Pendekatan Dakwah Fleksibel

Apabila membicarakan mengenai mualaf atau saudara baru isu kebajikan sering menjadi persoalan. Ini kerana terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui golongan ini sebaik melafazkan dua kalimah syahadah.

Dibuang keluarga dan tiada tempat bergantung antara isu besar yang dihadapi mereka. Lebih menyedihkan apabila umat Islam sendiri tidak membantu meringankan bebanan yang ditanggung ditambah kerenah birokrasi dalam jabatan agama Islam sehingga menyebabkan mualaf mengalami gangguan emosi dan tekanan jiwa. Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan tidak mustahil akan mengakibatkan golongan ini kembali kepada agama asal mereka.

Kebanyakan mualaf mengakui perkara pertama yang perlu diberi penekanan selepas memeluk Islam adalah sokongan keluarga dan masyarakat serta menyediakan kemudahan pembelajaran terutama berkaitan akidah. Ini kerana kebiasaannya mualaf merahsiakan penukaran agama dengan memeluk Islam dan akhirnya mereka dibuang keluarga apabila perkara ini diketahui ibu bapa. Hanya segelintir saja mendapat sokongan daripada saudara-mara serta teman rapat dan selebihnya terpaksa menjalani kehidupan bersendirian.

Apa yang menjadi masalah adalah apabila orang sekeliling tidak dapat menerima mualaf sehingga tergamak menghina dan melemparkan pelbagai kata-kata yang tidak enak didengar. Jika ini berlaku ke manakah hala tuju mualaf supaya mereka mampu menjalani kehidupan normal seperti orang Islam lain?

Menurut Perunding Interactive Da’wah Training (IDT), Firdaus Wong Wai Hung, pelbagai cabaran terpaksa dilalui mualaf sebaik melafazkan dua kalimah syahadah. Oleh kerana tiada pengetahuan agama mereka sepatutnya dipandu dan ditunjukkan jalan yang betul seperti tempat mempelajari agama Islam serta sumber kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Di sini pentingnya sebuah persatuan bagi menyelesaikan beberapa isu membabitkan mualaf dan IDT berperanan sebagai badan dakwah yang menyediakan kursus mengenai akidah bukan saja kepada mualaf tetapi umat Islam secara keseluruhan. Misalnya kursus perbandingan agama memberi penekanan pentingnya menguatkan kepercayaan kepada Allah sebelum ke peringkat seterusnya iaitu solat dan ibadat,” katanya.

Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 2003, IDT turut menjalankan aktiviti ziarah mualaf, seminar perkahwinan dan kursus Fardu Ain yang memberi peluang mengenali diri sendiri dengan lebih dekat. Cara dakwah yang lebih fleksibel digunakan misalnya dakwah jalanan dengan turun ke lokasi tertentu bagi menyebarkan agama Islam bukan saja kepada orang bukan Islam tetapi orang Islam yang mempunyai hak untuk ditarbiyahkan.

Dakwah jalanan

“Jika sebelum ini pendakwah mengambil pendekatan berdakwah di masjid, surau atau melalui ceramah agama namun dengan turun di jalanan atau ke kawasan ‘panas’ seperti Bukit Bintang dan Chow Kit, IDT mengambil peluang mendekatkan diri dengan golongan muda yang mempunyai latar belakang berbeza.

“Konsep dakwah jalanan ini sudah ada sejak zaman Nabi Muhamad SAW dan menjadi sunnah Nabi yang berdakwah di Makkah sama ada di masjid atau luar masjid. Kami mengedarkan risalah dan al-Quran terjemahan kepada orang Islam dan bukan Islam. Ramai yang terkejut kerana beranggapan al-Quran hanya boleh dibaca orang Islam saja,” katanya yang menjalankan dakwah jalanan di sekitar Bukit Bintang bersama beberapa sukarelawan IDT.

Selain IDT, turut sama menjalankan dakwah secara sukarela adalah Malaysia Reverted Muslim (MRM) yang ditubuhkan pada penghujung 2010 menerusi laman sosial Facebook. Objektif utamanya adalah untuk menyalurkan maklumat kepada orang Islam bagaimana berhadapan dengan mualaf yang tentunya memerlukan pendekatan berbeza.

