Perlu Dorongan Untuk Bersuara
Malu tidak kena pada tempatnya menyebabkan setiap seorang daripada tiga lelaki di rantau Asia Pasifik mengalami masalah ejakulasi pramatang (PE).
Malah, isu membabitkan PE masih sukar diterima dalam kalangan masyarakat di negara ini terutama antara pasangan suami isteri sehingga mereka lebih rela berdiam diri dan memendam perasaan.
Apabila rasa kecewa dipendam terlalu lama, tidak mustahil meningkatkan risiko mendapat kemurungan dan menimbulkan konflik dalam rumah tangga.
Perunding Kanan Unit Urologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Zulkifli Md Zainuddin berkata, lelaki yang mengalami masalah ini sering kali mempunyai pelbagai perasaan negatif termasuk malu dan kemurungan.
“Mereka yang mengalami masalah ini biasanya berasa malu dan murung hingga enggan memulakan perbincangan bersama pasangan. Pada ketika itu, pasangan perlulah memberikan dorongan untuk mula bersuara dan memujuk suami mendapatkan pemeriksaan doktor,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan kaji selidik terkini terhadap tingkah laku seksual di Asia Pasifik, Malaysia mencatatkan angka tertinggi bagi kategori kurang pemahaman mengenai masalah PE.
Ia sekali gus menjadi penghalang bagi golongan bermasalah mendapatkan bantuan profesional dalam menjaga kesihatan diri dan akhirnya memberi kesan kepada pasangan serta keharmonian rumah tangga. Meskipun tiada angka rasmi, ia dikenal pasti menjadi antara punca perceraian.
Kajian berkenaan juga mendapati 40 peratus wanita tidak mahu membincangkan isu PE kerana khuatir melukakan hati pasangan.
Ironinya, 62 peratus lelaki pula menyatakan bahawa kesediaan untuk bertemu doktor sekiranya pasangan menasihati mereka berbuat demikian.
Definisi PE
Prof Zulkifli juga menjelaskan ramai di antara pasangan suami isteri yang membuat tanggapan salah apabila menyamakan PE dengan mati pucuk atau erektil disfungsi (ED).
“ED adalah situasi dihadapi lelaki yang tidak dapat mencapai atau mengekalkan ejakulasi ketika melakukan hubungan intim bersama pasangan.
“ED juga tidak akan hilang sendiri selagi punca masalah tidak diatasi atau dirawat terutama jika ia disebabkan gangguan kesihatan (penyakit).
“PE bukan sekadar perasaan seperti anda ingin bertahan lebih lama di tempat tidur. Ahli kesihatan seksual setuju PE adalah suatu kondisi perubatan yang dapat mempengaruhi setiap orang,” katanya.
Tiga situasi yang menerangkan masalah PE iaitu:
Tempoh yang singkat antara penetrasi (kemasukan) dan ejakulasi (atau ejakulasi sebelum penetrasi) serta merasa tidak mampu mengawal ejakulasi. Maknanya seseorang lelaki itu mengalami masalah ejakulasi awal sebaik penetrasi atau sebelum itu.
Tidak mampu melengahkan ejakulasi ketika mengadakan hubungan intim.
Masalah ejakulasi berkenaan mengakibatkan penurunan kepuasan seksual dan kualiti hidup diri sendiri serta pasangan. Berasa tidak bahagia, sedih atau merasai kesulitan disebabkan ejakulasi serta cuba mengelak daripada mengadakan hubungan intim dengan pasangan.
Masalah PE boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang terjadi ketika kali pertama lelaki melakukan hubungan intim (dipanggil PE primer atau sepanjang hayat). Manakala PE sekunder (diperoleh) pula berlaku kemudian walaupun seseorang itu pernah berpengalaman merasai seks secara normal. Sememangnya semua lelaki yang mengalami masalah ini berharap ia pulih pada masa akan datang.
