Penyental Berasas Kopi

Setiap kali berkunjung ke pusat kecantikan dan spa selain persekitaran mendamaikan serta dekorasi menyerlah, rawatan disediakan menjadi perkara utama yang sering dititikberatkan wanita. Di pasaran kini, terdapat pelbagai jenis spa dengan perkhidmatan dari hujung rambut hingga kaki, bezanya dari segi layanan serta bahan digunakan bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.

Bagi pemilik Amaryllis Salon Day Spa, Nurul Ain Nadia Yusoff, walaupun berjiwa muda, dia tetap memilih produk berasaskan bahan semula jadi kerana percaya keaslian ramuan bukan saja memberikan kesegaran malah tidak mendatangkan kesan sampingan kepada pengguna.

Dia yang mempelajari teknik menghasilkan minyak urut orang kampung daripada nenek yang juga seorang bidan menjelaskan, minyak yang diperoleh daripada 99 jenis daun herba ini mempunyai pelbagai khasiat dan digunakan untuk merawat pelanggan.

“Setiap kali melihat nenek mengurut saya percaya minyak dihasilkan mampu mengurangkan masalah terutama kepada wanita selepas bersalin. Dihasilkan daripada 99 jenis daun herba terpilih yang diambil di belakang rumah, daun ini kemudiannya dimasak selama tiga hari berturut-turut sehingga mengeluarkan minyak.

“Lebih istimewa minyak ini langsung tiada campuran bahan kimia kerana seratus peratus menggunakan tumbuh herba saja,” jelasnya.

Menyedari keberkesanannya terutama memulihkan masalah sakit badan, kejang urat serta kesegaran badan, sedikit demi sedikit dia mempelajari teknik menghasilkan minyak urut ini kerana bercadang ingin mengkomersilkan sebagai satu produk tradisional tempatan sedikit masa lagi.

“Memang saya bercadang menjadikan minyak orang kampung sebagai satu produk tempatan yang menggunakan seratus peratus bahan asli. Mungkin ia akan mengambil masa kerana perlu membuat penyelidikan terlebih dulu mengenai pemasaran serta jualan,” katanya.

Selain minyak urut, spa yang terkenal dengan rawatan dari hujung rambut hingga kaki ini turut menyediakan bahan penyental berasaskan kopi yang dihasilkan sendiri. Kopi diakui bukan saja minuman pemberi tenaga tetapi bijinya berkhasiat dalam merawat kulit. Caranya, biji kopi dipanggang kemudian dikisar bagi mendapatkan rasa serta kesan berbeza. Hasilnya, kulit kekal licin dan lembut walaupun selepas beberapa bulan menjalani rawatan.

Menurut anak kelahiran Terengganu ini, dia percaya penggunaan bahan organik lebih bagus kerana tidak mendatangkan alahan kepada pengguna.

“Misalnya untuk rawatan wajah, dia menggunakan Blue Oak Valley yang menggunakan ramuan organik. Hasilnya ia bukan saja berkesan menangani masalah kulit sensitif malah kulit lebih halus tanpa meninggalkan kesan merah atau radang,” jelasnya.

Spa yang terletak di tingkat lima, bangunan Busana Kuala Lumpur itu dibuka pada September 2012. Ia cawangan kedua selepas pembukaan pertama di Wangsa Maju, Kuala Lumpur berikutan permintaan ramai juga tawaran daripada pihak Majlis Amanah Rakyat yang meminta dia menambah cawangan di tengah ibu kota.

“Mulanya saya kurang yakin dengan kemampuan tetapi suami banyak memberikan dorongan untuk saya memperbesarkan perniagaan. Saya perlu bekerja keras untuk mempromosikan perkhidmatan namun lama-kelamaan saya percaya sekiranya kualiti yang dipersembahkan, pelanggan pasti akan datang lagi dan mempromosikannya menerusi mulut ke mulut,” kata anak sulung enam beradik ini.

Berkonsepkan alam semula jadi serta organik menjadi tema bukan saja pada produk tetapi juga dekorasi santai yang ditampilkan. Walaupun terletak di dalam bangunan, reka bentuk serta susun atur dengan penggunaan bahan kayu serta tumbuhan hijau di luar pintu masuk memberikan kedamaian kepada pengunjung lantas mencipta ketenangan tersendiri.

Sesuai dengan makna Amaryllis yang bermaksud bunga, konsep disediakan memenuhi selera wanita kota yang sentiasa sibuk bekerja namun inginkan lokasi yang dapat menenangkan minda dan jiwa.

Spa terbabit dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 10 malam termasuk hujung minggu serta cuti umum. Malah wanita bukan saja boleh memanjakan diri dengan melakukan urutan badan menggunakan teknik Swedish, aromaterapi atau tradisional orang kampung tetapi boleh juga melakukan rawatan wajah, rambut, kuku tangan dan kaki. Lebih istimewa setiap rawatan disertakan dengan urutan pada bahagian tertentu.

“Misalnya pelanggan yang mendapatkan rawatan rambut akan diberikan urutan kepala, begitu juga kuku tangan dan kaki akan disertakan urutan bagi melancarkan peredaran darah serta memberi kelegaan kepada pelanggan,” katanya yang memiliki 10 ahli terapi untuk kedua-dua cawangannya.

Pada masa hadapan, Nurul berazam menambah cawangan spa di beberapa negeri di Malaysia. Bagi wanita yang ingin menambah ilmu mengenai jati diri serta keyakinan diri boleh menyertai program anjuran Amaryllis Salon Day Spa yang akan diadakan pada 23 Februari ini bertempat di Hotel Grand Continental Kuala Lumpur atau boleh melayari www.amaryllis.com.my atau Facebook Amaryllis Salon Day Spa.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

577 views