Perancangan Keluarga Penting
Percaya atau tidak setiap tahun dianggarkan 350,000 gadis dan wanita di dunia meninggal dunia akibat bersalin. Malah 99 peratus daripada angka itu berlaku di negara sedang membangun.
Daripada kes yang dilaporkan, kebanyakan kematian ibu ketika melahirkan anak berpunca daripada masalah kesihatan sama ada berlaku sebelum, semasa atau selepas bersalin.
Di negara dunia ketiga seperti Afrika, Pakistan, Bangladesh, India, Sri Lanka dan Afganistan, kadar kematian lebih tinggi berbanding di negara sedang membangun seperti Malaysia yang menunjukkan kadar pengurangan kematian ibu bersalin sebanyak 45 peratus iaitu daripada 53 orang bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1990 kepada 28 pada 2010, manakala negara lain masih bergelut dalam membendung masalah ini.
Sebenarnya kematian akibat bersalin dapat dielakkan sekiranya wanita mengambil langkah pencegahan awal ketika mengandung dan saat melahirkan anak.
Ini boleh dilakukan dengan mendapatkan rawatan ketika mengandung secara berkala di hospital pada setiap bulan dan mendapatkan vitamin yang diperlukan untuk ibu dan bayi dalam kandungan bagi mengelak kelahiran pramatang serta jaminan kesihatan secara berpanjangan.
Menurut Pengarah Serantau Asia Women Deliver, Datuk Dr Raj Abdul Karim, statistik yang ditunjukkan mengenai kematian wanita ketika bersalin di negara miskin adalah sesuatu yang amat membimbangkan.
Semua wanita berhak untuk hidup dalam keadaan gembira serta mendapat peluang sesuatu yang lebih baik bagi meneruskan kehidupan dengan sihat dan sejahtera.
Ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang bertujuan meningkatkan kesihatan kanak-kanak dan menurunkan kadar kematian ibu mengandung kepada tiga perempat, menjelang 2015.
“Oleh kerana wanita adalah aset dan sumber pemangkin ekonomi negara, kadar kematian yang tinggi terutama di negara miskin ini akan menyebabkan muncul pelbagai masalah lain terutama dari segi sosial dan ekonomi,” katanya.
Dari sudut kesihatan, terdapat pelbagai masalah yang menyebabkan ibu mengalami komplikasi ketika bersalin.
Antaranya pendarahan selepas bersalin, darah tinggi, anak songsang, jangkitan kuman serta kontraksi yang menyebabkan ibu tidak dapat melahirkan anak secara normal. Namun kekurangan kemudahan di hospital seperti peralatan, darah serta ubat-ubatan menjadi punca kepada kematian ibu dan anak.
Selaras dengan matlamat MDG iaitu mengurangkan kadar kematian ibu bersalin, seharusnya kesihatan reproduktif dan seksual disediakan secara berkesan dan berkualiti kepada semua wanita.
Ini boleh dilakukan dengan memberi kefahaman mengenai pentingnya perancangan keluarga bagi mengelak masalah kandungan yang tidak diinginkan serta kehamilan terlalu kerap.
Jarak kehamilan kurang daripada dua tahun akan memberikan masalah kepada wanita. Begitu juga bagi ibu yang mempunyai anak yang ramai misalnya tujuh orang ke atas yang menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan diri sendiri serta memberi sepenuh perhatian kepada bayi mereka.
“Perancangan keluarga adalah kaedah penting bagi mencegah ibu berisiko untuk hamil dalam keadaan belum bersedia. Ini kerana kekerapan bersalin akan menyebabkan komplikasi tumpah darah atau meninggal dunia lebih tinggi disebabkan tubuh ibu masih belum pulih untuk menerima bebanan semula.
Begitu juga dengan tahap kesihatan yang semakin terjejas disebabkan rahim masih belum pulih serta emosi yang kurang stabil,” katanya.
Di Malaysia sejak 1970-an, walaupun tahap kesedaran wanita semakin meningkat mengenai pentingnya merancang keluarga, kesedaran di pihak suami perlu dipertingkatkan. Ini kerana ibu yang menolak untuk mengambil sebarang kaedah perancangan keluarga biasanya memberi alasan mereka tidak mendapat kebenaran suami.
“Kurang kesedaran di pihak suami menyebabkan kaedah perancangan keluarga menjadi tidak berkesan walaupun kebanyakan wanita ingin menggunakannya. Justeru, lebih banyak program akan dijalankan dengan memberi tumpuan kepada suami supaya mereka lebih faham dan jelas mengenai pentingnya merancang keluarga.
Ia bukan untuk menyekat hak mendapat anak tetapi lebih kepada menyediakan sumber kewangan yang lebih baik, fizikal yang lebih sihat dan emosi lebih stabil supaya kelahiran dapat dilakukan tanpa sebarang masalah,” jelasnya.
Cegah kematian ibu bersalin
Menurut Dr Raj, langkah bagi mencegah kematian ibu bersalin di negara ini bermula sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Ketika itu kebanyakan punca kematian wanita disebabkan bersalin di rumah tanpa peralatan perubatan sempurna dan bersih serta bidan terlatih.
“Kerajaan Malaysia mengambil beberapa langkah penting dalam menangani masalah ini seperti menghantar bidan dan jururawat kampung untuk latihan serta kursus yang sesuai bagi mencegah sebarang komplikasi semasa proses kelahiran,” katanya.
Sejak itu, Malaysia kini memiliki pusat kesihatan unggul dilengkapi kemudahan moden yang bukan saja memberi manfaat penduduk di bandar malah mereka yang tinggal di kawasan terpencil seperti penempatan Orang Asli.
