Pengalaman, Ilmu Satu Kelebihan

Bidang fotografi mempunyai cabang yang luas, namun kemahiran yang dimiliki perlu diiktiraf. Pengiktirafan perlu ada bagi menjadikan bidang berkenaan terus diangkat dan dihormati.

Menurut pengasas Akademi Dianty Photo, Rosdiana Mohd Radzi, bidang fotografi sering dikaitkan dengan majlis perkahwinan saja, walhal ia mencakupi bidang yang cukup luas.

“Apabila bercakap mengenai jurugambar, ramai yang terbayang majlis perkahwinan. Untuk menjadi jurugambar bukan sekadar pandai mengambil gambar saja, malah perlu mengikuti kursus berkaitan. Ramai menganggap apabila mereka pandai mengambil gambar, individu itu sudah boleh menjadi jurugambar.

“Sebenarnya kepandaian itu masih belum mencukupi untuk menjadi jurugambar yang baik. Justeru, pada 2009 saya berbincang dengan pihak Kemahiran Malaysia untuk mewujudkan kursus dalam bidang ini,” katanya.

Akhirnya, pada 2010 kursus fotografi diwujud-kan dan Rosdiana menjadi pelajar wanita pertama yang menerima Sijil Kemahiran Malaysia tahap tiga.

Justeru, dia menganggap ilmu dimiliki perlu dikongsi bagi menjadikan bidang fotografi lebih dihormati dan diminati. Kursus fotografi yang dianjurkan memberi fokus terhadap cara pembelajaran yang berkesan iaitu memperbanyakkan kelas praktikal.

Bukan itu saja, peserta kursus turut diajar mengenai perjalanan pekerjaan yang betul bermula daripada mengambil gambar hingga menyentuh aspek etika ketika bertugas.

Modul yang diajar adalah kursus asas fotografi, pencahayaan studio, Adobe Photoshop dan kursus lanjutan.

Menariknya, peserta diajar bermula asas fotografi seperti cara memegang kamera, memetik gambar hingga ke teknik yang lebih mendalam.

“Ilmu dalam bidang fotografi ada banyak kepentingannya. Antaranya, kehadiran sijil bagi mengiktiraf kemahiran seseorang sebelum ia boleh digunakan dalam dunia fotografi.

“Kemahiran yang diiktiraf boleh menaikkan tangga gaji sebagai jurugambar yang berkaliber. Ini kerana, jurugambar memang diperlukan dan menjadi orang penting di dalam syarikat bagi merakam pelbagai peristiwa atau kejadian yang penting,” katanya.

Sesiapa saja yang berusia 16 hingga 40 tahun dan meminati bidang berkenaan boleh mengambil kursus fotografi terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, siswazah, suri rumah atau individu yang mahu menjana pendapatan sampingan.

Kebiasaannya, hanya 20 hingga 25 pelajar diambil dalam satu kelas bagi memastikan setiap ilmu dapat disampaikan secara berkesan.

Ujarnya, individu boleh belajar mengambil gambar menerusi Internet, namun kesannya sangat berbeza berbanding mereka yang berguru dengan tenaga pengajar mahir.

Baginya, jurugambar perlu meningkatkan nilai diri dengan ilmu dan memiliki sijil untuk supaya tidak dipandang rendah oleh golongan yang meragui kemampuan serta kemahiran jurugambar wanita. Pembelajaran melalui saluran betul mampu menghasilkan jurugambar yang beretika.

Rosdiana yang mengumpul pengalaman sejak 1988 dalam bidang berkenaan menganggap setiap individu yang berminat dalam fotografi perlu ada sijil, kemahiran yang baik dan cara betul sebelum dapat menjadi jurugambar yang berkebolehan.

Nasihatnya, individu yang mempunyai kemahiran di dalam bidang berkenaan lebih daripada empat tahun perlu mendapatkan sijil bagi mengiktiraf kemahiran dimiliki.

Jana pendapatan

Hazelin Ismail, 43, yang mengikuti kursus asas fotografi di Akademi Dianty Photo mengakui begitu meminati bidang berkenaan.

Namun pada masa sama, masalah kewangan menjadi penyebab dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk mendalami bidang fotografi tambahan pula yuran yang dikenakan agak mahal.

“Bagaikan memahami hasrat hati, tahun lalu saya diberi peluang untuk mengikuti kursus ini dengan bantuan Jabatan Pemba-ngunan Wanita (JPW).

“Saya gembira kerana dapat memantapkan kemahiran melalui kursus percuma selama lima hari. Ia sekali gus dapat memberi nilai tambahan dalam perniagaan aksesori dan coklat yang dijalankan di rumah.

“Gambar yang baik sa-ngat penting bagi menarik perhatian pelanggan. Selain itu, kemahiran mengambil gambar yang baik juga membantu menjadikan laman blog kita tampak lebih istimewa dan menarik,” katanya.

Tambahnya, kursus yang dihadiri itu sangat berbeza berdasarkan pe-ngalaman dikongsi rakan lain yang pernah mengikuti kursus fotografi di tempat berlainan.

Bezanya adalah teknik pengajaran dan pembelajaran. Di sini, tenaga pengajar menekankan latihan amali untuk memahirkan mereka dengan teori yang dipelajari.

Ia bagi memudahkan pelajar memahami asas fotografi yang betul sebelum dapat menghasilkan gambar yang baik dan menarik mengikut kreativiti masing-masing.

“Bukan itu saja, kami juga diajar cara menggunakan peralatan atau objek yang ada di sekeliling bagi menjadikan gambar yang dirakam tampak lebih menyerlah dan istimewa.

