Perlu Bijak Pilih Warna

Kebanyakan pengantin mengakui masalah paling ketara memilih baju pengantin ialah warna yang ingin dipakai ketika majlis persandingan.

Ada berpendapat memilih rona kesukaan membuatkan anda nampak biasa kerana warna itu sering dipakai dan kelihatan kurang seri manakala ada pula mengatakan pilih rona yang jarang dipakai kerana ia akan membuatkan mempelai tampil glamor dan berseri-seri.

Walau apa juga pendapat, pelbagai faktor harus diambil kira. Antaranya ukuran badan, warna kulit serta bajet yang akan menentukan jenis dan gaya padanan bersesuaian serta warna tema pakaian.

Bagi mempelai berkulit sawo matang tentunya pemilihan rona busana tidak menjadi masalah berbanding mempelai yang berkulit cerah atau lebih dikenali sebagai putih melepak atau rona gelap. Golongan ini harus berhati-hati memilih warna busana supaya nampak serasi dengan kulit dan sesuai dengan pasangan.

Antara panduan yang boleh diikuti:

Pilih rona sepadan kulit

Warna hitam, biru, ungu gelap, hijau gelap dan merah hati juga dikenali sebagai warna mewah. Kemewahan himpunan warna gelap ini amat berkesan jika dipadankan dengan warna kulit cerah kerana mempunyai ciri yang berlawanan lantas menimbulkan kesan dramatik.

Sekiranya mempelai berkulit gelap mengenakannya, ia kurang menyerlah, malah akan menenggelamkan seri si pemakai. Ini kerana sekiranya tiada unsur berlawanan, kesannya kurang menonjol.

Rona segar sesuai untuk kulit cerah

Rona pakaian seperti putih susu, kuning air, ungu lembayung, oren cair, coklat cair dan seumpamanya sesuai untuk mempelai berkulit cerah kerana ia akan menonjolkan gaya harmonis serta kelembutan seseorang.
Bagi mereka yang memiliki kulit gelap, ia akan menimbulkan kesan berlawanan dan tidak nampak menarik.

Jangan bergantung pada warna kulit saja

Pengantin juga tidak seharusnya bergantung pada warna kulit saja, sebaliknya ukuran badan si pemakai juga amat penting kerana pilihan warna boleh menyebabkan si pemakai kelihatan lebih besar atau kelihatan lebih kurus.

Warna terang seperti kuning atau merah jambu akan menyebabkan pengantin berbadan besar nampak lebih besar manakala warna gelap boleh memberi ilusi yang lebih langsing. Sebaiknya pilih rona coklat, hitam, kelabu atau perak untuk melindungi kekurangan tubuh.

Pilih rona lembut untuk pernikahan

Untuk pernikahan, sebaiknya pilih rona lembut dan tidak terlalu terang. Putih rona yang biasa dipakai dan warna selamat. Jika inginkan kelainan, pilih warna merah jambu lembut, kelabu, keemasan atau coklat bagi menandakan anda akan menghadiri majlis pernikahan. Warna ini sesuai untuk semua jenis kulit.

Dapatkan pandangan perunding majlis perkahwinan

Kebiasaannya apa yang disukai mempelai tidak semestinya cantik pada pandangan mata ramai. Sebaiknya sebelum memilih tema majlis atau menempah baju, pastikan anda mendapatkan pandangan daripada jurusolek atau perunding majlis perkahwinan supaya warna dipilih bersesuaian dengan personaliti anda.

Jangan kerana sukakan sesuatu warna, anda memakainya tanpa memikirkan penampilan anda pada hari bahagia.

Pilih rona sedondon

Sekiranya anda sudah menetapkan tema pakaian, pilih rona tudung dan kasut sepadan dan tidak berbeza dengan warna busana bagi mengelak anda nampak janggal pada hari bahagia.

Ada juga mempelai yang ingin memakai warna tudung berbeza tetapi pastikan ia masih di dalam ton warna yang sama, begitu juga dengan kasut. Ini kerana bagi mempelai yang mengenakan layah, ia cukup menaikkan seri pengantin terutama apabila berjalan memasuki pintu utama dewan menuju ke pelamin.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,133 views