Penampilan Semula Jadi Kian Popular

Tatkala kaki melangkah, mata pasti tertumpu kepada pasangan mempelai yang anggun menawan dan segak bagai pinang dibelah dua. Si dara menyerlah dengan busana indah dilengkapi gaya solekan yang bukan saja memperlihatkan kejelitaan ratu sehari malah menonjolkan wajah semula jadi empunya diri.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan jurusolek dalam mengadunkan palet warna bersesuaian ton kulit serta rona pakaian agar pengantin tampil menyerlah serta tidak keterlaluan sehingga menampakkan perbezaan.

Menurut jurusolek Nurin Adlina Basir daripada Nurin Makeover Kuala Lumpur, berbeza pada zaman dulu pengantin inginkan gaya solekan luar biasa sehingga menampakkan perbezaan ketara. Ini bermaksud dari segi pemilihan warna, rona terang dan menyerlah bagi menimbulkan kesan berbeza sehingga menampakkan mempelai berlainan daripada wajah sebenar.

“Berbeza pada masa kini, dengan pelbagai alat solek di pasaran, solekan yang lebih terarah mengikut gaya selebriti sama ada untuk pernikahan dan persandingan semakin mendapat tempat. Rata-rata mempelai gemarkan penampilan semula jadi dengan gaya tersendiri,” katanya.

Dalam hal ini, teknik pemilihan warna sama ada pastel atau terang disesuaikan dengan sapuan bedak asas menjadikan solekan lebih menawan. Untuk majlis pernikahan, wajah disapu menggunakan rona cerah bagi menonjolkan keayuan. Dalam erti kata lain sapuan bedak digunakan agak nipis bagi menonjolkan kesegaran namun masih memperlihatkan gaya feminin wanita.

Ini bersesuaian dengan tema busana pernikahan yang kebiasaannya menggunakan rona lembut seperti putih, krim, kelabu, biru lembut dan merah jambu lembut sebagai pilihan.

“Warna terang dan garang patut dielakkan sama ada untuk solekan mahupun pemilihan busana. Ini kerana kedua-duanya tidak bersesuaian dengan tema akad nikah yang sepatutnya menonjolkan keserian serta kesegaran wanita dalam tema semula jadi,” kata Nurin.

Ini berbeza untuk majlis persandingan kerana solekan dikenakan perlu bertepatan dengan cita rasa mempelai yang inginkan raut wajah lebih glamor, anggun dan menyerlah dan pada masa sama, menampakkan riak semula jadi wanita.

Dalam hal ini solekan glamor harus diberi penekanan terutama dari segi pemilihan warna serta teknik sapuan pada wajah. Solekan sedikit tebal diberikan agar pengantin tampak lebih berseri, anggun serta segar sepanjang hari. Ini kerana pada hari persandingan pengantin perempuan akan menjadi tatapan umum dari hujung rambut hingga kaki. Oleh itu solekan mata harus diberi keutamaan agar kelihatan lebih galak, besar dan seksi.

Pemilihan rona segar seperti ungu, biru serta merah jambu dengan kombinasi coklat dan kelabu berkonsepkan gaya smokey mampu memperlihatkan sisi wajah berbeza. Hasilnya, mempelai bukan saja tampil menyerlah malah menonjolkan kejelitaan tatkala dipadankan dengan busana impian mereka.

Selain mata, jelas Nurin, sapuan rata bedak asas dengan pemilihan rona semula jadi sangat penting bagi mengelak wajah bertompok, apatah lagi dalam keadaan cuaca panas terutama sekiranya persandingan di taman.

“Sekiranya bedak asas mudah cair ia akan merosakkan solekan sehingga mencacatkan penampilan. Apa yang penting ialah pemilihan warna bedak asas supaya tidak berbeza dengan ton kulit dan selebihnya terpulang kepada jurusolek bagi menyesuaikan dengan teknik sapuan agar wajah tidak bertompok,” katanya.

Selepas itu, pilih koleksi warna gincu lembut seperti merah jambu atau merah dengan olesan pengilat bibir bagi menampakkan sedikit seksi. Apapun, kemahiran membentuk bayangan pada tulang pipi (shading) dan memakai bulu mata perlu dalam setiap solekan bagi menampakkan perubahan gaya mempelai.

Panduan solekan pengantin:

Elak solekan mengikut gaya semasa. Sebagai ratu sehari, solekan selamat dan cantik sangat praktikal.

Solekan berkurangan itu lebih baik terutama bagi mereka yang memiliki wajah dan kulit sedia cantik. Namun ia juga bergantung kepada keadaan kerana sekiranya terlalu bersederhana, ia mungkin akan nampak sangat biasa.

Pastikan alat solek digunakan kalis air seperti maskara dan celak untuk memastikan ia tidak luntur disebabkan peluh atau air mata.

Pilih warna pembayang mata yang selamat seperti rona tanah coklat dan gangsa. Namun, jika mahu bermain dengan warna, pilih variasi harmoni seperti ungu, biru, hijau dan merah jambu. Untuk kelihatan semula jadi, campurkan warna itu dengan pembayang mata coklat.

Untuk mengelak solekan bibir luntur, pastikan anda memakai rona gincu tahan lama atau pusam, kemudian disapu pengilat bibir.

Terima kasih:

Nurin Makeover

No 10-1, Jalan Rampai Niaga 1, Sri Rampai Business Park, Kuala Lumpur.

Facebook Butik Nurin Makeover Wedding, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,702 views