Menurut Perunding Pembedahan Urologikal Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr George Lee, kebanyakan pasangan kurang pengetahuan mengenai masalah PE.
“Ramai orang tidak memiliki pengetahuan mendalam mengenai PE dan sukar untuk mengakuinya sebagai isu membabitkan kesihatan mereka apatah lagi bagi memulakan perbincangan bersama pasangan.
“Justeru, kami menggesa semua pasangan untuk menyedari situasi ini dan menggalakkan mereka untuk mula berbincang dan bertindak berjumpa pakar bagi memperoleh lebih banyak maklumat. Ini kerana masalah PE boleh dirawat dengan sepenuhnya,” katanya.
Rawatan mengatasi PE
Penting untuk diingat bahawa PE boleh dirawat dengan berkesan, syaratnya anda perlu membuang rasa malu untuk membincangkan masalah yang dihadapi dan mendapatkan nasihat doktor.
Masa ejakulasi setiap lelaki adalah berbeza dan ia turut bergantung kepada situasi yang dialami ketika mengadakan hubungan kelamin meskipun mereka berharap dapat melakukannya dalam tempoh yang lebih panjang.
Lelaki yang normal seharusnya dapat bertahan sehingga 5.4 minit, namun 90 peratus lelaki mengalami ejakulasi dalam tempoh 60 saat.
Terdapat perbezaan antara ejakulasi normal dan PE. Lelaki dengan masalah PE mengalami ejakulasi sama seperti individu normal lain.
Bezanya, mereka merasai desakan ejakulasi lebih awal dan sukar mengawalnya. Ejakulasi normal adalah aksi refleks yang dikawal oleh otak dan sistem saraf.
Lelaki yang mempunyai PE tidak mampu untuk mengawal ejakulasi, sama seperti bersin yang tidak mampu dikawal atau dihentikan.
Menurut Persatuan Perubatan Seksual Antarabangsa (ISSM), PE ditakrifkan sebagai kondisi perubatan, justeru cara terbaik adalah berjumpa doktor yang akan menyarankan rawatan sesuai dengan masalah dihadapi.
Kita boleh lihat banyak rawatan yang diiklankan secara dalam talian dan ada yang tidak teragak-agak untuk mencuba. Namun, sebelum mencuba individu itu perlu berhati-hati dan memikirkan kesan bahayanya.
Pilihan rawatan yang terbaik adalah dengan mengambil kira keberkesanan terapi, punca boleh ditangani dan keselesaan diinginkan antara pesakit serta pasangan.
Jika lelaki mengalami klimaks awal, ia masalah biasa dan boleh dirawat. Alternatif mengubati masalah PE dalam kalangan lelaki adalah dengan berjumpa pakar.
Lelaki tidak patut malu menyatakan masalah dan jangan terburu-buru membuat keputusan atau inisiatif berubat menggunakan cara tradisional yang belum terjamin selamat malah berisiko mengakibatkan keadaan mereka jadi lebih teruk.
Kawalan ejakulasi sebenarnya banyak bergantung kepada lelaki itu sendiri. Ini boleh dikawal secara psikologi atau menggunakan ubatan disarankan doktor.
“Namun, sebelum berjumpa doktor kebanyakan lelaki yang mengalami masalah PE sudah mencuba pelbagai cara untuk mengatasinya sendiri.
“Kajian menunjukkan 27 peratus lelaki sudah mencuba tujuh cara sebelum berjumpa doktor, 28 peratus melakukan lima hingga enam cara dan 27 peratus mencuba tiga hingga empat jenis rawatan,” jelas Profesor Zulkifli.
Jika ingin melakukan rawatan dengan doktor, sebaiknya individu berkenaan perlu membawa pasangan bersama kerana masalah itu juga boleh memberi kesan kepada isteri.
Sementara itu, Profesor George menjelaskan, individu boleh mengatasi masalah berkenaan dengan lebih mudah jika mereka membincangkannya dengan pasangan.