“Gambar yang baik boleh dihasilkan tanpa memerlukan peralatan atau objek yang mahal, asalkan kita bijak menggunakan prop sedia ada,” katanya.

Ujar ibu tunggal kepada empat cahaya mata ini lagi, kemahiran dalam bidang fotografi akan digunakan sebaik mungkin, apatah lagi wanita ini gemar merakam gambar landskap tatkala melancong.

Malah, menerusi kemahiran dimiliki juga boleh digunakan untuk mengambil gambar hidangan untuk dimuat naik ke blog miliknya.

Untuk perancangan akan datang, Hazelin mahu menjadi jurugambar sambilan terlebih dulu sebelum kemahirannya dikembangkan dengan membuka kedai sendiri.

“Saya harus memikirkan cara menjana pendapatan dengan kemahiran ini apatah lagi memiliki anak istimewa yang perlu diberi perhatian. Jadi dengan bekerja sendiri, saya dapat meluangkan lebih banyak masa menjaga dan mendidik anak,” katanya.

Baginya, bidang fotografi mempunyai cabang yang luas. Ia bukan hanya sesuai untuk mereka yang mahu membuka perniagaan dan memantapkan kerjaya saja, malah ilmu berkenaan juga boleh dipelajari oleh mereka yang mempunyai hobi mengambil gambar.

Jika bijak bermain de-ngan kreativiti, kemahiran ini boleh menjadi sumber pendapatan khususnya bagi wanita yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ubah kehidupan

Noraini Che Amat, 36, bertugas sebagai kerani di syarikat minyak dan gas, namun dia bijak memanfaatkan masa dan kemahirannya sebagai jurugambar sambilan dan jurusolek.

Tidakkah penat melakukan tiga pekerjaan? Namun bagi wanita muda ini, soal penat dan sibuk tidak timbul. Semuanya dilakukan kerana minat. Malah dia rasa puas hati kerana masanya digunakan sepenuhnya untuk meneroka dua bidang yang disukainya.

“Saya mula membabit-kan diri di dalam bidang fotografi pada 2007. Pada mulanya saya hanya me-ngambil gambar mengikut kreativiti sendiri. Tetapi pada 2010, saya mula terfikir untuk belajar selok-belok fotografi secara teratur dan akhirnya saya memiliki sijil asas pertengahan fotografi daripada Akademi Nikonian.

“Saya mahu mengetahui dengan lebih lanjut teknik, tetapan kamera, komposisi dan pencahayaan bagi mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.

Tanpa jemu mendapat-kan ilmu berguna, Noraini kemudiannya mengikuti Program Belia Mahir 1 Malaysia Latihan Kemahiran Tidak Formal (Kursus Asas dan Pertengahan Fotografi) anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Negeri Sembilan dengan kerjasama ASFON Negeri Sembilan pada tahun 2011.

Selepas tamat kursus, dia tertarik pula dengan iklan di akhbar tempatan untuk meneruskan pe-ngajian dalam bidang fotografi di peringkat yang lebih tinggi iaitu Diploma Eksekutif Fotografi Kreatif dan Pengimejan Digital di UTMSPACE, Universiti Teknologi Malaysia pada Jun 2011.

Bukan itu saja, dia juga mengikuti banyak lagi kursus untuk menambah kemahiran dan ilmu pe-ngetahuan yang diperlukan dalam bidang berkenaan.

Ujarnya, dia gemar berkarya melalui fotografi. Justeru, menerusi kursus yang disertai dia boleh berinteraksi, bertukar pendapat dan ilmu selain dapat berjumpa dengan ramai rakan baru yang mempu-nyai minat sama.

“Saya memilih bidang ini kerana minat. Minat mengambil gambar dan sifat ingin tahu menyebab-kan saya mengikuti kelas fotografi ini.

“Bagi saya fotografi adalah satu terapi minda yang membantu menghilangkan tekanan setiap kali merakam gambar,” katanya.

Jelas wanita yang suka berkarya melalui fotografi ini lagi, dia mahu mengubah kerjaya dan memperbaiki kehidupannya. Dia mahu menggenggam gelaran jurufoto yang disegani dan mempunyai pendapatan stabil.

Bagi mencapai impian diidamkan, dia harus memperbaiki teknik merakam gambar selain mencari idea untuk mendapat-kan sentuhan terbaik.

Wanita bercita-cita ting-gi ini juga mahu mencipta nama dengan cara serta teknik sendiri agar segala hasilnya dihargai oleh setiap mata yang memandang.

Pada masa sama, Noraini juga mempelajari selok-belok perniagaan, pengurusan dan kerjaya di dalam berkenaan. Noraini tahu dia perlu mencari keyakinan dan arah tuju sendiri untuk menjadikan bidang fotografi sebagai kerjaya yang biasanya dikuasai lelaki.

“Tidak ada guna memiliki kamera yang berharga ribuan ringgit, tapi tiada ilmu untuk mengendalikannya. Kemahiran merakam gambar ini amat penting kerana cabang kerjaya dalam fotografi semakin luas dan mencabar.

“Peluang dan permintaan semakin tinggi. Persaingan juga semakin hebat. Jurufoto wanita perlu mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri,” katanya.

Paling penting, perlu sentiasa membuka hati untuk menambah ilmu dan memperbaiki kemahiran atau teknik yang sedia ada supaya ‘karya’ mereka akan lebih dihargai.

Hasil kreativiti Noraini atau lebih dikenali de-ngan nama panggilan Nora Amarmin boleh dilihat menerusi Facebook, Nora Amarmin Clickerz.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

614 views