediakan diri dengan fakta betul berbanding mendengar cakap orang mengenai mitos pemberian susu badan.
“Kini, saya berasa sangat menyesal kerana tidak dapat memberi anak sulung dengan susu badan sepenuhnya. Anak sulung mempunyai banyak masalah kesihatan berbanding adik-beradiknya yang lain.
“Justeru, saya lebih suka memberi kesedaran kepada ibu bapa terutama jika kali pertama menimang cahaya mata mengenai kebaikan penyusuan susu ibu.
“Saya berasa puas jika misi ini berjaya dan lebih ramai wanita yang mahu menyusukan bayi mereka dengan susu badan berbanding susu formula,” katanya.
Sebagai penasihat penyusuan susu ibu, banyak ilmu dan pengalaman yang mahu dikongsi bersama ibu bapa lain sehingga merasakan dia tidak mampu melakukannya seorang diri.
Pada 2002, Gina kembali ke Malaysia dan mengambil kursus laktasi di Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum membuat keputusan untuk menyalurkan maklumat yang dipelajari kepada sesiapa saja.
Pada September 2009, Gina menubuhkan kumpulan Malaysian Breastfeeding Mummy di laman sosial Facebook sebelum menukarnya kepada TBAN untuk memudahkannya menyebarkan maklumat kepada ibu bapa yang ingin tahu mengenai susu
badan.
Tiga bulan penubuhannya, dia menerima hampir 1,000 ahli. Selepas tiga tahun berlalu, Gina membuka pusat berpantang kepada suami isteri yang memerlukan bantuan selepas melahirkan bayi di Bonda Villa, Kota Kemuning, Shah Alam.
Di pusat berkenaan, ibu yang berpantang akan disediakan dengan makanan sihat, tempat tinggal dan keperluan lain dengan sepenuhnya selain suami boleh tinggal bersama atau melawat jika mempunyai masa terluang.
Dibantu sembilan jururawat dan dua kaunselor, Daphne Lee dan Shirley Fan, Gina turut merancang untuk membuka cawangan pusat berpantang di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Januari depan.
Sementara itu, Gina menasihati ibu bapa supaya mencari ilmu berkaitan penyusuan susu ibu dan kelahiran sebelum mereka bersalin.
Dia berkata, 99 peratus ibu sebenarnya tidak mempunyai masalah jumlah pengeluaran susu ibu untuk diberi kepada anak asalkan mereka tahu teknik betul dalam penyusuan.