Perjalanan Harapan

BERMULA 7 Mei lalu, empat anak remaja penghuni rumah perlindungan, Rumah Titian Kasih (RTK) ini berulang-alik dari Titiwangsa, Kuala Lumpur, ke Kolej Antarabangsa Silverspoon di Puchong, Selangor.

Seawal jam 7 pagi, mereka sudah memulakan perjalanan bersama beberapa ibu tunggal yang lain dengan menaiki van yang dipandu salah seorang peserta yang juga anak kepada pengetua RTK, Nor Fadillah Sraiff, 23, untuk sampai ke kolej berkenaan.

Tujuannya cuma satu iaitu untuk mengikuti Program Hot Mama kendalian Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) dengan kerjasama Coca Cola Malaysia (Coca Cola).

Selain Nor Fadillah, Nur Faezzah Abdul Azis, 18, Effarizan Mohd Ariff, 18, dan Nor Atikah Zainuddin, 19, teruja kerana diberikan kesempatan mengikuti program berkenaan secara percuma.

Hot Mama adalah satu projek yang bertujuan memberi bimbingan mengenai keusahawanan dan kemahiran kulinari kepada golongan ibu tunggal serta remaja perempuan supaya dapat membantu mereka berdikari kelak.

Kursus kulinari selama tiga bulan yang akan berakhir pada 21 Julai itu secara langsung membimbing mereka mengenai cara memproses makanan bagi menghasilkan pelbagai jenis sos dan perasa serta pengurusan perniagaan.

Menurut Nor Faezzah, biarpun mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan tanpa insan bergelar ibu dan ayah di sisi, dia dan rakannya cekal mengharungi kehidupan seharian berbekalkan semangat untuk berjaya di masa depan.

“Saya sangat gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada peserta program ini apatah lagi memasak memang minat saya. Sebelum ini pun, saya kerap membantu Mak Pah (pengetua) dan ibu tunggal lain mengemas dan memasak di RTK.

“Jadi, saya langsung tidak kekok untuk melakukan semua kerja di dapur sebab sudah sebati di dalam diri. Menerusi program ini, saya dapat belajar cara membuat pelbagai jenis sos dengan lebih teratur, betul dan paling penting, sedap untuk dijamah.

“Antara sos yang kami hasilkan ialah sos cili asli, sos cili Thai, sos tomato, sos rojak dan petis udang. Secara keseluruhannya, hampir 20 jenis sos sudah kami pelajari di sini,” katanya yang pernah mengikuti Kursus Pemprosesan Makanan sewaktu menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa.

Nor Faezzah yang sudah lapan tahun menghuni RTK bersama enam saudara kandungnya juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari pada masa depan jika layak dan berkemampuan.

Bagi Effarizan pula, pembabitannya dalam program berkenaan sekadar mahu mencuba dan suka-suka. Namun tidak menafikan sebagai seorang perempuan, dia gemar memasak cuma tidak melihat bidang itu akan diterokai dengan lebih serius pada masa depan.

Menurutnya, program berkenaan memberi pendedahan yang baik kepada penghuni RTK kerana mereka dapat mempelajari sesuatu yang berguna agar boleh digunakan untuk menjana pendapatan seterusnya menampung kehidupan keluarga.

Nor Atikah pula berkata, menerusi program itu dia mengetahui cara membuat sos terdiri daripada pelbagai cara antaranya dengan menumis atau merebus.

“Selama ini, di RTK kami ada menghasilkan sos dan makanan sendiri untuk dijual kepada orang ramai bagi mendapatkan pendapatan untuk kegunaan penghuni.

“Kami ada buat sos cili cuma caranya berlainan dengan apa yang diajar oleh chef di sini kerana kami menggunakan kemahiran dan pengalaman masing-masing yang tidak seberapa.

“Ternyata, selepas mempelajari teknik yang betul dengan chef, barulah kami tahu rupa-rupanya untuk menghasilkan sos makanan yang sedap dan berkualiti tidak rumit tetapi teknik dan pemilihan bahan memainkan peranan penting,” katanya yang tinggal di RTK sejak lima tahun lalu selepas kedua-dua ibu bapanya berpisah.

Dalam program itu, mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada dua orang. Mereka belajar membuat sos secara bersama-sama di bawah bimbingan Chef Philip Chen.

