Pencapaian Diiktiraf Dunia

BERBUAL dengan ibu kepada tiga cahaya mata ini ibarat bertih digoreng, lancar bagaikan tiada noktah. Setiap baris ayat keluar dari mulutnya memberikan motivasi kepada sesiapa yang mendengar. Bijak, penuh kelembutan dan berhemah dan pada masa sama, sangat keras, berdisiplin dan seorang yang mementingkan pendidikan anak-anak antara personaliti dapat menggambarkan dirinya.

Mungkin benar kayu ukur kejayaan seseorang itu dapat dilihat menerusi cara dia dibesarkan dan di mana mendapat didikan. Zaman kanak-kanak yang dilalui wanita ini agak berbeza. Dipukul, dirotan, diikat pada pokok, direndam dalam kolah berisi air, antara hukuman yang pernah diterimanya.

Anak-anak tidak dibenarkan membantah dan perlu menerima keputusan ibu bapa dalam semua perkara. Peliknya walaupun diberikan hukuman menyakitkan, masing-masing tidak memberontak malah menunjukkan rasa hormat serta disiplin yang tinggi terhadap orang tua.

“Cara didikan dulu dan sekarang sangat berbeza. Ibu bapa terdahulu menggunakan pukulan untuk mendidik anak berbanding sekarang, pendekatan psikologi dan berdiplomasi menjadi pilihan. Ada juga yang mengatakan kekerasan akan membuatkan anak-anak tidak hormat ibu bapa dan menyebabkan mereka kurang kasih sayang.

“Tapi pada saya, kaedah sebegini menyebabkan saya menjadi manusia seperti sekarang,” ujar pemilik francais Smart Reader Kids, Datin Nor Hidayawati Jaafar.

Menurutnya, apa yang diajar ibu bapanya dulu dipraktikkan kepada tiga anak-anaknya, Nur Aisyah Misran, 7, Aiman Danial, 6, dan Adam Danial, 4. Dia mengakui sangat bertegas dengan mereka dan memukul sekiranya melakukan kesalahan besar.

Pukulan tidaklah sehingga mencederakan sebaliknya sekadar peringatan supaya mereka tahu apa yang dilakukan salah dan tidak akan mengulanginya. Psikologi pula hanya digunakan dalam sesetengah keadaan. Hasilnya, anak-anak menjadi lebih menghormati ibu bapa dan faham apa yang sepatutnya mereka lakukan sebagai seorang anak.

“Memang ramai ibu bapa tidak menggunakan pendekatan sebegini kerana lebih yakin kepada psikologi. Namun saya percaya, asuhan serta cara didikan orang terdahulu termasuk ibu bapa saya menjadikan kami enam beradik berjaya, berdisiplin serta menghormati orang tua,” katanya yang sangat berterima kasih kepada bapa, Jaafar Ab Wahid atas didikan diberikan kerana dari situ, dia diasuh untuk berjiwa kental, tidak takut cabaran serta berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

Buktinya pada usia 33 tahun di saat orang lain masih tercari-cari bidang perniagaan yang ingin diceburi, dia sudah mempunyai enam cawangan Smart Reader Kids di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Malah bersama rangkaian francais pendidikan terbesar ini, dia memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa dan kebangsaan antaranya menerima Anugerah Usahawan Francais Wanita 2011 di Stevie Awards New York, Amerika Syarikat, Anugerah Usahawan 2008 (Malaysia-Canada Business Council), Anugerah Usahawan Muda 2008 dan Anugerah Francaisi 2009 (Persatuan Francais Malaysia) selain merangkul Kategori Platinum dan Diamond pada Malam Anugerah Francaisi Smart Reader Worldwide pada 2009 dan 2010.

“Semua anugerah ini memberi semangat kepada saya untuk terus memberikan yang terbaik dalam pendidikan prasekolah. Malah, kejayaan merangkul anugerah Stevie paling besar kerana membabitkan semua wanita dari seluruh dunia,” jelasnya.

