Peningkatan Mendadak Diabetes

hidayatulakmal@hmetro.com.my

Diabetes antara 10 penyakit yang menyebabkan kematian di Malaysia. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun lalu, kes diabetes meningkat di Malaysia pada kadar 17.5 peratus berbanding 15.2 peratus pada 2011.

Walaupun lebih lazim dalam kalangan orang dewasa, penyakit ini turut menyerang kanak-kanak apabila kadar obesiti dalam kalangan mereka kian meningkat. Jika keadaan ini berterusan serta tiada sebarang langkah pencegahan, diramalkan kadar diabetes di negara ini terus meningkat.

Peka dengan keadaan itu, Astrazeneca Sdn Bhd (Astrazeneca) melancarkan Once Weekly Bydureon exenatide 2 miligram, suntikan serbuk pelarut bagi lepasan cecair berpanjangan (Once Weekly Bydureon) yang diluluskan bagi rawatan diabetes mellitus jenis 2 di Malaysia.

Perunding Kanan Endokrinologi, Prof Dr Chan Siew Pheng berkata, wujud ketirisan mengenai kesedaran diabetes serta kelaziman di negara ini dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Hal ini sekali gus menghalang usaha proaktif bagi memperkenalkan kehidupan lebih sihat yang boleh mengurangkan risiko diabetes. Jumlah peningkatan mendadak diabetes di Malaysia sangat membimbangkan.

“Oleh kerana diabetes jenis 2 adalah penyakit kompleks, perlu ada pilihan rawatan efektif untuk membantu pesakit bagi mengoptimumkan kawalan glisemik mereka,” katanya pada majlis pelancaran ibu negara baru-baru ini.

Once Weekly Bydureon adalah satu-satunya terapi suntikan mingguan di Malaysia. Ia membantu menambah baik pengawalan glisemik bagi pesakit dewasa yang menghidap diabetes jenis 2 dengan menyalurkan exenatide (bahan aktif) secara terapi berperingkat berpanjangan melalui satu dos bagi tempoh seminggu pada bila-bila masa walaupun dengan perut kosong.

Menawarkan kemudahan komplians rawatan untuk pesakit, ia dipreskripsi dalam bentuk terapi suntikan pra isi bagi kegunaan sekali. Ini memudahkan pesakit kerana mereka tidak perlu memindahkan ubat dari vial ke picagari untuk melakukan suntikan.

Once Weekly Bydureon menyediakan dos yang diperlukan secara automatik dan memastikan penyampaian ubat yang mudah dikendalikan bagi kegunaan berterusan.

Kajian terbaru Diabcare 2013 mencatatkan, meskipun dengan kepelbagaian ubatan yang diambil, 76 peratus pesakit gagal mengawal tahap glukosa dalam darah mereka berbanding catatan sebanyak 72 peratus pada 2008.

Ahli Endokrinologi serta Diabetologi Universiti Tubingen Jerman, Dr Stephan Jacob berkata, Once Weekly Bydureon menawarkan komplians yang lebih baik untuk pesakit diabetes jenis 2 dengan penurunan dua peratus bagi tahap HbA1c bagi tempoh enam tahun.

“Ia meletakkan Once Weekly Bydureon sebagai inovasi terbaru bagi rawatan diabetes jenis 2 serta ideal bagi pesakit yang mempunyai gaya hidup aktif tetapi tidak mahu dibebani dengan jadual rawatan,” katanya.

Melalui kajian keselamatan 26 minggu yang dijalankan, Once Weekly Bydureon yang diberikan dalam dos sekali seminggu telah memberikan kesan yang lebih baik dalam pengawalan glisemik dengan kepekatan min hemoglobin A1c (HbA1c) tujuh peratus tanpa risiko peningkatan hipoglisemia (kekurangan glukos dalam darah) dengan penurunan berat badan.

Ini penting kerana min kepekatan HbA1c boleh merendahkan risiko penyakit kardiovaskular serta komplikasi mikrovaskular. Berbanding rawatan diabetes jenis 2 yang lain seperti liraglutide serta titrated insulin glargine, Once Weekly Bydureon dapat mengekalkan pengurangan HbA1c dan hipoglisemia di samping pengurangan berat badan dengan pengurangan rasa mual serta muntah apabila dibandingkan dengan liraglitude.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

192 views