Ini dapat dilihat dengan wujudnya lebih 3,000 klinik kesihatan termasuk klinik desa di seluruh negara bagi memantau tahap kesihatan ibu dan bayi.
Ini sekali gus berjaya mengurangkan kadar kematian ibu ketika bersalin, daripada 44 orang bagi setiap 100,000 kes kelahiran pada 1990 kepada 28 orang bagi setiap kes yang sama pada 2009 dengan adanya rawatan berkala secara percuma ketika hamil dan selepas melahirkan anak.
Sistem jagaan yang begitu sistematik dengan mengadakan lawatan ke rumah pada hari ketiga, keempat, kelapan dan ke-20 sangat membantu memulihkan kesihatan ibu sewaktu 40 hari pertama manakala bayi diberikan imunisasi dan rawatan susulan sehingga anak berusia enam tahun. Begitu juga dengan ibu diberi khidmat kaunseling dan nasihat mengenai perancangan keluarga secara percuma.
“Rawatan yang disediakan di tempat yang sama memudahkan ibu dan anak mendapat rawatan susulan. Malah tidak wujud tanggapan kos terlalu tinggi untuk mendapatkan rawatan kerana semuanya disediakan tanpa sebarang bayaran,” katanya.
Keadaan ini berbeza di negara dunia ketiga apabila kesihatan ibu dan anak menjadi masalah utama disebabkan kelemahan sistem itu sendiri selain kurang kakitangan terlatih, bekalan darah, ubat-ubatan serta rawatan kecemasan yang membolehkan ibu bersalin mendapat bantuan segera.
Bagi mengelak komplikasi ketika bersalin, ibu seharusnya datang ke pusat kesihatan bagi mendapatkan rawatan. Ini bagi mengelak berlaku sebarang masalah dan bagi membolehkan ibu bersalin dalam keadaan selamat.
“Bagi kelahiran selamat, seorang ibu sepatutnya bersalin dengan seorang bidan terlatih bagi mengelak sebarang komplikasi. Malah pusat kesihatan atau hospital harus mempunyai semua kelengkapan terutama peralatan, darah dan ubat-ubatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” jelas Dr Raj.
Kematian ketika melahirkan anak bukan saja membawa masalah kesihatan namun kesan sosial dan ekonomi kepada negara. Ini kerana bayi yang dilahirkan tanpa ibu ini tidak mendapat perhatian secukupnya. Mereka bukan saja hilang kasih sayang tetapi juga tidak mendapat khasiat pemakanan terutama susu ibu.
Apabila anak-anak ini membesar dikhuatiri akan memberi kesan kepada emosi mereka. Selain itu, kakak atau abang serta ahli keluarga yang lain terpaksa berhenti sekolah kerana ingin menjaga adik-adik. Ini akan menyebabkan masyarakat terperangkap lebih mendalam dalam isu kemiskinan.
“Kesan lebih besar juga berlaku kepada ekonomi negara apabila negara akan hilang sumber pendapatan disebabkan ketiadaan wanita yang turut memberi sumbangan kepada ekonomi negara,” jelasnya.
Tuan rumah persidangan Women Deliver Global 2013
Oleh kerana Malaysia adalah negara membangun yang menunjukkan kesan positif dengan pengurangan kadar kematian ketika melahirkan anak, negara ini diberi penghormatan menjadi tuan rumah Persidangan Ketiga Women Deliver Global 2013 yang memberi tumpuan bagi mengurangkan kematian ibu bersalin dan mencapai matlamat terhadap kesihatan reproduktif.
Persidangan anjuran pertubuhan yang berpangkalan di New York, Women Deliver memperjuangkan usaha mengumpulkan suara dari seluruh dunia ke arah memperbaiki kesihatan gadis dan wanita.
Hampir 5,000 perwakilan dari 161 negara dijangka hadir yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Mei ini.
Menurut Dr Raj, menerusi sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Malaysia dipilih sebagai tuan rumah kerana kedudukannya sebagai negara demokratik, sedang membangun dan liberal dengan dasar sosio ekonomi dan pembangunannya yang stabil serta kukuh.
“Malaysia terkenal dengan usaha memperbaiki kesihatan dan kadar kematian ibu bersalin sebagai inisiatif utama negara, jauh mendahului apa yang dijalankan oleh agensi antarabangsa.
Selain itu, keamanan serta sistem penjagaan kesihatan komprehensif yang dirancang rapi adalah sebab utama ia diadakan di sini,” katanya.
Malah Malaysia adalah negara Asia pertama dipilih menganjurkan persidangan memandangkan pencapaian yang begitu positif dalam mengurangkan kadar kematian ibu bersalin pada setiap tahun. Ia sekali gus akan menjadi batu loncatan kepada negara lain belajar dan mencari kaedah terkini untuk negara mereka.
Persidangan tiga hari yang akan bermula pada 28 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu akan mengetengahkan penceramah terkenal seperti Melinda Gates, pengasas bersama Yayasan Bill Melinda Gates serta bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet.
Penceramah lain yang turut menyertainya ialah anggota Parlimen Kemboja, Mu Sochua; Anuradha Gupta dari Kementerian Kesihatan India dan Gita May dari Kementerian Kesihatan Indonesia.
Dr Raj berharap lebih ramai delegasi dari seluruh dunia akan mendaftar untuk menyertai persidangan berkenaan. Inilah masanya wanita dari seluruh dunia berkumpul serta membincangkan mengenai pelbagai masalah, kaedah terbaru dan cara rawatan bagi mengurangkan kadar kematian ibu bersalin serta mengetengahkan kemajuan yang dicapai berhubung hak dan kesihatan wanita.
Mereka yang berminat menyertai persidangan boleh melayari laman sesawang www.womendeliver.org untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendaftaran.