Pengalaman, Keriangan Berbeza

Seawal jam 10 pagi, kelihatan kanak-kanak berusia 12 bulan hingga 17 tahun dari Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh, Selangor bersedia dengan pakaian renang, masker, snorkel dan kasut bagi memulakan sesi latihan di Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE), Shah Alam.

Tergambar keceriaan pada wajah masing-masing manakala bagi yang baru kali pertama mencuba sudah tentu ia menjentik debaran di hati lantaran sebelum ini ada yang langsung tidak pernah menyelam atau berenang.

Usai sarapan, seramai 54 peserta ini dibawa ke kolam renang bagi memberi peluang mendekati air sebelum bersedia untuk menyelam.

Bagi memudahkan tenaga pengajar daripada kelab selam skuba, Fun Fair Divers yang diasaskan beberapa penyelam skuba tempatan pada Julai 2012 lalu, kanak-kanak ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Ini bagi membolehkan tenaga pengajar bekerjasama lebih rapat dengan setiap kanak-kanak untuk memastikan mereka selesa dengan peralatan menyelam sebelum memulakan aktiviti pernafasan dalam air.

Sementara menunggu giliran, kanak-kanak diajar cara berenang dan melakukan aktiviti snorkeling. Kedengaran gelak tawa riang peserta sebaik saja kaki mencecah air. Ada yang menjerit kesejukan, ramai pula tidak sabar menghadapi pengalaman baru di dalam air.

Mungkin sebelum ini mereka yang terdiri daripada anak-anak yatim hanya menyertai acara makan di hotel atau pusat beli-belah. Jarang sangat menyertai acara santai dan menyeronokkan terutama membabitkan aktiviti dalam air. Oleh itu tidak hairan apabila mereka menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk meluahkan kegembiraan selama ini.

Jurulatih selam skuba, Dr Azhar Hussin menjelaskan, aktiviti selam skuba yang diadakan ini berbeza dengan kelas renang biasa. Ini kerana menerusi selam skuba kanak-kanak diberi latihan bernafas di bawah permukaan air, melihat seterusnya meneroka dasar laut, sungai atau tasik. Walaupun sesi latihan hanya diadakan di kolam renang dengan tunjuk ajar jurulatih peserta mampu melihat persekitaran dalam air dengan lebih dekat.

“Ini memungkinkan peserta membuat persediaan menghadapi permukaan air terutama laut seterusnya meneroka khazanah alam ciptaan Tuhan,” katanya.

Dr Azhar yang mempunyai pengalaman melatih penyelam skuba menjelaskan, sebaiknya aktiviti selam skuba bermula dari kanak-kanak pada usia lapan hingga 10 tahun. Ini kerana pada usia begini pemikiran mereka masih mentah dan bersedia menerima pengajaran dengan mudah.

Amat penting ibu bapa mendedahkan anak-anak dengan perkara asas seperti bernafas dalam air, mengapungkan badan serta ciri-ciri keselamatan ketika berhadapan dengan laut, sungai atau tasik. Ini bagi membolehkan mereka tidak panik terutama sekiranya kejadian buruk berlaku.

Menurutnya, mereka yang berminat tidak perlu mempunyai asas berenang, tetapi harus menunjukkan keyakinan diri yang tinggi ketika berada dalam air, selesa di dalam dan permukaan air selain mempunyai tubuh badan yang sihat.

“Biasanya, golongan kanak-kanak ini cepat faham dan mempunyai sifat ingin tahu. Cuma kadang-kadang mereka bersifat ‘lupa diri’ terutama ketika seronok berada di dalam air dan pada masa inilah amat penting menggunakan ilmu yang dipelajari mereka,” katanya.

Bagi yang baru kali pertama mencuba, selam skuba mempunyai pelbagai peringkat dan setiap satu bakal menambah pengalaman baru kepada kanak-kanak. Menerusi pengajaran selam skuba ini, mereka akan merasai sendiri pengalaman sama seperti yang dirasai penyelam dewasa.

“Malah, apabila sudah mahir mereka turut berpeluang turun ke laut sebagai langkah pertama meneroka alam lautan,” katanya.

