Penjagaan Sangat Berbeza

Ketika Hayfa Hadeeja Nor Zahrul Hayzraai dilahirkan pada 20 Julai 2012, beratnya hanya kira-kira 1.3 kilogram (kg), sangat kecil berbanding bayi lain.

Oleh kerana dikategorikan sebagai bayi pramatang kerana dilahirkan pada minggu ke-34, si comel ini ditempatkan di Unit Jagaan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Ampang selama tiga minggu bagi membolehkan berat badan meningkat sehingga mencapai 1.8kg iaitu berat ideal bagi bayi yang tidak cukup bulan.

Bagi sesetengah ibu, penjagaan bayi pramatang sudah tentu memberikan pengalaman berbeza berbanding bayi normal lain. Ini kerana, selain berat badan berkurang bayi pramatang mudah mendapat jangkitan kuman dan diserang penyakit sekiranya tidak diberi penjagaan teliti terutama dari aspek kebersihan. Ada pula berpendapat, menjaga bayi pramatang bukan setakat ketika masih bayi tetapi perlu diteruskan apabila usia meningkat kerana ia turut memberi kesan kepada kesihatan mereka apabila dewasa kelak.

Bagi ibu muda Amera Abdul Razak, dia sendiri tidak menyangka akan melahirkan anak kedua pada usia kandungan 34 minggu disebabkan tekanan darah tinggi.

Memandangkan anak pertama dilahirkan normal pada minggu ke-38, dia tidak membuat sebarang persediaan untuk anak kedua terutama dari segi mendapatkan maklumat mengenai penjagaan anak pramatang.

Semuanya bermula pada minggu ke-26 selepas menjalani pemeriksaan bulanan di hospital, doktor mengesahkan tekanan darah Amera sangat tinggi sehingga memaksa dia mengambil ubat. Malangnya selepas dua minggu, ujian menunjukkan ia tidak berkurang malah ibu kepada dua cahaya mata ini mengalami pening kepala yang teruk dan rasa mual berpanjangan.

“Saya tidak tahu punca tekanan darah meningkat sedangkan saya menjaga pemakanan. Doktor memberitahu, ia perkara biasa ketika mengandung dan akan hilang selepas melahirkan anak. Namun keadaan ini harus dipantau kerana membahayakan ibu dan anak.

“Oleh kerana keadaan tetap sama, saya kemudian dimasukkan ke hospital selama seminggu bagi memantau tekanan darah. Namun ia tidak berkurang dan saya terus mengambil ubat sepanjang kehamilan kerana khuatir risiko pada bayi yang dikandung,” jelasnya.

Amera yang ketika itu tidak mempunyai sebarang pengalaman, menjadi lebih tertekan terutama apabila sampai ke peringkat ketiga kehamilan. Ini menyebabkan tekanan darah menjadi lebih tinggi sehingga doktor pakar menyarankan dia bersalin lebih awal bagi mengelak sebarang komplikasi.

“Doktor mencadangkan saya bersalin awal iaitu pada 20 Julai 2012 pada usia kandungan 34 minggu menerusi kaedah pembedahan. Saya mempunyai dua pilihan sama ada bersalin normal atau sebaliknya. Selepas mendengar nasihat serta tidak sanggup menanggung risiko, saya memilih untuk dibedah,” katanya yang menetap di Ampang, Kuala Lumpur.

Sama seperti bayi pramatang lain, selepas dilahirkan Hayfa dimasukkan ke NICU bagi mengelak sebarang masalah berkaitan paru-paru dan memantau pertambahan berat badan. Selepas tiga minggu, dia kemudiannya ditempatkan di wad biasa sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Walaupun sudah menjalani rawatan dan mengambil ubat, Amera masih mengalami sakit kepala, mudah pitam dan pening disebabkan tekanan darah tidak turun sepenuhnya. Namun dia mengambil keputusan berpantang di rumah kerana mahu berehat sepenuhnya. Hanya selepas dua minggu barulah tekanan darah kembali normal.

“Dalam tempoh itu, saya ke hospital hanya untuk memberi susu badan kepada Amera, selebihnya saya menyerahkan kepada pihak hospital menjaga Hayfa sehingga dia menunjukkan perkembangan positif dengan berat 1.8kg sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Bagi Amera, berbeza dengan anak pertama Hafsa Hayra, 2, yang dilahirkan dengan berat 2.8kg, penjagaan untuk anak pramatang sangat berbeza terutama dari segi kebersihan serta penjagaan harian. Sebulan di hospital sudah tentu persekitaran serta pengendalian berbeza dengan keadaan di rumah. Namun Amera cuba menggunakan apa yang dipelajari di hospital walaupun tidak sama seratus peratus.

“Misalnya untuk dua minggu pertama, saya mengehadkan individu yang ingin melawat Hayfa dan tidak membenarkan ahli keluarga mencium sekiranya batuk, demam atau selesema bagi mengelak jangkitan kuman dan menyebabkan dia demam.

“Selain itu, saya meneruskan pengambilan vitamin dan penyusuan susu ibu bagi menguatkan antibodi Hayfa,” katanya yang rajin membersihkan rumah bagi mengelak berhabuk dan menggalakkan penyebaran bakteria.

Sebagai ibu yang percaya kepada penyusuan susu ibu, Amera yakin dengan menyusukan anaknya sekerap mungkin, ia mampu mengelak Hayfa mudah mendapat demam atau selesema. Namun sekiranya terkena untuk bayi pramatang, ia agak sukar dikawal disebabkan jangkitan bakteria mudah merebak sehingga menyebabkan dia mudah mendapat batuk berkahak.

“Selain isu berat badan, bayi pramatang mudah mendapat jangkitan kuman disebabkan antibodi lemah serta paru-paru yang tidak kuat ketika dilahirkan. Sebab itu dia mudah batuk sehingga perlu mengambil nebulizer untuk mengurangkan kahak,” katanya yang sanggup melepaskan jawatan di sebuah syarikat swasta semata-mata ingin memberi sepenuh tumpuan kepada Hayfa.

Ini kerana Amera sendiri tidak sanggup membenarkan orang lain menjaga anaknya memandangkan penjagaan yang berbeza daripada bayi normal.

Ujarnya, walaupun berat badan Hayfa meningkat dari semasa ke semasa, jumlahnya sangat sedikit berbanding bayi normal lain. Sehingga kini pada usia lapan bulan, berat badan Hayfa hanya 5.3kg saja dan dia masih lagi mendapatkan rawatan bulanan dengan doktor pakar bagi memantau tumbesaran.

“Walaupun berat Hayfa tidak sama seperti bayi seusia dengannya, perkembangannya normal seperti kanak-kanak lain. Pada usia empat bulan, dia sudah boleh meniarap dan kini sedang mengesot dan ingin merangkak,” katanya yang mengharapkan Hayfa sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

605 views