Pengalaman Jadi Sandaran

Pengalaman menguruskan pelanggan dari seluruh rantau Asia ketika bertugas di sebuah syarikat perhubungan awam bereputasi tinggi di ibu negara dijadikan landasan buat wanita manis ini, Nur Hidayah Abu Kasim, 29, mengorak langkah baru dengan menubuhkan perniagaannya sendiri.

Selepas puas menimba pengalaman berharga, Nur Hidayah mengambil keputusan menubuhkan syarikat perhubungan awamnya sendiri, Whitehorn Productions pada Disember 2012.

Semuanya bermula selepas ibu muda itu bertemu dengan suaminya, Aidan Arsh Jan Kruithof, 35, seorang warga Belanda ketika masih bertugas sebagai pegawai perhubungan awam di syarikat lama.

Pada awalnya, hubungan berkenaan hanyalah berkaitan perniagaan dan mempromosikan produk memandangkan Aidan seorang pemuzik, deejay dan produser di negara asalnya.

Sehingga satu tahap, perhubungan atas dasar kerja berubah menjadi semakin rapat dan akhirnya pasangan itu mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan pada 2011 manakala Aidan pula tekad berhijrah dan terus menetap di negara ini.

Nur Hidayah akui berasa bertuah kerana suaminya seorang yang positif dan sering memberi kata-kata perangsang supaya dia terus bersemangat mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan.

“Suami banyak memberikan semangat, keyakinan dan dorongan kuat untuk saya berdikari dan membina perniagaan sendiri dalam dunia perhubungan awam.

“Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk membuka syarikat perhubungan awam sendiri kerana saya tertanya-tanya jika saya boleh melakukannya. Namun suami menyatakan keyakinan yang tinggi dengan kemampuan saya memandangkan saya juga pernah menguruskan promosi untuk syarikatnya ketika dia masih di Belanda,” katanya.

Menurut Nur Hidayah, ketika masih bekerja dengan syarikat lain, dia banyak menguruskan pelanggan dari dunia korporat namun menerusi syarikat miliknya sendiri, ia lebih memfokus kepada pengurusan pelanggan dalam bidang perniagaan gaya hidup antaranya membabitkan pengusaha fesyen, spa dan restoran.

Semangatnya semakin memuncak untuk berjaya dalam bidang perniagaan dengan kelahiran bayi lelakinya, Isaac Jayden Kruithof, pada Mac lalu dan kini si kecil itu sudah memasuki usia tiga bulan.

Sejak penubuhan syarikatnya, Nur Hidayah boleh tersenyum bangga memandangkan khidmatnya banyak mendapat permintaan pelanggan yang menaruh keyakinan serta kepercayaan kepada keupayaannya mempromosikan perniagaan mereka.

Pelanggannya rata-rata terdiri daripada kenalan ketika bertugas di syarikat lama yang menggemari caranya bertugas selain diperkenalkan oleh pelanggan lama atau menerusi laman Instagram miliknya, Whitehornmy.

Biarpun kehidupan baru sebagai ibu sedikit sebanyak memberi cabaran dalam membina dan mengembangkan perniagaan, ia bukan penghalang untuknya apatah lagi dengan memiliki suami yang cukup memahami.

“Kadangkala memang terasa tercabar terutama apabila berdepan dengan sesetengah pelanggan yang sukar bekerjasama atau mempersoalkan strategi promosi yang sudah diatur, tetapi itulah asam garam dalam dunia perniagaan.

“Pernah juga saya rasa sedikit kecewa apabila berdepan cabaran tetapi suami sering menegaskan tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sekali gus membuatkan saya kembali bersemangat,” katanya.

Lebih menarik, Nur Hidayah tidak menggunakan khidmat pembantu rumah sebaliknya dia bergilir-gilir menjaga anaknya bersama suami memandangkan suaminya turut membantu syarikat dengan bertemu dan membuat perbincangan bersama pelanggan.

Katanya, dia turut mengamalkan kaedah mudah berurusan dengan pelanggan dan ia amat digemari pelanggan yang begitu sibuk iaitu dengan berhubung menggunakan sepenuhnya teknologi terkini termasuk kemudahan e-mel, telefon ataupun Skype.

Apabila Nur Hidayah keluar bertemu pelanggan, suaminya pula membantu menjaga anaknya dari semua segi.

“Suami saya seorang yang sangat pembersih dan tidak berkira dalam menjaga rumah hingga membuatkan saya rasa senang hati untuk keluar bekerja. Saya rasa sungguh bertuah kerana mendapat suami seperti dirinya.

“Namun begitu, saya memperuntukkan kira-kira empat jam setiap kali keluar bertemu pelanggan dan memastikan saya terus pulang secepat mungkin.

“Kadangkala apabila suami pula bertemu pelanggan saya tinggal di rumah dan menjaga anak tetapi jika kami berdua perlu bertemu pelanggan, kami membawa bayi bersama,” katanya.

Memiliki sifat ceria, Nur Hidayah menanam harapan melihat syarikatnya terus berkembang maju dan merangka beberapa strategi ke arah merealisasikan impian itu antaranya mula mencari tenaga kerja tambahan supaya lebih banyak pelanggan dapat diuruskan.

Malah, wanita gigih berkenaan juga berusaha mencari tapak sesuai bagi dijadikan pejabat untuk meluaskan perniagaannya dan menempatkan kakitangan, berbanding bekerja dari rumah ketika ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

659 views