Kesan fizikal dan mental

Terdapat banyak kebaikan diperoleh kanak-kanak yang menyertai selam skuba. Selain kesihatan, menerusi pergerakan anggota tubuh berenang mengelak masalah asma serta meningkatkan ketahanan badan.

Dari segi emosi, ia dapat menyerlahkan keyakinan diri dan sifat berani ketika berada dalam air. Apabila memperkatakan mengenai keyakinan, tidak ramai yang mampu berenang apatah lagi menyelam sehingga ke dasar disebabkan rasa tidak selamat, takut tertelan air, lemas atau tidak muncul di permukaan air. Namun, mereka yang bermula sejak kecil iaitu dengan hanya bermain air, belajar menyelam, berenang sehingga selam skuba, lama-kelamaan akan terbentuk keyakinan serta jati diri mereka terhadap persekitaran.

“Sehingga sampai satu masa apabila mereka diminta terjun ke dalam air, ia tidak lagi menjadi masalah disebabkan keyakinan diri yang tinggi yang sudah disemai sejak kanak-kanak,” katanya.

Menariknya, keyakinan diri yang ditunjukkan ini mempunyai kaitan dengan dunia luar terutama selepas memasuki alam persekolahan dan pekerjaan. Keyakinan diri yang tinggi akan mencorakkan mereka menjadi pemimpin dihormati dan disegani. Dalam pada itu mematuhi masa latihan serta peraturan menjadikan mereka lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap waktu.

“Biarpun hanya beberapa jam berlatih, kanak-kanak yang menyertai aktiviti menjadi lebih berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain dalam melakukan kerja seharian.

“Contohnya, pemasangan alatan selam skuba yang menjadi nadi penting dalam sukan ini menjadikan mereka lebih bersemangat dan bertanggungjawab ” katanya.

Mohd Amirul Faisal, 11, cukup teruja apabila berpeluang melakukan aktiviti selam skuba yang disifatkan cukup memberi kesan kepada fizikal dan mental. Walaupun baru kali pertama mencuba, ia cukup meninggalkan kenangan manis buat dirinya.

“Saya rasa pihak sekolah perlu menjadikan sukan renang sebagai salah satu subjek dalam mata pelajaran. Ia memang aktiviti yang menyeronokkan,” ujar Mohd Amirul.

Sementara itu, wakil Fun Fair Divers, Nur Jihan Halim, 29, berkata kebiasaannya apabila tiba musim perayaan banyak persatuan atau badan bukan kerajaan datang ke rumah anak yatim untuk memberikan sumbangan atau membawa mereka makan atau membeli-belah.

Namun, pendekatan yang diambil kelab selam skuba terbabit untuk memberi keriangan kepada golongan ini agak berbeza dan boleh dijadikan contoh buat semua. Kelab ini mengambil pendekatan dengan menganjurkan Program Amal Sukan Air sekali gus berjaya menyuntik nafas baru bagi meraikan anak-anak yatim di Malaysia.

“Menyedari inginkan kelainan, kami memberikan pengalaman berbeza kepada kanak-kanak ini dengan membawa mereka merasai pengalaman berenang, snorkeling dan selam skuba. Dengan maklum balas positif, diharap pada masa akan datang lebih banyak aktiviti amal dijalankan pihak berkaitan. Ia sememangnya satu acara yang sangat menggembirakan dan tidak dapat dilupakan,” tuturnya.

Wakil penganjur, Azrul Shah Arshad pula berkata, pihaknya amat bersyukur dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan daripada kumpulan selam lain seperti Ombak Divers, Scuba Station dan individu perseorangan bagi melancarkan program yang julung kali diadakan itu.

“Ingin memberikan satu pengalaman berbeza buat anak-anak ini melalui penganjuran program sebegini, ia secara tidak langsung dapat memupuk minat mereka dalam aktiviti sukan air,” ujar Azrul Shah.

Acara yang berakhir pada jam 4 petang itu ditamatkan dengan pemberian cenderahati berserta sijil penyertaan oleh jurulatih selam skuba, Dr Azhar dan Pengarah LS Secret Solutions, Norazleena Yaha.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

595 views