Bercerita lanjut bagaimana boleh menceburi perniagaan francais pendidikan dan bukannya makanan atau fesyen, wanita kelahiran Banting, Selangor ini mengakui pada mulanya dia ingin membuka restoran namun pada usia masih muda iaitu 23 tahun, ramai kurang yakin kemampuannya. Namun suatu hari dia melihat pencapaian anak saudara yang dihantar di sekolah Smart Reader Kids dan dari situ, dia mula tertarik.

“Saya teruja melihat kebolehan anak saudara yang cepat menguasai pelajaran dan boleh membaca pada usia empat tahun. Lantas saya nyatakan keinginan kepada suami untuk membuka perniagaan francais. Suami memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi menyebabkan saya bertekad ingin melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

“Selepas mendapat maklumat yang jelas, saya semakin tertarik. Menerusi francais ini saya tidak perlu membuat penyelidikan mengenai pasaran dan sistem pembelajaran kerana semua sudah disediakan. Apa yang perlu saya lakukan hanya mengikut apa yang sudah ditetapkan.

“Ini memudahkan saya menguruskannya selain menjaga kualiti sekolah dan pembelajaran kanak-kanak,” jelasnya yang membuka cawangan pertama di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi pada 2005.

Selepas dua tahun beroperasi, sambutan diterima sangat menggalakkan sehingga tidak mampu menampung jumlah pelajar. Ini mendorong Nor Hidayawati membuka cawangan seterusnya sehingga menjadikannya enam cawangan setakat ini.

Menurut lepasan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Putra Malaysia ini, selain mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik dan Sains, Nor Hidayawati menambah mata pelajaran fardu ain, jawi dan solat di setiap cawangan atas permintaan ibu bapa.

“Ini sebagai memenuhi permintaan ibu bapa yang sangat mementingkan pendidikan agama di peringkat prasekolah. Menyedari hal ini saya menambah kelas agama yang diajar ustaz dan ustazah selain menekankan pembelajaran asas sebagai persediaan memasuki tahun satu,” ujarnya.

Lapan tahun berkecimpung dalam bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak cabaran terpaksa dilalui terutama dalam memastikan kualiti pembelajaran serta penyediaan tenaga pengajar terlatih dalam bidang masing-masing.

Kini, anak-anak semakin bijak, ibu bapa pula mahukan yang terbaik serta sanggup mengeluarkan belanja untuk mendapatkan pendidikan.

“Sebagai pengetua dan pemilik francais, menjadi tanggungjawab menyediakan guru yang mampu memberikan pengajaran terbaik kepada anak-anak prasekolah. Sebab itu saya sangat mementingkan keselesaan tenaga pengajar supaya mereka kekal dalam tempoh yang lama.

“Sekiranya guru sering bertukar ganti ia turut menjejaskan pembelajaran serta memberi kesan kepada kualiti sekolah. Selain itu, keselamatan turut diberi penekanan kerana ia menjadi sebahagian tanggungjawab pihak sekolah,” jelasnya.

Sepanjang lapan tahun dalam bidang pendidikan kanak-kanak itu juga, dia menjadikan ketiga-tiga anaknya sebagai bukti untuk melihat setiap perubahan yang berlaku kepada mereka. Setiap perkara positif dijadikan panduan dalam menyampaikan pendidikan di sekolah.

Dengan perkembangan teknologi yang bergerak pantas juga persekitaran semasa yang memerlukan ibu bapa sentiasa berfikiran terbuka dan positif, Nor Hidayawati yakin mampu meneruskan perjuangan dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Pada masa sama, dia bertekad menjadikan Smart Reader Kids jenama pendidikan kanak-kanak terunggul di Malaysia.

Dia juga berharap dalam masa terdekat dapat meningkatkan mata pelajaran pendidikan Islam menjadi lebih bersepadu sesuai dengan kehendak serta keperluan semasa.

“Cadangan untuk menambah mata pelajaran agama sudah ada sejak dulu lagi. Namun apabila pihak pengurusan mencadangkan supaya aspek keagamaan diberi penekanan pada tahun akan datang, ia sesuatu yang cukup menggembirakan.

“Ini kerana apabila modul mata pelajaran sudah ada, ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan positif,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

602 views