Pening Anak Buat Perangai

Perlakuan kanak-kanak kecil sukar dikawal atau dijangka malah ada pula yang sering ‘membuat perangai’ termasuk menjerit, berlari-lari serta menangis dengan kuat tanpa menghiraukan orang di sekeliling. Keadaan ini kadangkala membuatkan ibu bapa terasa malu dan orang lain tidak selesa terutama apabila berada di tempat awam.

Sungguh mengecewakan ibu bapa apabila anak mereka sukar dipujuk, malah melawan dengan pelbagai cara termasuk berguling-guling sambil menjerit dan menangis, misalnya di lantai pusat beli-belah apabila keinginan mereka memiliki sesuatu seperti permainan tidak dipenuhi.

Namun, sebagai ibu bapa bijak, mereka harus pandai mengawal suasana dan sikap anak. Paling utama bersikap sabar dan rasional supaya dapat mencari penyelesaian, bukannya menjerit atau mengugut anak supaya diam.

Anak perlu dilatih mengawal perlakuan diri mereka dan tidak bertindak sesuka hati. Didikan mengawal perlakuan antara yang amat penting kerana ia suatu kemahiran yang boleh menentukan kejayaan anak dalam hidup mereka.

Berikut tip yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mendidik anak mereka supaya mengawal diri sendiri terutama ketika berada di tempat awam.

Melatih kanak-kanak mengawal diri.

Apabila kanak-kanak mula pandai mengawal dirinya, dia boleh membuat keputusan bijak selain memberi tindak balas lebih baik terhadap situasi yang penuh tekanan.

Misalnya, apabila anda tidak membenarkan anak makan makanan ringan sebelum waktu makan utama, tetapi mengatakan akan memberinya selesai waktu makan, anak mungkin menangis dan menjerit-jerit. Namun dengan melatih anak mengawal diri, dia akan menunggu dengan sabar kerana tahu tetap akan mendapatnya.

Cara yang boleh digunakan untuk melatih anak mengawal diri terutama anak kecil sehingga dua tahun yang suka menangis dan menjerit jika tidak mendapat sesuatu, ibu bapa boleh mengalihkan perhatian mereka dengan penggunaan permainan atau aktiviti.

Bagi kanak-kanak berusia dua tahun, ibu bapa boleh mengenakan denda dengan meletakkan mereka di satu sudut di rumah dan diarah duduk diam selama beberapa minit untuk menunjukkan kesan kepada sikap mereka yang suka mengamuk.

Untuk mendisiplinkan kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga lima tahun pula, ibu bapa boleh meneruskan tindakan denda duduk diam selama beberapa minit dan tamatkan denda sebaik anak menunjukkan sikap terkawal. Ini boleh menggalakkan anak-anak memahami sikap terkawal sebenarnya satu sikap yang baik.
Sekiranya anak mengawal dirinya dengan baik, curahkan pujian untuk menunjukkan dia sudah melakukan sesuatu yang sepatutnya.

Dari usia enam hingga sembilan tahun pula, mereka sudah mula memahami kesan akibat sesuatu perbuatan dan tahu membezakan buruk dan baik. Latih anak bersabar terhadap situasi yang mengecewakan untuk beberapa minit berbanding menunjukkan kemarahan atau mengamuk.

Bagi kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun, mereka semakin memahami perasaan sendiri dan ibu bapa perlu menggalakkan mereka mengenali perkara yang boleh menyebabkan mereka hilang kawalan dan membuat analisa terhadapnya.

Terangkan pada anak situasi mengecewakan kadangkala akan berlaku, tetapi ia bukanlah seburuk mana sekiranya kita mengambil masa seketika untuk berfikir sebelum memberi reaksi terhadap situasi berkenaan.

Apabila anak tidak mampu dikawal.

Biarpun ada kalanya sikap anak-anak sangat mengecewakan apabila mereka tidak mahu mendengar kata atau tidak terkawal, ibu bapa disaran tidak menjerit pada anak ketika cuba mendisiplinkan mereka.

Sebaliknya, ibu bapa harus bersikap tegas dan terus-terang. Apabila anak menjerit dan menangis, ibu bapa perlu bersikap tenang dan menerangkan kepada anak bahawa sikap anak yang menangis dengan kuat, mengamuk atau menghentam pintu satu sikap buruk yang akan memberikan akibat.

Apabila ibu bapa tenang, ia dengan sendirinya menghantar mesej pada anak bahawa sikap mereka yang keterlaluan tidak dapat menguasai anda. Jika anak menangis mahukan gula-gula di pasar raya, terangkan padanya anda tidak akan membelinya dan tetap pada pendirian biarpun anak menangis kerana dengan cara itu, anak akan tahu sikap mereka yang seakan-akan memberontak tidak memberi kesan seperti diharapkan.

