Penyakit Zaman Kuno Kembali Menyerang

PADA malam tahun baru 2004, Anna Watterson dikejarkan ke hospital kerana muntah darah selepas berbulan-bulan diserang demam, mengalami masalah berpeluh pada waktu malam dan sering sesak nafas yang membuatkan tubuhnya semakin kurus.

Dia terperanjat apabila disahkan menghidap penyakit zaman kuno tuberkulosis (TB) yang sering dikaitkan dengan kemiskinan sedangkan sebagai peguam pelatih di London, pendapatan Watterson agak lumayan. Bagaimanapun pengesahan itu sedikit sebanyak melegakannya kerana dia akhirnya tahu punca sebenar yang menjejaskan kesihatannya selama ini.

Namun kelegaan itu tidak lama kerana tiga jenis antibiotik yang diberikan doktor untuk menghapuskan bakteria TB yang menjangkitinya tidak berkesan.

Selepas enam minggu mengambil ubat dan tidak menunjukkan sebarang kesan, doktor memberitahu Watterson bahawa dia mengalami jangkitan TB yang resistan atau mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap pelbagai jenis ubat (MDR-TB).

Dia perlu diletakkan dalam wad berasingan selama beberapa bulan untuk diberikan suntikan ubat yang membuatkan dia berasa mual, tidak boleh terdedah pada cahaya matahari dan lebam di lengannya.

“Kawan-kawan terkejut mendengar kisah saya. Kebanyakan kawan-kawan saya hanya tahu mengenai TB daripada pembacaan novel yang berkisar zaman Victoria dulu,” katanya.

Di negara Barat, tuberkulosis dipandang sebagai penyakit zaman dulu khususnya pada abad ke-18 dan 19 di mana wanita dan kanak-kanak yang diserang penyakit ini akan mati perlahan-lahan akibat ‘dimakan’ oleh ‘plak putih’.

Namun kini penyakit ini kembali mencatat sejarah dengan peningkatan kes TB berketahanan tinggi di sesetengah kota besar di dunia, termasuk di Afrika dan Asia.

London pernah digelar sebagai ‘ibu kota tuberkulosis Eropah’ dan baru-baru ini kajian mendokumentasikan kes baru TB yang dikatakan ‘sangat kalis pada ubat’ di India mengatakan penyakit yang muncul semula ini mungkin lebih berbahaya.

“Kita tidak boleh biarkan penyakit ini keluar daripada ‘kurungan’. Jika ia merebak, saya tidak tahu bagaimana kita boleh mengawalnya,” kata Ruth McNerney, pakar tuberkulosis di Pusat Pengajian Perubatan Tropika dan Kebersihan London.

TB adalah penyakit jangkitan bakteria yang merosakkan tisu paru-paru, menyebabkan pesakit batuk dan bersin. Melalui batuk dan bersin inilah bakteria TB tersebar. Mereka yang mengalami jangkitan TB yang aktif dengan mudah boleh menjangkiti 10 hingga 15 orang setahun.

Pada 2010, dianggarkan 8.8 juta orang menghidap TB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang beribu pejabat di Geneva meramalkan lebih dua juta orang akan mendapat jangkitan TB yang kalis ubat menjelang 2015.

Peningkatan jumlah kes TB yang tidak dapat dirawat di India membuka mata dunia untuk memberi lebih perhatian kepada perkara itu.

WHO sudah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan sama ada kemunculan jenis TB yang berdaya ketahanan tinggi terhadap semua yang biasa digunakan boleh diberikan definisi baru ‘TB yang benar-benar kalis ubat’ atau TDR-TB.

Jika begitu, ia akan menjadi satu evolusi daripada TB biasa yang ada sekarang ini, yang boleh disembuhkan dalam tempoh enam bulan dengan rawatan atau pengambilan antibiotik kepada kemunculan MDR-TB dan TB kalis ubat yang ekstensif (XDR-TB).

Apa yang lebih mengecewakan dengan perkembangan ini ialah semua TB yang kalis terhadap ubat adalah ‘penyakit buatan manusia’, kata Lucica Ditiu dari Stop TB WHO.

Seperti bakteria lain, bakteria TB iaitu Mycobacterium tuberculosis boleh berubah untuk menentang kesan ubat antibiotik. Lebih lama tempoh rawatan yang gagal ditamatkan oleh pesakit, maka bakteria TB akan menjadi lebih kuat dan kerintangannya terhadap ubat akan semakin luas. Maknanya, ia mempunyai daya ketahanan kepada lebih banyak ubat, menyebabkan bakteria ini semakin sukar dihapuskan.

“Doktor, kakitangan perubatan, jururawat, seluruh sistem penjagaan kesihatan menyumbang kepada penghasilan MDR-TB. Ia bukan bakteria yang muncul secara semula jadi. Ia juga bukan mutasi spontan. Ia terhasil kerana pesakit tidak dirawat dengan baik – sama ada menggunakan ubat tidak berkualiti, tidak memberikan ubat secukupnya atau kurang pemantauan yang menyebabkan pesakit gagal menamatkan rawatan,” kata Ditiu.