“Selepas bertemu buat kali pertama dengan semua ahli MRM kami merasakan tidak banyak tumpuan diberikan kepada saudara baru yang menyebabkan mereka menjadi golongan terpinggir sedangkan banyak ruang boleh digunakan untuk mendekati golongan ini,” katanya.

Tidak menerima sebarang dana kerajaan, IDT dan MRM bergerak sendiri menggunakan modal daripada ahli persatuan. Setakat ini IDT mempunyai keahlian seramai 30 orang manakala MRM 40 orang. Ahlinya terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kerjaya masing-masing.

“Bagi mualaf yang memerlukan bantuan kewangan kami akan mendahulukan duit sendiri terlebih dulu. Namun sebenarnya tidak semua mualaf memerlukan bantuan kewangan tetapi lebih kepada kaunseling untuk meluahkan masalah. Misalnya ramai mualaf merahsiakan keagamaan mereka dan apabila diketahui mereka akan dibuang keluarga dan ditarik semua kemewahan sebelum ini. Di sinilah pentingnya IDT dan MRM dalam memperluaskan dakwah selain membantu memberikan sokongan moral,” ujarnya yang memberikan bantuan bergantung kepada keperluan mualaf.

Bantuan sama ada pakaian atau kewangan bertujuan membantu golongan ini supaya mereka dapat berdikari dalam jangkamasa pendek sebelum mendapatkan mata pencarian lain.

Cabaran berdakwah

Menurut salah seorang sukarelawan, Ng Kuan Beng, banyak cabaran terpaksa dihadapi ketika menjalankan aktiviti dakwah terutama daripada orang Islam sendiri.

“Misalnya apabila kami memberikan terjemahan al-Quran kepada orang bukan Islam, ramai mengejek dan meminta menghentikannya kerana dianggap kurang sesuai dan berdosa. Selain itu kami tidak mendapat sokongan daripada jabatan agama Islam dari segi sumbangan bagi memudahkan pergerakan. Bayangkan kami terpaksa menggunakan duit poket sendiri untuk semua aktiviti.

“Keadaan ini amat menyedihkan kerana sepatutnya kami menerima bantuan daripada badan kerajaan namun sebaliknya berlaku. Hanya Allah tempat kami berserah dan menjadi sumber kekuatan untuk terus menggerakkan kedua-dua persatuan,” katanya yang menggalakkan sesiapa saja memberikan sumbangan seperti buku dan al-Quran yang boleh dikongsi bersama.

Pada masa akan datang IDT akan membuka kelas pelbagai bahasa serta kemahiran yang akan diberikan secara percuma serta kursus Islam secara personal yang akan menjelaskan mengenai Apa Itu Islam.

“Kami ingin memperkenalkan dakwah secara lebih profesional sama seperti bidang lain yang berada dalam kedudukan tersendiri. Apa yang kita tahu jika peguam atau doktor dibayar pada gaji berdasarkan kemahiran mereka apa salahnya sekiranya pendakwah turut berada dalam landasan yang sama,” katanya.

Bagi Irma Syafrida Abd Majid yang turut menjadi sukarelawan IDT dan MRM serta turun ke jalanan memberikan risalah kepada orang ramai, dengan menyertai aktiviti bersama mualaf ia dapat mengeratkan perhubungan selain saling memberikan sokongan antara satu sama lain. Dia turut menghadapi masalah apabila suaminya menggunakan nama sebenar dan tidak menukar kepada nama Melayu atau Arab selepas memeluk Islam.

“Selepas melahirkan anak dan ingin mendaftarkan nama wujud konflik apabila nama ayah tidak dapat diletakkan di dalam surat beranak. Namun selepas bertemu dengan rakan mualaf lain yang turut mempunyai kisah sama barulah saya lega dan berpuas hati kerana hal ini tidak mendatangkan sebarang masalah. Berbeza bagi masyarakat Melayu kebiasaannya anak yang tidak diletakkan nama ayah adalah anak luar nikah namun ia tidak sama dengan apa yang saya lalui,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

584 views