Sebaiknya, ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh sikap terpuji dan mampu mengawal diri dengan baik dalam situasi yang menekan perasaan.

Jika anda sendiri tidak mampu mengawal diri dan ia dilihat anak-anak, agak sukar untuk melatih anak-anak menjadi insan lebih berdisiplin.

Sebagai contoh, sekiranya anda terlupa di mana anda meletakkan dokumen penting, berbanding menunjukkan rasa marah, lebih baik mencarinya dengan cara berhemah dan apabila anak melihatnya, sudah tentu dia akan mengikut cara ibu bapa.

Tetapkan had yang jelas.

Anak-anak dikatakan mula menguji had yang ditetapkan serta kesabaran ibu bapa pada usia bermula 18 bulan, bergantung kepada cara anda mahu meletakkan had pada anak-anak.

Anda tidak harus mengharapkan anak pandai mengawal diri sekiranya ibu bapa tidak pernah menetapkan had atau peraturan yang perlu diikuti. Ibu bapa perlu menetapkan peraturan yang jelas dan khusus.

Jika ibu bapa mengatakan pada anak dia perlu bersikap baik, ia terlalu umum dan sukar difahami kanak-kanak, sebaliknya ibu bapa perlu memberitahunya supaya bersikap lembut pada adik atau berkawan dengan adik.

Tetapkan akibat yang jelas.

Apabila ibu bapa sudah menetapkan peraturan jelas, mereka juga harus menetapkan hukuman yang jelas sekiranya peraturan itu dilanggar. Sama ada menggunakan teknik mengarah anak duduk diam di satu sudut untuk beberapa minit atau mengambil permainan kegemarannya, hukuman itu perlu membabitkan sesuatu yang dia boleh lihat.

Sikap segelintir ibu bapa yang suka membebel atau marah-marah sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan positif kepada anak kerana mereka tidak dapat memahaminya.

Bersikap konsisten dan mudah dijangka.

Sebaik ibu bapa sudah menetapkan peraturan, ia perlu diteruskan dan dipatuhi ibu bapa dan anak-anak. Jika tidak, anak-anak tidak akan menganggap peraturan yang anda buat itu serius.

Sekiranya peraturan sentiasa diubah, anak-anak akan keliru dan kecewa. Misalnya, jika pada satu hari anak-anak melompat di atas sofa tetapi ibu bapa membiarkan saja manakala keesokannya ibu bapa memarahi anak kerana melompat di atas sofa yang sama, anak-anak tidak akan tahu had yang sudah ditetapkan ibu bapa mereka.

Ada anak-anak yang dengan sengaja menguji had yang ditetapkan ibu bapa hanya untuk memastikannya.

Tunjukkan contoh terbaik.

Ibu bapa boleh mengarahkan atau mendidik anak apa saja perkara yang positif tetapi sekiranya ibu bapa sendiri tidak mempraktikkannya, segala nasihat atau kata-kata supaya anak menjadi baik tidak akan memberikan hasil diharapkan.

Kanak-kanak mempelajari banyak perkara daripada ibu bapa mereka sendiri dengan hanya memerhati. Ibu bapa juga seharusnya menghukum anak-anak disebabkan tindakan mereka tanpa bersikap emosi melampau seperti terlalu marah.

Elak menggalakkan sikap tidak baik.

Apabila anak mengamuk, ibu bapa mungkin akan menyerah kalah dan memberikan apa yang anak mahu asalkan anak berhenti menangis. Namun memberi ganjaran apabila anak mengamuk akan menyebabkan sikap anak-anak akan menjadi lebih melampau pada masa akan datang.

Puji sikap baik si anak.

Mendisiplinkan anak tidak seharusnya mengenai hukuman tetapi tindak balas positif daripada ibu bapa. Ibu bapa tidak harus sesekali mengambil mudah sikap baik yang ditunjukkan anak kerana anak mungkin memikirkan dia akan lebih mendapat perhatian sekiranya bersikap buruk.

Oleh itu, apa saja sikap positif yang ditunjukkan anak harus diberi perhatian termasuk memuji dan menggalakkan mereka untuk terus bersikap baik di mana-mana saja.

Ia mungkin sekadar kata-kata, tetapi pujian daripada ibu bapa mampu memberi impak mendalam pada kanak-kanak dan membuatkan mereka bangga melakukan perkara yang baik atau bertindak secara positif.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

566 views