Perincian Indah Penambah Seri

Keunikan busana pengantin bukan saja terletak pada rekaan, malah perinciannya turut memainkan peranan dalam memastikan gaya raja sehari itu lebih menonjol ketika majlis berlangsung.

Bagi pemilik butik pengantin, Asyikin Amri, rekaan baju pengantin menggunakan kain polos kini tidak lagi disertakan dengan perincian renda sepenuhnya.

Sebaliknya ia dijadikan baju dua lapisan yang menampakkan ciri berbeza dalam satu baju yang sama. Bentuknya yang ringkas membolehkan pengantin menggayakannya dengan cara berlainan mengikut kesesuaian.

Malah, gaya potongan gaun labuh moden serta kurung moden turut dipelbagaikan dalam setiap rekaan untuk menyerlahkan kelebihan dan keunikannya.

“Penggunaan potongan kain singkat di bahagian hadapan dan meleret di belakangnya menambah kehalusan seni gaya rekaan baju pengantin.

“Saya cuba memberikan sedikit kelainan walaupun tidak dinafikan potongan baju kelihatan seakan-akan sama, masih terdapat perbezaan jika diperhatikan secara terperinci,” katanya.

Namun, pengantin tinggi lampai perlu berhati-hati jika menggayakan potongan baju sedemikian kerana ia menyebabkan kain kelihatan senteng apabila dipadankan bersama kasut tumit tinggi.

Rekaan potongan ala kurung moden pula diperkemaskan dengan gabungan kain kembang paras paha menggunakan kain jaring berserta tampalan reben di bahagian kaki kain.

Walaupun ringkas, perincian pada bahagian atas badan membuatkan baju pengantin berkenaan lebih terserlah dalam imej kesederhanaan.

Di samping itu, penggunaan aksesori secara minimum di bahagian kepala dan leher juga membuatkan bakal pengantin lebih selesa.

Cukup sekadar diserikan dengan layah, tiara, rantai leher berserta tudung, ia sudah mampu menonjolkan aura seri bakal pengantin.

Bagi mereka yang ingin mengekalkan tradisi, baju songket masih lagi mendapat permintaan terutama jika pasangan menetapkan konsep tradisional dalam majlis mereka.

Potongan kebaya labuh atau kebaya singkat berasaskan jenis kain terbabit tetap kelihatan mewah terutama jika dipadankan aksesori bersesuaian.

Walaupun rekaannya sama, apa membezakan bentuknya ialah corak kaki kain yang dijadikan titik tumpu pada baju.

Ia diletakkan di bahagian tengah baju dengan tambahan perincian sulaman manik menghiasi kaki kain, lengan baju, hujung baju serta leher.

Untuk tampil lebih menyerlah bakal pengantin tidak digalakkan memilih baju pengantin yang terlalu sarat kerana ia boleh menyebabkan gaya kelihatan berserabut dan tidak kemas.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

64,862 views