Perincian Di Dada Tampak Sopan

Jenis kain memainkan peranan dalam penyediaan busana pengantin yang mewah dan menyerlah.

Malah padanan kain digunakan juga mampu menyerlahkan lagi keanggunan raja sehari tanpa mengira bentuk serta saiz badan dimiliki.

Bagi butik pengantin D’Love Bridal House penggunaan kain jenis satin Dutchesse, sutera sifon, georget dan renda Perancis paling dititikberatkan.

Walaupun ramai mengatakan kain jenis ini agak mahal, jika bijak memadankannya, fabrik ini mampu memberikan kelebihan terhadap potongan baju pengantin yang ingin diserlahkan.

Selain itu, kombinasi manik, taburan berlian, kristal swarovski dan penggunaan tampalan bunga tiga dimensi (3D) menjadikan busana pengantin lebih mewah.

Sesuai dengan konsep Muslimah, pakaian pengantin diberikan perincian pada bahagian dada agar lebih sopan dan manis dipandang. Rekaan juga bercirikan gaun Muslimah yang diberikan potongan moden menggunakan konsep ala Cinderella ataupun puteri.

Potongan gaun Inggeris digunakan disesuaikan dengan cita rasa Melayu banyak mempengaruhi penghasilan busana pengantin.

Tidak salah bagi wanita bertudung menggayakan konsep sebegini, tetapi banyak perkara perlu diberi perhatian terutama dalam pemilihan tudung yang hendak dipadankan dengan baju.

Jika busana pengantin itu sudah sarat dengan sulaman serta perincian, maka aksesori tudung perlu dikurangkan agar kelihatan seimbang.

Penggayaan warna pula banyak menggunakan warna pastel lembut seperti pic, putih serta kuning lembut keemasan. Pemilihan warna sebegini lebih selamat kerana ia boleh disesuaikan dengan semua warna kulit.

Di samping itu, walaupun potongan gaun kelihatan sama, ia diolah semula dan diubah suai supaya tampil lebih moden bersesuaian dengan peredaran fesyen semasa.

Pengantin kini gemarkan rekaan yang ringkas supaya mereka tidak kelihatan terlalu sarat terutama jika mengenakan tudung. Antara cara untuk menyerlahkan pakaian pengantin berpotongan ringkas, tetapi anggun ialah dengan menggunakan hiasan kristal yang dijadikan sebagai titik fokus.

Malah gabungan renda dan manik ditambah bagi memastikan baju pengantin terbabit kelihatan lebih anggun.

Bagi bakal pengantin yang memiliki saiz badan agak besar disarankan menggayakan koleksi daripada jenis kain sifon berbanding satin Dutchesse. Sifon mampu menyembunyikan bahagian yang tidak diingini berbanding satin yang melekat pada badan.

Selain itu, bakal pengantin diingatkan agar memilih warna digemari yang bersesuaian dengan warna kulit.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

855 views