“Luahkan masalah dihadapi dengan jujur di hadapan pasangan agar kedua-duanya tidak berasa kecewa selain dapat mengekalkan hubungan erat. Sememangnya mendidik lelaki mengenai PE agak sukar berbanding wanita. Walaupun lelaki lebih rasional dan mengambil pendekatan mudah, keadaan sedikit berbeza bagi wanita kerana kebanyakannya akan mengaitkan dengan faktor emosi,” katanya.
Ujarnya, jika lelaki mengambil pendekatan berdiam diri, secara perlahan-lahan akan menyebabkan individu itu berasa rendah diri dan kurang yakin.
PE bukan saja memberi kesan kepada lelaki, malah pasangan juga. Wanita yang berhadapan dengan pasangan bermasalah PE sentiasa berasa bimbang mengenai prestasi ditunjukkan pasangan.
Disebabkan tindak balas lelaki ketika melakukan hubungan intim, wanita mungkin berasa bahawa mereka tidak melakukannya dengan betul hingga menyebabkan pasangan tidak dapat mengawal ejakulasi.
Berani-lah!
Menyedari keengganan individu secara umum untuk berbicara mengenai PE, pembekal penyelesaian penjagaan kesihatan, Menarini Malaysia melancarkan kempen Berani-lah, baru-baru ini.
Pengurus Besar Menarini Malaysia, Cheah Chor Eng berkata, kempen berkenaan dianggap sebagai penghubung utama untuk rawatan oral PE.
“Selain itu, ia bertujuan mendidik dan memberi inspirasi kepada semua lelaki yang mengalami masalah berkenaan supaya bersuara dan mendapatkan bantuan pakar.
“Kami akui skala cabaran yang dihadapi dan bersedia untuk membantu mencari penyelesaiannya. Antara penyelesaian yang boleh dilakukan ialah menerusi rawatan oral mengikut keperluan. Ia dikatakan pilihan yang lebih selamat kepada lelaki untuk melakukannya apabila perlu,” katanya.
Tambahnya, misi paling penting kempen ini ialah menggesa wanita untuk bersuara bagi pihak pasangan mereka. Justeru, kempen berkenaan dijalankan untuk berinteraksi dengan pengguna menerusi inisiatif digital dan aktiviti secara langsung selain mengadakan perbincangan dalam kalangan pasangan di negara ini mengenai masalah PE.
Sebagai inisiatif utama, kempen berkenaan menggunakan kaedah berkesan untuk menyampaikan dan mengedarkan mesej mengenai PE di laman sosial Facebook.
Pengunjung boleh menjawab kuiz yang menyeronokkan dan seterusnya mendapatkan nasihat untuk mengambil langkah pertama dengan mencari maklumat berguna mengenai PE sebelum berbincang bersama doktor.
“Kami menggunakan kaedah berbeza kali ini dengan menumpukan pelbagai usaha untuk menyampaikan mesej berguna kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Justeru, kami memilih menggunakan saluran digital dan aktiviti secara langsung bersama masyarakat dengan cara lebih selesa apatah lagi isu yang ingin dibincangkan ini adalah masalah peribadi,” katanya.
Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kempen berkenaan dan aktiviti yang akan dilaksanakan, layari facebook.com/BeBraveMy dan www.controlpe.com.my.
INFO
Kesan PE kepada lelaki dan pasangan jika tidak dirawat:
Emosi – PE boleh mengakibatkan lelaki atau pasangan berasa tertekan, keletihan dan bimbang setiap kali mahu bersama pasangan. Malah ia juga membuatkan mereka berasa malu berhadapan dengan pasangan.
Fizikal dan kesihatan – Masalah PE yang dihadapi dan tidak dirawat kemungkinan boleh menyebabkan berlaku keresahan serta kemurungan.
Hubungan – Lelaki yang berhadapan dengan PE boleh menjurus kepada masalah hubungan bersama pasangan dan kemungkinan boleh mewujudkan konflik dalam rumah tangga.