Pelihara Lembapan Pada Wajah

Untuk mendapatkan solekan yang lebih ringan pada wajah, teknik sapuan dan pemilihan warna sesuai adalah penting sebelum ia digunakan.

Namun, ia juga banyak dipengaruhi oleh kesihatan kulit wajah bagi mendapatkan kesan solekan yang lebih sempurna dan menarik.

Justeru, bagi memberi kefahaman mengenai penjagaan kulit dan teknik solekan yang lebih menarik, Bio-Oil menganjurkan bengkel kecantikan sempena Kempen Kesihatan Kulit Nasional baru-baru ini.

Menurut Pengurus Divisyen Bio-Oil, Low Hooi Wan, kempen berkenaan diadakan bagi berkongsi tip penjagaan kulit dan teknik bersolek yang betul.

“Sebenarnya masih ramai yang belum sedar dengan faedah penggunaan minyak bio terutamanya untuk muka. Sapuan pada muka dengan kuantiti minimum akan membantu melicinkan dan melembutkan kulit wajah.

“Ia juga membantu menyelesaikan masalah kulit selain mengekalkan seri tanpa mengenakan solekan berlebihan bagi menyembunyikan kekurangan pada wajah,” katanya pada bengkel berkenaan.

Sementara itu, Perunding Dermatologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Nazirin Ariffin berkata, penampilan wajah yang bersih akan memberi keyakinan kepada individu itu untuk tampil menarik.

“Kita akan rasa lebih yakin sekiranya berpuas hati dengan penampilan fizikal diri sendiri. Mujurlah, ia tidak membabitkan perbelanjaan besar atau proses pemulihan yang mahal.

“Ini kerana pemahaman mengenai keadaan kulit dan mengamalkan rejimen penjagaan kulit yang betul adalah cara terbaik untuk mendapat kulit sihat serta cantik,” katanya.

Tambahnya, lembapan pada kulit adalah komponen asas kepada penjagaan kulit setiap hari. Lapisan epidermis membentuk penghadang yang penting dalam melindungi lapisan kulit di bawahnya.

Namun, ia sering terganggu yang menyebabkan fungsinya terjejas dan mengakibatkan kehilangan air pada kulit. Justeru, lembapan sangat penting untuk menjaga lapisan penghadang ini bagi memastikan kulit kekal sihat dan berseri.

Pada bengkel berkenaan, jurusolek profesional, Monica Lee, turut hadir untuk berkongsi tip dan teknik solekan yang betul selain menunjukkan kesan sempurna dengan penggunaan minyak bio sebelum mengenakan alat mekap pada wajah.

Tidak sukar bagi mendapat solekan lebih rata dan menarik walaupun hanya menggunakan teknik solekan yang ringkas.

“Justeru, sapukan minyak bio terlebih dulu pada wajah untuk mengekalkan lembapan pada kulit. Malah, ia juga boleh dijadikan sebagai pelembap pada wajah.

“Sapuan minyak ini juga akan membantu menampilkan kilatan semula jadi pada wajah. Selepas itu, barulah kita ratakan dengan bedak asas.

“Gunakan juga bedak asas jenis krim mengikut kesesuaian kulit untuk memberi kesan segar pada wajah terutamanya dengan keadaan cuaca tidak menentu seperti di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, bedak asas jenis krim juga sesuai untuk memastikan solekan tahan lebih lama dan menampilkan wajah yang sempurna. Ia juga membantu sebagai penyamar noda yang berfungsi menutup cela atau warna tidak sekata untuk menjadikan wajah lebih cantik secara semula jadi.

“Ia boleh disapu menggunakan berus sesuai atau ditekap dengan jari. Berbeza dengan pemakaian bedak asas jenis cecair yang tidak sesuai diratakan menggunakan jari kerana ia akan menyebabkan sapuan tampak tidak sekata.

“Sapuan juga harus dilakukan secara satu persatu pada setiap kawasan wajah bagi mengelakkan ia kelihatan comot dan bertompok,” jelasnya. Penggunaan penyamar noda yang betul juga mempengaruhi penampilan wajah yang berseri. Jika ingin mendapatkan wajah yang lebih menarik, gunakan penyamar noda sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas mengenakan bedak asas.

Bagi yang masih belum mahir mengenakan alat solekan sebaiknya sapu penyamar noda selepas meratakan bedak asas bagi memastikan ia tidak digunakan secara berlebihan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

576 views