Pembersih Untuk Orang Dewasa, Bayi Berbeza
Sabun adalah sabun, bukan? Fungsinya hanya sebagai ejen pembersih kotoran khususnya yang melekat pada tubuh dan pakaian. Boleh dikatakan semua sabun mandi adalah sama, tidak kira dalam bentuk blok, serbuk mahupun cecair.
Justeru, apa saja yang dilihat sesuai untuk tubuh dirasakan baik juga untuk kegunaan si kecil. Alasannya, satu produk untuk seluruh isi rumah adalah lebih mudah dan menjimatkan.
Tetapi hakikat sebaliknya dan lebih buruk apabila ramai dalam kalangan masyarakat kita khususnya yang mempunyai keluarga besar berpegang kepada prinsip ini.
Kulit orang dewasa tidak sama dengan bayi dan kanak-kanak. Mungkin luarannya sama tapi kulit si kecil masih dalam proses pertumbuhan dan epidermisnya belum mencecah ketebalan seperti golongan dewasa.
Kulit adalah organ manusia yang terbesar dan luas permukaannya. Jika dibentangkan, ia dapat mencapai dua meter persegi dengan berat sekitar tiga ke empat kilogram.
Fungsi kulit sebagai pelindung terhadap air, suhu ekstrem, sinaran matahari dan bahan kimia. Sebagai sistem pertahanan badan, kulit perlu dijaga dan dirawat dengan sebaiknya.
Namun, ada perbezaan di antara kulit bayi dan orang dewasa dari segi struktur mahupun fungsinya. Masalah kulit si kecil juga tidak sama dengan masalah kulit yang dialami golongan dewasa, justeru, kulit bayi memerlukan penjagaan berbeza.
Perbezaan kulit kedua-duanya dari segi struktur membabitkan permukaan kulit, pertumbuhan lapisan kulit, pengedaran dan saiz kelenjar tertentu, organisasi saraf dan saluran serta pertumbuhan rambut.
Jelas Pakar Dermatologi Pediatrik di Hospital Kuala Lumpur, Dr Leong Kin Fon, epidermis atau lapisan luar kulit bayi adalah 30 peratus lebih nipis lalu membuatkannya kurang berdaya tahan berbanding kulit orang dewasa.
“Kulit bayi baru lahir mempunyai tahap pH lebih tinggi dan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk mencapai tahap pH optimum 5.5 hingga 6.
“Keadaan ini membuatkan kulit bayi lebih berisiko kepada jangkitan kerana sistem pertahanan kulitnya belum berkembang sepenuhnya.
“Sistem imun bayi juga belum dapat berfungsi sepenuhnya untuk melawan jangkitan disebabkan faktor luaran seperti kotoran, peluh, penggunaan sabun yang merengsa kulit dan sebagainya.
“Disebabkan itulah memandikan bayi dengan produk yang tidak sesuai akan memberi kesan sampingan dan menggalakkan masalah kerengsaan,” katanya.
Bagi menjaga kulit bayi, perkara yang perlu diambil kira dalam proses pembersihan ialah ia mampu menghilangkan kekotoran dengan berkesan, membantu mencegah jangkitan yang bukan saja membunuh kuman, malah mewujudkan persekitaran untuk bakteria baik membiak.
Tambahnya, banyak produk bayi di pasaran hari ini memberi tumpuan kepada penyingkiran kotoran dan membunuh kuman sehingga ke tahap 99.9 peratus.
“Produk pembersih yang sesuai untuk bayi tidak sepatutnya bertindak memusnahkan protein dan lipid semula jadi kulit manusia, mengganggu kadar pH kulit dan pada masa sama tidak mengakibatkan kerengsaan juga alahan.
“Biasanya, produk pembersih untuk menghilangkan kotoran mengandungi surfaktan iaitu bahan kimia yang boleh mengurangkan ketegangan permukaan cecair ketika diuraikan.
“Produk pembersih untuk orang dewasa pula kebanyakannya hanya mengandungi bahan kurang rengsa iaitu komposisi anionik, tapi tiada sebatian amfoterik iaitu bahan melembutkan kulit dan tidak memedihkan mata. Sebab itu, produk orang dewasa kebanyakannya tidak sesuai untuk bayi,” jelasnya.
Untuk bayi, disyorkan menggunakan produk pembersih yang mengandungi kombinasi anionik etoksilat, amfoterik dan bukan ionik iaitu molekul aktif yang tidak mempunyai cas elektrik.
“Penting bagi ibu bapa melengkapkan diri dengan pengetahuan seperti ini dan sentiasa periksa maklumat mengenai sesuatu produk pembersih sebelum membelinya.
“Selain itu, beri perhatian juga kepada produk yang dilabel organik kerana tidak semuanya sesuai untuk kulit bayi,” katanya.
Si comel ceria, selesa
Tidak sukar memelihara kesihatan kulit bayi dan tidak mudah pula mengekalkannya. Setiap tindakan ibu bapa walaupun kecil mampu memberi impak kepada si comel lalu memudaratkan kesihatannya.
Mendapatkan kulit yang lembut dan bebas masalah tidak mustahil dilakukan, cuma perlu diberi perhatian khusus terutama ketika membersihkan bayi menggunakan produk yang sesuai.
Kebanyakan bayi terdedah kepada masalah kerengsaan kulit pada awal kelahirannya dan jika tidak dicegah boleh berlarutan hingga enam ke sembilan bulan. Berikut beberapa langkah untuk mengenal pasti masalah dan mencegahnya.
Mengelakkan kerengsaan lampin
Jika kulit bayi mula kemerahan di bahagian lampin, itu menandakan kulit si kecil amat sensitif dan perlukan rawatan segera.
Kebanyakan kerengsaan yang disebabkan lampin berlaku kerana kulit bergesel dengan lampin yang terlalu ketat hingga tiada atau mengehadkan ruang pengudaraan.
Lampin basah juga boleh menjadi punca masalah ini, selain penggunaan bedak atau produk yang kandungannya terlalu berat untuk kulit bayi.
Atasinya dengan membiarkan kawasan lampin terdedah kepada udara seberapa lama yang boleh. Selain itu, tukar lampin basah segera, basuh kawasan alat sulit anak dengan sabun lembut dan air suam. Sapukan juga krim zink oksida sebelum memakaikan lampin baru.
Jerawat dan bintik putih
Jerawat pada bayi sama sekali tidak sama dengan apa yang dialami remaja. Kajian terkini mendapati jerawat dan bintik putih pada bayi berkait dengan jangkitan kulat, bukannya masalah minyak berlebihan.
Jerawat pada hidung dan pipi bayi biasanya hilang dengan sendiri selepas beberapa minggu. Tidak perlu menyapu losen atau ubat jerawat, cukup dengan membersihkan wajahnya menggunakan sabun lembut dan air suam.
Kulit kemerahan di bawah matahari
Sama seperti orang dewasa, bayi juga terdedah kepada selaran matahari apabila terlalu lama berada di luar rumah. Selaran yang berlaku pada bayi lebih buruk kesannya kerana kulit bayi masih belum terbentuk sepenuhnya. Justeru, ia membuatkan bayi mengalami kerengsaan dan kemerahan.
Penggunaan topi dan payung amat digalakkan tapi sebaiknya elakkan pendedahan secara terus kepada matahari sehingga bayi berusia enam bulan.
Jika terpaksa membawanya keluar rumah, sapukan krim tabir suria khusus untuk bayi di kawasan paling banyak terdedah cahaya matahari seperti pipi, hidung dan tangan. Krim zink oksida juga boleh digunakan pada bahagian berkenaan.