Katanya lagi, WHO kini melihat kes kerintangan ubat yang ekstrim, di mana ia juga secara tidak langsung akan mengetengahkan penyakit yang sering dilupakan ini. Walaupun soal definisi masih tertakluk kepada garis panduan dan protokol rawatan, tetapi pada pesakit, ia tidak membawa sebarang perbezaan.

“Apa yang lebih penting ialah drama dan tragedi kepada manusia. Sama ada ia MDR, XDR atau TDR TB, tiada bezanya bagi pesakit. Mereka yang dijangkiti bakteria TB memang tidak bernasib baik,” katanya sempena sambutan Hari TB Sedunia pada 24 Mac lalu.

Apabila ubat tidak berkesan

Keadaan di India adalah antara kes yang menjadi perhatian. Menurut Dr Zarir Udwadia, pakar tuberkulosis di Hospital Kebangsaan Hinduja di Mumbai, dia mengesan 12 kes yang tidak boleh dirawat dan tiga daripada pesakitnya sudah meninggal dunia.

Dia sudah mencuba satu demi satu ubat antiTB yang sangat kuat ke atas sampel kultur yang diambil daripada pesakit – termasuk ubat dalam rawatan pilihan pertama seperti isoniazid, rifampicin dan streptomycin, serta ubat daripada rawatan pilihan kedua seperti moxifloxacin, kanamycin and ethionamide semuanya tidak berkesan.

“Jika anda campurkan semua, bakteria ini kalis 12 jenis ubat,” katanya.

Seperti pakar lain, Udwadia juga menyalahkan amalan perubatan yang lemah.
Penggunaan antibiotik yang tiada preskripsi dan boleh dibeli di farmasi sangat berleluasa di India dan tidak hairanlah jika negara itu kini menghadapi beban MDR-TB yang paling teruk di dunia dengan lebih 100,000 kes.

Pasukan Udwadia menjalankan kajian di Mumbai yang mempunyai lebih 12 juta penduduk dan kebanyakannya tinggal di persekitaran yang sesak. Kajiannya mendapati di salah satu daerah, hanya lima daripada 106 doktor di sektor swasta yang tidak dipantau boleh memberikan preskripsi ubat yang betul kepada pesakit MDR-TB.

Kebanyakan ubat yang diberikan ‘tidak bersesuaian’ dan hanya akan membuatkan keadaan pesakit bertambah teruk. Perkara ini juga akan mempercepatkan penukaran MDR TB kepada XDR dan akhirnya menjadi TDR TB.

“Hasil penemuan di Mumbai ini menunjukkan bahawa TDR-TB (yang betul-betul kalis ubat) umpama ‘kemalangan yang menunggu untuk berlaku’. Untuk sampai ke tahap ini, anda perlu menggandakan ketahanan dalam masa beberapa tahun dengan penyalahgunaan antibiotik yang banyak. Tidak ada negara yang memberikan ubat daripada rawatan pilihan kedua sebebas yang dilakukan di India,” katanya.

Ini menyebabkan timbulnya pendapat bahawa negara yang menggunakan antibiotik secara terkawal dan berhati-hati mungkin lebih terlindung daripada masalah ini.
Bagaimanapun ramai pakar meragui perkara ini.

Antara halangan paling besar dalam menangani TB ialah kepantasan ia tersebar.
Apabila seorang pesakit batuk, bersin atau meludah, beribu-ribu titisan cecair yang mengandungi kuman TB terpercik ke udara di sekitar mereka. Oleh kerana pergerakan manusia di seluruh dunia dalam kenderaan yang tertutup, maka penyakit ini secara tidak langsung akan dibawa bersama.

Contohnya, ketika ledakan kes TB yang kalis ubat dikesan di Afrika Selatan pada 2006. Tidak sampai empat tahun kemudian, WHO mengatakan penyakit ini sudah mencapai ‘rekod dunia’ dan 58 negara melaporkan ada sekurang-kurangnya satu kes XDR-TB.

“Saya bimbang perkara yang sama berlaku dengan TDR-TB. Malah ketika saya bercakap ini pun penyakit sedang merebak. Keadaan sekarang sangat membimbangkan,” katanya.

Anna Watterson yang mengambil cuti sakit selama 19 bulan supaya MDR-TB yang dihidapinya boleh dirawat dengan berkesan, tidak pasti di mana dia mendapat jangkitan berkenaan.

Dia tinggal di Brent, kawasan di barat laut London yang komunitinya terdiri daripada warga asing dan agak miskin. Seperti berjuta-juta penduduk London, setiap hari dia menaiki kereta api bawah tanah, Tube.

Malah dia juga pernah melawat India beberapa tahun lalu dan oleh kerana bakteria TB boleh hidup dorman (tidak aktif) untuk satu tempoh yang lama, ada kemungkinan Watterson dijangkiti ketika berada di sana.

“Anda tidak boleh mengasingkan diri dari dunia. Kita jadi terlalu selesa dan beranggapan TB sudah pupus. Namun hakikatnya, ia masih wujud. Selagi ia masih ada di negara membangun, selagi itulah penyakit TB akan terus bertahan,” katanya. – Reuters

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,146 views