Perang Bukan Halangan
KELEMBUTAN dan kemerduan alunan bunyi qanun iaitu sejenis alat muzik tradisional Timur Tengah yang bertali memenuhi bilik di satu-satunya sekolah muzik di Tebing Gaza, Palestin.
Jari jemari kecil Zeina al-Hamamra lincah dan penuh yakin mendendangkan lagu daripada alat muzik yang kelihatan seperti zither itu, sambil membongkokkan badannya ke depan untuk mencapai tali paling hujung menggunakan alat pemetik diperbuat daripada perak.
Dia tersenyum puas tatkala menamatkan alunan lagu merdu itu, tanda bahawa pelajaran setahun di Sekolah Muzik Gaza sudah membuahkan hasil. Dendangan muziknya boleh dibanggakan, apatah lagi dengan umurnya yang masih sangat muda.
Dari luar bilik, bunyi tiupan sumbang trompet cuba melawan alunan cello. Namun ia masih tidak mampu menandingi hiruk-pikuk kenderaan di jalan raya dan jerit pekik peniaga yang mahu menarik perhatian pelanggan atau deruman bunyi enjin jet pejuang Israel.
Pemandangan di sekolah muzik ini sebenarnya sesuatu yang sangat asing di bumi Palestin yang sentiasa huru-hara. Penubuhan sekolah muzik itu diilhamkan Ibrahim al-Najjar, ahli muzik berumur 64 tahun yang turut menyertai pelajar kanak-kanak sambil memetik kecapi Arab.
Sementara itu, Hamamra dan rakannya bermain qanun manakala seorang pelajar lelaki pula menepuk gendang kecil atau tabla mengiringi alunan muzik kumpulan kecil itu.
“Muzik adalah pusat ketamadunan atau peradaban dan kami mahu kanak-kanak ini ada akses kepada tamadun,” katanya ketika ditemui di pejabatnya yang kecil.
Alunan biola dari bilik sebelah menyusup masuk mencelah perbualan.
Najjar, anak jati Gaza, belajar muzik di Kaherah pada lewat 1960-an. Dia mendapat pendidikan di Kuwait dan Romania, sebelum pulang ke Palestin pada 1997 apabila ditawarkan pekerjaan di Kementerian Pendidikan Gaza untuk melatih guru muzik.
Selama 10 tahun berkhidmat dengan kementerian pendidikan, dia melatih 37 guru dan merangka kurikulum untuk guru mengajar muzik. Dia kemudian meletakkan jawatan demi merealisasikan impiannya membuka sekolah muziknya sendiri yang dikhususkan untuk kanak-kanak pada 2007.
Namun perjalanannya terhenti apabila dia terpaksa menutup sekolah itu kerana kesempitan wang. Setahun kemudian, dia didatangi wakil dari Yayasan AM Qattan, badan kebajikan yang beribu pejabat di London tetapi bergiat aktif di Palestin.
Yayasan itu menawarkan dana untuk membuka sekolah muzik baru dan sanggup membayar yuran serta membeli peralatan muzik.
Rupanya ramai yang menantikan pembukaan sekolah muzik itu. Apabila ia dibuka secara rasmi pada 2008, Najjar menerima 300 permohonan sedangkan sekolah itu hanya boleh menerima 35 pelajar saja.
Tetapi tidak sampai tiga bulan beroperasi, sekolah muzik itu runtuh apabila Israel melancarkan operasi menyerang Gaza selama 22 hari yang memusnahkan infrastruktur di wilayah terkepung itu dan mengorbankan lebih 1,400 nyawa penduduk Palestin.
“Ketika serangan bermula saya berada dalam pejabat. Saya juga hampir terbunuh kerana saya bersendirian. Bangunan sekolah rosak teruk dan semua alat muzik musnah,” katanya dengan nada sedih.
“Melihat keadaan sekolah yang sangat menyedihkan, pelajar saya juga bersedih.
Mereka fikir, tiada lagi sekolah muzik akan dibuka selepas perang, maka peluang untuk mereka belajar tertutup. Saya katakan, kita kena berfikir sebaliknya.
Kita akan bangunkan semula sekolah ini.
“Keperluan belajar muzik memang ada dan ia sangat diperlukan. Orang boleh bermain alat muzik untuk melupakan peperangan dan beri peluang kanak-kanak ini berasa gembira semula,” katanya.
Dengan bantuan Qattan, sekolah itu dibuka semula lima bulan kemudian di bangunan yang mempunyai 10 bilik dan 13 guru. Kebanyakan guru adalah rakyat Palestin tetapi ada di antaranya adalah wanita Russia dan Romania yang berkahwin dengan lelaki Gaza.
Sekolah baru itu dibuka empat jam sehari, enam hari seminggu dan kini mempunyai 126 pelajar cilik yang belajar satu daripada lapan jenis alat muzik iaitu piano, biola, selo, trompet, navy (seruling timur), qanun, oud (gambus) dan gitar. Kini ia juga mempunyai 40 kumpulan koir dan orkestra kecil.
Di dinding dewan tergantung gambar ahli muzik dan komposer terkenal. Gambar Chopin digantung bersebelahan gambar Farid al-Atrash, pemuzik legenda berbangsa Syria/Mesir yang menandakan bahawa sekolah berkenaan menggandingkan muzik Barat dan Timur.
Di satu bilik, Ahmed Abu Amsha dengan sabar menunjukkan cara memetik gitar kepada pelajarnya dan menyuruhnya mengulang semula apabila melakukan kesalahan.
“Dulu muzik memang tidak wujud di Gaza. Jadi kanak-kanak tidak tahu apa-apa mengenai muzik. Tetapi muzik amat penting dan kini ia menjadi lebih penting.
“Selepas perang, keadaan kanak-kanak ini memang sangat teruk. Mereka sangat menderita dan trauma. Jadi dengan bermain alat muzik, pelajar saya merasakan diri mereka istimewa dan keadaan ini membolehkan mereka menjadi kanak-kanak semula. Saya turut rasa gembira melihat mereka kembali ceria,” katanya.
Menurut Najjar, salah seorang pelajarnya, Liliane al-Madhun, gadis manis berlesung pipit berumur 13 tahun menyimpan hasrat belajar bermain piano sejak mula sekolah. Ini adalah pilihan biasa kerana satu-satunya alat muzik yang diketahui kebanyakan pelajar adalah piano.
Bagaimanapun, dia disaran belajar qanun dan kini gembira dengan pilihannya, apatah lagi boleh bermain qanun dengan baik.
“Saya sangat suka. Saya tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya apabila bermain qanun. Apa yang pasti, saya terasa seolah-olah berada di tempat lain,” katanya.
Tiga tahun belajar qanun tidak mengubah perspektifnya terhadap muzik tradisional Arab yang dianggap membosankan.
“Saya tidak suka muzik Arab. Ia sungguh menyedihkan dan membosankan. Saya sukakan Justin Bieber,” sambungnya dengan penuh semangat sambil menunjukkan gambar penyanyi pop Kanada berusia 17 tahun itu di telefon bimbitnya.
Walaupun Najjar tidak minat Bieber tetapi dia tetap gembira melihat kesungguhan pelajarnya mendalami bidang muzik.
“Muzik memang menjadi sebahagian hidup kita sama ada kita mahu atau tidak.
Rentak degupan jantung kita sendiri – boom, boom, boom – adalah satu ritma muzik. Burung, angin, pokok, semuanya ada alunan muzik tersendiri. Muzik mengubah perlakuan kanak-kanak. Ia membantu mereka menjadi lebih normal terutama bagi kanak-kanak di Gaza,” katanya. – AFP