Perkenal Rekaan Baru Setiap Tahun
Melihat kepada keunikan seni gula dan coklat berwarna-warni yang dihasilkan Yusnisah Mohd Yusar, 36, tidak hairanlah jika ia mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan mereka yang mahu melangsungkan majlis pertunangan dan perkahwinan.
Malah, disebabkan rupanya yang menarik, ditambah pula rasa coklat yang sering kali dikaitkan dengan cinta, ramai yang menempah coklat pelbagai bentuk untuk dihadiahkan kepada insan tersayang.
Biarpun sudah serius dalam bidang bakeri sejak tujuh tahun lalu, Yusnisah mula memberi tumpuan kepada seni gula ‘sugarbox’ dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini kerana yakin ia mampu menguasai pasaran, memandangkan pelbagai bentuk boleh dihasilkan pada harga yang berpatutan.
Yusnisah berkata, dia memang amat meminati bidang masakan dan bakeri sehingga akan mencari guru masakan terbaik untuk mengetahui penyediaan sebarang hidangan sebaik mungkin.
Walaupun ada kalanya harga yang ditetapkan untuk satu-satu jenis kelas persendirian itu agak mahal, tetapi dia sanggup mengeluarkan wang simpanannya. Memang, ilmu yang diperoleh daripada kelas persendirian itu lebih memuaskan hatinya.
“Saya sudah lama terbabit dalam bidang pembuatan kek dan kuih-muih, tetapi sejak beberapa tahun lalu saya lebih fokus kepada coklat selepas menyedari ramai yang menggemarinya.
“Saya juga aktif menghasilkan ‘sugarbox’ kerana saya tahu ramai yang mahukan kelainan. Apatah lagi setiap kali ke majlis kenduri kahwin, saya lihat tidak ada orang yang buat ‘sugarbox’, jadi saya terfikir mengapa saya tidak menawarkannya sebagai pilihan menarik kepada bakal pengantin.
“Seni ini sebenarnya sudah lama ada dan pernah popular sedikit masa dulu. Sekarang ini saya cuba untuk mempopularkan semula kerana ia boleh menjadi bekas yang menarik untuk mengisi barangan hantaran,” katanya.
Menurut Yusnisah, tempahan yang diterima semakin hari semakin banyak menyebabkannya tidak menang tangan mengambil tempahan. Bagaimanapun, dia amat bertuah kerana suami dan tiga anaknya banyak membantu terutama dalam tugas pembungkusan.
Bukan dia tidak mahu mengambil pekerja yang boleh menyiapkan bahan, tetapi sikap terlalu teliti dan inginkan yang terbaik buat pelanggan membuatkannya tegar menyiapkan sendiri semua tempahan.
Walaupun bekerja dari rumah, dia tidak sempat bersenang-lenang kerana perlu menyiapkan tempahan seawal selepas Subuh sehinggalah jam menunjukkan 2 pagi, terutama ketika Aidilfitri dan musim cuti sekolah menghampiri.
“Saya bertuah kerana anak-anak seakan memahami kesibukan saya dan tidak mengganggu apabila saya sibuk di dapur. Mungkin kerana mereka sudah biasa melihat saya begini sejak kecil.
“Suami pula banyak membantu dari segi penghantaran ‘sugarbox’ atau coklat yang sudah siap dibentuk mengikut permintaan antaranya masjid, yang sesuai dengan majlis perkahwinan,” katanya yang turut memaparkan hasil kerja tangannya di www.ymyonlinegallery.blogspot.com dan Facebook YMY Chocolicious Crafts.
Usahawan itu berkata, dia turut mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Koko Malaysia dan banyak menjalinkan kerjasama dengan syarikat katering yang mengambil tempahan daripadanya untuk majlis perkahwinan.
Pada awal terbabit dalam bidang bakeri, dia lebih banyak bersantai dan hanya mengambil tempahan sekiranya ada masa, namun minat mendalam mendorongnya mengambil keputusan muktamad untuk berhenti kerja daripada dunia perhotelan.
Selain menghasilkan pelbagai bentuk objek dari coklat dan gula, dia turut menganjurkan kelas selepas mendapat banyak permintaan daripada pelanggan yang berminat mempelajari seni itu.
“Pembuatan ‘sugarbox’ sebenarnya agak leceh, tetapi hasilnya menawan. Bagi seni coklat pula, saya menggunakan kaedah didih atas air panas dan kemudian dituang ke dalam bekas acuan pelbagai bentuk.
“Saya tempah bekas acuan coklat dari luar negara kerana ada banyak pilihan bentuk dalam pelbagai saiz. Tetapi proses untuk menyejukkan coklat yang sudah dibentuk mengambil masa agak lama terutama yang bersaiz besar iaitu sehingga enam jam,” katanya.
Katanya, coklat yang dipanaskan akan dituang ke dalam acuan pelbagai bentuk supaya ia tampil lebih menarik. Pun begitu, ada juga pelanggan yang meminta supaya adunan coklat ini dicampur dengan badam, kacang hazel atau bahan lain mengikut kegemaran masing-masing.
Antara produknya yang mendapat permintaan tinggi sepanjang tahun dan akan berganda apabila tiba musim keraian adalah tat nanas buah. Ia dibentuk menyerupai buah-buahan dan disapu dengan pewarna makanan supaya nampak cantik.
Manakala, ‘sugarbox’ yang baru diperkenalkan semula sejak lima bulan lalu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada pelanggan yang mahukan produk unik. Buat masa ini dia menerima sekurang-kurangnya enam tempahan seminggu.
Mengakui minatnya itu membawa pulangan yang lumayan, Yusnisah berkata, biarpun penat mengejar tempahan, setiap hari dia tetap akan memastikan meluangkan sedikit masa untuk memasak sendiri makan tengah hari dan malam keluarganya.
“Saya juga sentiasa belajar supaya dapat menghasilkan produk baru sekurang-kurangnya dua produk setiap tahun supaya pelanggan tidak jemu kerana melihat menu yang sama saja,” katanya.