Perhiasan Kegilaan Wanita

WANITA mana yang tidak sukakan barangan kemas, malah antara perhiasan diri yang menjadi kegilaan kaum hawa dan sering digayakan apabila menghadiri majlis keramaian adalah yang dipakai di tangan mereka seperti gelang dan rantai tangan.

Gelang adalah barang perhiasan yang dipakai di pergelangan tangan, tetapi ada juga yang memakainya di pergelangan kaki, misalnya gelang but yang dipasang di kasut but.

Gelang boleh diperbuat daripada logam, kulit, kain atau bahan plastik malah kadangkala mengandungi permata, batu, kayu, serta kerang.

Ada juga gelang digunakan untuk tujuan perubatan dan sebagai identiti diri seperti gelang alahan dan tag pengenalan pesakit di hospital.

Antara gelang yang popular adalah yang diperbuat daripada emas dan sering ditampilkan dalam pelbagai objek mempesonakan seperti mempunyai loket berbentuk tertentu termasuk hati, kuda laut, kristal, telefon, beruang, kapal angkasa atau piano besar.

Selain gelang di pergelangan tangan, gelang di bahagian lengan juga wujud dan asal-usulnya adalah dari Yunani yang dipakai oleh pemanah sebagai perisai di tangan.

Tekstur gelang boleh menjadi licin, kasar atau dihiasi dengan batu permata, misalnya di India, gelang yang diperbuat daripada kaca adalah perkara biasa dan dipakai secara banyak supaya gerakan tangan akan menghasilkan bunyi lembut seperti loceng angin yang diletakkan di hadapan pintu rumah.

Di negara itu juga, anak muda akan dipakaikan gelang emas nipis di tangan dan buku lali mereka.

Ada juga gelang yang diperbuat daripada manik yang dihubungkan menggunakan tali pancing, mempunyai pelbagai gaya terkini dan dijual murah, seperti dilihat di mana-mana sekarang ini.

Tidak sekadar perhiasan, gelang juga ada yang digunakan oleh pengamal perubatan alternatif seperti gelang karma, terion dan magnet, yang dinilai bukan pada rekaannya, tetapi pada manfaat seperti yang didakwa.

Misalnya, gelang karma yang diperbuat daripada manik kayu, dikatakan mengandungi azimat yang dikaitkan dengan nasib baik dan buruk kepada mereka yang memilih untuk memakainya.

Selain itu, gelang getah silikon turut muncul dan dipopularkan oleh Nike dan Lance Armstrong melalui gelang Yellow Livestrong, iaitu lilitan getah berwarna bermula Mei 2003.

Bagi kebanyakan orang, pemakaian gelang lebih kepada hiasan diri, tetapi sejarah menunjukkan aksesori berkenaan bermula sebagai satu objek yang membawa makna tersirat dalam upacara keagamaan.

Sejak zaman prasejarah, rantai tangan sudah menjadi pilihan sebagai aksesori malah ia turut diangkat menjadi simbol keagamaan dan kepercayaan spiritual dalam kalangan penganutnya.

Sejarah Mesir sekitar 5,000 masihi juga menunjukkan rantai tangan diperbuat daripada material seperti tulang, batu dan kayu, manakala menurut Persatuan National Geographic, gelang yang dikenali sebagai ‘scarab’ adalah antara simbol Mesir purba yang paling dikenali.

Scarab yang diukir dan dipakai sebagai perhiasan diri, mewakili proses kelahiran dan pertumbuhan semula di mana ia dibalut dengan kain linen pada mumia.

Menurut mitos mengenai dewa scarab, Khepri, yang kononnya dikatakan menolak matahari merentasi langit.

Di Bulgaria, wujud satu tradisi dinamakan Martenitsa, yang kadangkala membabitkan ritual mengikat benang berwarna putih dan merah dengan harapan musim bunga akan tiba lebih awal.

Amalan sama turut dilakukan dalam tradisi di Greece di mana ia membabitkan gelang yang dipanggil ‘Martis’ ditenun daripada benang putih dan merah serta dipakai pada hari pertama Mac sehingga hujung musim panas, dianggap dapat melindungi pemakainya daripada terik matahari Greek.

Perkara lebih kurang sama juga boleh dilihat di Amerika Latin yang menyaksikan pemakaian gelang ‘Azabache’ mampu menjadi pelindung kepada perasaan iri hati orang yang melihat.

Azabache yang dipakaikan kepada bayi baru lahir sama ada dalam bentuk emas dengan suatu tangkal karang berwarna hitam atau merah dalam bentuk genggaman, dipercayai mampu melindunginya daripada mata orang yang iri hati.

Manakala, pemakaian jenis dan jumlah gelang oleh wanita di beberapa bahagian tempat di India boleh menjadi penanda mengenai status perkahwinan pemakainya.

Namun pada masa ini, pemakaian gelang adalah lebih menjurus kepada melengkapkan gaya serta sebahagian aksesori yang mampu menonjolkan diri dengan perhiasan cantik dan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

801 views