Pelbagai Gelagat, Pakaian Menarik

Meriah dan penuh semangat. Kehadiran pelbagai watak membuatkan ramai peserta masih mampu tersenyum meskipun ada yang mengah untuk menghabiskan jarak larian. Bahkan ia juga menceriakan suasana yang lembap selepas Kuala Lumpur disirami hujan pagi.

Inilah gambaran suasana acara larian amal, Bolathon dan jalan kaki dengan pakaian bertema, Masquerade Walk anjuran Persatuan Kebajikan Hope Worldwide Malaysia (Hope Worldwide) di Padang Merbok, ibu negara, baru-baru ini.

Acara bersempena sambutan pertandingan Bola Sepak Piala Dunia FIFA 2014 itu juga diadakan bagi mengutip dana untuk badan kebajikan berkenaan.

Dalam acara meriah itu ada dua kategori dipertandingkan iaitu jalan kaki dengan pakaian bertema sejauh tiga kilometer (km) dan larian bebas 10km.

Bagi Zarini Zainal Abidin, 33, dia tidak ketinggalan membawa anak perempuannya, Qasih Querra Zandra Abd Manan, yang baru berusia lima tahun untuk menyertai acara jalan kaki dengan pakaian bertema.

Menurut jurutera Tabung Haji Heavy Engineering Berhad dari Wangsa Maju itu lagi, suaminya, Abd Manan Ahmad tidak dapat menyertai acara itu kerana perlu menjaga bayi mereka yang berusia dua bulan setengah di rumah.

“Saya mula tertarik menyertai acara larian dan jalan kaki sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, bukanlah hendak terbabit secara serius dalam acara larian, hanya untuk suka-suka selain dapat mengeluarkan peluh dengan aktiviti yang menyihatkan badan.

“Bagaimanapun, kali ini saya gembira kerana ditemani Qasih dan syukurlah, dia tidak banyak ragam di sepanjang perjalanan selain turut bersemangat untuk menamatkan acara jalan kaki ini,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, pelbagai gelagat dan pakaian menarik daripada peserta dapat disaksikan sepanjang acara berlangsung.

Ada yang memakai baju adiwira Spider-Man, jersi pasukan kegemaran bersama ahli keluarga, membawa replika trofi Piala Dunia dan sotong kurita serta memakai perhiasan yang bertemakan bola.

Selain individu perseorangan, rakan penaja acara itu turut menghantar kakitangan masing-masing untuk menyertai acara berkenaan.

Antaranya, Starbucks Malaysia yang menghantar seramai 20 kakitangannya bagi menyertai acara yang jalan kaki dengan pakaian bertema.

Selain itu, turut diadakan acara cabutan nombor bertuah serta pertandingan futsal lelaki turut dijalankan untuk peserta.

Semua peserta larian dilepaskan sendiri oleh Pengarah Negara Hope Worldwide Malaysia Darick Wang dan Pengarah Eksekutif Hope Worlwide Malaysia, Katy Lee, tepat jam 7.30 pagi.

Wang ketika ditemui berkata, pihaknya gembira kerana acara kali ini menarik penyertaan 2,800 peserta daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa.

Wang berkata, acara kali ketiga sejak 2006 itu diadakan bersempena penganjuran acara bola sepak terulung, Piala Dunia FIFA di Brazil tidak lama lagi.

“Kami gembira acara amal bagi mengumpul dana ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan tidak sabar untuk mengadakan acara sebegini pada 2018 kelak.

“Meskipun terpaksa mengorbankan waktu tidur dan datang ke sini seawal jam 6 pagi, namun peserta tidak kira dewasa mahu pun kanak-kanak tetap komited.

“Semua dana yang dikumpul akan disalurkan kepada program amal kami dan harapan saya semoga masyarakat negara ini kekal menjalani kehidupan aktif serta pada masa yang sama, prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas acara amal itu.

Sementara itu, Katy pula berkata, selain larian berkenaan, pihaknya sebelum ini turut mengadakan pelbagai program amal membabitkan aspek kesihatan, pendidikan, sukarelawan, warga emas serta kanak-kanak di seluruh negara.

Kata beliau, Hope Worlwide juga membuka sebuah klinik di Sentul bagi membantu masyarakat setempat terutama pesakit kencing manis, lelah dan demam untuk mendapat rawatan secara percuma, “Klinik berkenaan dibuka sejak 1991 dan sehingga kini, ia sudah membantu merawat kira-kira 57,000 pesakit di kawasan berhampiran.

“Kebanyakan pesakit yang mendapat rawatan di klinik itu terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dengan pendapatan keluarga tidak melebihi RM1,000 sebulan.

“Usaha itu dilakukan bagi meringankan lagi beban masyarakat dalam mendapatkan kemudahan kesihatan yang mereka perlukan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

511 views