Tambah Noor Fadillah, mereka sudah terbiasa dengan keadaan seperti kekecohan dan kesibukan di dapur kerana di RTK sendiri golongan ibu tunggal memerlukan bantuan mereka untuk melakukan proses pembungkusan makanan seperti kuih-muih dan sos sebelum dijual.

Pendek kata, walaupun mereka tidak semewah orang lain, mereka tetap berusaha untuk menjual produk buatan sendiri agar dapat mengisi tabung bagi digunakan oleh penghuni. Justeru, program sedemikian sedikit sebanyak menolong mereka meningkatkan kemahiran dalam penghasilan pelbagai jenis sos.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Muslim Aid, Habsah Marjuni, berkata peserta terpilih dalam program berkenaan adalah mereka yang mempunyai kesungguhan dan berminat dalam bidang masakan.

Mereka menghadiri kelas tiga kali seminggu iaitu pada setiap hari Isnin, Jumaat dan Sabtu untuk belajar mengenai teori dan praktikal yang terkandung dalam subjek pembelajaran termasuk subjek keusahawanan.

“Usaha kami untuk membantu mereka memajukan diri supaya pada masa depan jika mereka serius dalam bidang ini dan mahu menjual produk sendiri, ilmu asasnya sudah dimiliki.

“Ini kerana melalui program Hot Mama, chef mengajar mereka membuat pelbagai jenis sos yang terbaik dari segi kualiti, rasa dan nilai komersilnya agar boleh diterima ramai apabila sesuai dipasarkan.

“Program ini juga boleh diibaratkan sebagai satu perjalanan harapan kepada setiap peserta kerana kemahiran yang diperoleh itu akan memperkasakan mereka untuk memulakan masa depan yang lebih cerah bukan saja demi diri sendiri malah keluarga,” katanya.

Tambahnya, perkembangan semua peserta juga akan dinilai secara berterusan selepas program berkenaan tamat. Sesiapa yang dilihat serta difikirkan layak untuk terus dibantu daripada segi penyediaan peluang perniagaan, Muslim Aid tidak akan teragak-agak menghulurkan bantuan.

Selain memasak dan seni kulinari, peserta juga didedahkan dengan mata pelajaran termasuk pembangunan produk, pembungkusan, asas perakaunan, pengambilan stok dan inventori, perbelanjaan kos dan bahan, piawaian industri, penjenamaan serta pemasaran.

Pengarah Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Coca Cola Malaysia, Mohamed Kadri Mohamed Taib, berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha program sebegini yang berbentuk memperkasakan wanita untuk berdikari dan memberi impak kepada aspek pembangunan sosial serta ekonomi yang begitu positif.

Ia juga sejajar dengan falsafah Coca Cola memberi sumbangan kepada pihak kurang berkemampuan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik.

Justeru, geran bernilai kira-kira RM700,000 dibiayai Yayasan Coca Cola diberikan kepada Muslim Aid untuk melaksanakan program berkenaan dan program lain yang dilihat mempunyai pelbagai kebaikannya.

“Selain itu, projek ini adalah sebahagian daripada komitmen global kami diberi nama ‘5 By 20′ Coca Cola yang mahu memperkasakan sekurang-kurangnya lima juta usahawan wanita menjelang 2020.

“Caranya dengan menyediakan peluang untuk mencapai potensi mereka bagi menyara keluarga di samping memperkukuhkan komuniti dan memberi inspirasi kepada berjuta orang lagi untuk melakukan perkara yang sama.

“Bantuan seperti ini sudah banyak kami lakukan di negara Asia lain dan di Vietnam contohnya, kami memberi sejumlah peruntukan kepada golongan wanita yang ingin menjaja makanan atau minuman dan tentu sekali mereka juga harus menjual produk minuman kami,” katanya.

Selalunya, mereka menjual barangan ini menggunakan kereta tolak di tepi jalan sekitar bandar raya. Secara perlahan-lahan, sekiranya usaha mereka boleh dikategorikan berada pada tahap berjaya, Coca Cola akan membantu misalnya dengan memberikan sebuah kedai runcit.

Namun semua itu dilakukan secara berperingkat supaya mereka belajar melalui pengalaman. Sementara itu, Coca Cola turut bekerjasama dengan Muslim Aid membabitkan projek diberi nama ‘Air Untuk Kemanusiaan’ yang menyediakan bekalan air bersih secara berterusan sesuai untuk kegunaan dan menambah baik sanitasi masyarakat luar bandar di Gua Musang, Kelantan dan Mabul, Sabah.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

849 views