Perlu Kekuatan Semangat

Kempen berhenti merokok terlalu banyak terpampang di serata tempat, bukan setakat di kaca televisyen, akhbar dan majalah, malah meliputi dunia media sosial dalam usaha menyedarkan perokok dan orang ramai mengenai bahaya tabiat itu dan kesan buruk terhadap kesihatan.

Namun sayangnya walaupun sudah berjuta-juta ringgit dihabiskan oleh kerajaan serta pelbagai usaha digerakkan badan sukarela bagi menjayakan kempen antirokok, masih ramai yang tidak sedar atau buat-buat tidak sedar mengenai akibat merokok, malah bilangan perokok baru terus meningkat.

Terbaru, statistik menunjukkan jumlah perokok di seluruh dunia kira-kira 1.1 bilion orang. Ketika tabiat merokok semakin menurun di negara maju, negara membangun seperti Malaysia pula mencatatkan peningkatan sekitar 3.4 peratus setiap tahun.

Dalam senarai 100 negara perokok terbesar di dunia, Malaysia berada di kedudukan ke-71 dengan seorang perokok menghabiskan kira-kira 646 batang rokok setiap tahun.

Statistik tahun lalu juga menunjukkan jumlah perokok semakin meningkat dengan 4.7 juta orang pada 2011, berbanding empat tahun sebelumnya iaitu 3.1 juta perokok pada 2007.

Usaha meninggalkan tabiat merokok agak sukar disebabkan ketagihan terhadap nikotin, selain keazaman yang rapuh dan pengaruh rakan sekeliling. Ini menjadikan perokok berhadapan cabaran getir dalam menjalani kehidupan bebas rokok.

Tiada yang mustahil

Bagi orang Islam, usaha untuk meninggalkan terus tabiat buruk itu sebenarnya dipermudahkan pada bulan Ramadan. Seharusnya, perokok mengambil peluang pada bulan puasa yang penuh rahmat ini untuk membebaskan diri daripada pengaruh nikotin.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Sallehudin Abu Bakar berkata, bulan Ramadan sememangnya masa terbaik buat orang Islam meninggalkan tabiat merokok bagi mereka yang benar-benar menghayati bulan penuh keberkatan ini.

Katanya, berhenti merokok sememangnya sukar, tetapi dengan masa yang tepat dan rancangan yang disusun mengikut keperluan perokok, berhenti terus daripada menghisap rokok sesuatu yang tidak mustahil.

“Bagi orang Islam, hari pertama pada Ramadan waktu terbaik untuk mereka mula berhenti menghisap rokok. Sebelum itu, mereka perlu membuat keputusan yang tegas untuk berhenti merokok selama-lamanya kerana berhenti merokok tidak boleh berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Menurut Dr Sallehudin, dalam usaha untuk berjaya berhenti rokok, perokok perlu bersedia berhadapan dengan tabiat dan ketagihan mereka dengan mengubah sikap serta cara menangani simptom akibat kehilangan kandungan nikotin dalam tubuh.

Bagi kebanyakan perokok, tabiat yang sukar dikikis sepanjang Ramadan adalah menghisap rokok sebaik habis berbuka. Oleh itu, mereka perlu cuba mengubah tabiat itu dengan menggantikan waktu merokok dengan perkara lain misalnya segera memberus gigi sesudah berbuka dan terus menunaikan sembahyang Maghrib.

Selain itu, katanya, perokok digalakkan cuba mengawal diri daripada teringat pada rokok dengan menghabiskan sepanjang malam bulan puasa dan menyibukkan diri dengan menunaikan solat Tarawih dan membaca al-Quran.

“Pada masa sama, mereka digalakkan banyak mengambil air kosong dan mengelak minuman berkafein seperti kopi. Ubat yang membantu usaha berhenti merokok juga dapat menolong mengurangkan simptom berhenti merokok dan keinginan untuk merokok semula, malah boleh digunakan sebagai sebahagian daripada program berhenti merokok secara menyeluruh,” katanya.

Menurut Dr Sallehuddin, kejayaan menghentikan tabiat merokok sebenarnya banyak bergantung kepada keseimbangan antara motivasi seseorang untuk berhenti merokok dengan tahap kebergantungan terhadap rokok.

Motivasi untuk berhenti merokok dan kebergantungan pada rokok sering berkait rapat. Misalnya perokok tegar mungkin menunjukkan motivasi yang rendah kerana mereka kurang yakin terhadap keupayaan mereka untuk berhenti merokok.

Perokok sosial pula mungkin mempunyai motivasi lebih tinggi kerana mereka percaya mampu berhenti sepenuhnya pada masa depan sekiranya mereka mahu ia menjadi realiti.

Katanya, kekuatan motivasi untuk berhenti merokok boleh berubah mengikut masa dan dipengaruhi kuat oleh persekitaran semasa. Ketika Ramadan, kebanyakan perokok beragama Islam mampu mengawal diri daripada merokok ketika siang hari kerana ada motivasi yang kuat untuk melakukannya.

Namun malangnya mereka akan merokok sebaik berbuka puasa hanya kerana berhenti terus daripada merokok bukanlah niat mereka yang sebenarnya.

“Keinginan untuk menghisap rokok pada siang hari Ramadan sangat kurang kerana keadaan persekitaran dan rutin harian sudah berubah. Ini kerana banyak perkara yang berlaku seiringan menghisap rokok seperti waktu untuk minum secawan kopi, selepas makan tengah hari atau bersosial dengan rakan yang juga perokok sudah berubah, sedangkan ia rutin di luar tempoh Ramadan,” katanya.

Dr Sallehudin berkata, merokok membabitkan gabungan tabiat psikologi dan ketagihan fizikal. Perlakuan menghisap rokok menjadi sebati dengan diri kerana ia dilakukan setiap hari dan pada masa sama, nikotin yang ada dalam rokok memberikan rasa ‘melayang’ sementara, tetapi ketagih.

Menyingkirkan rutin yang menyalurkan kandungan nikotin secara tetap ke dalam tubuh akan menyebabkan perokok mengalami simptom berbentuk fizikal akibat kehilangan nikotin dan keinginan untuk mendapatkannya.

“Kebanyakan perokok beragama Islam mampu mengawal diri daripada merokok sepanjang Ramadan kerana mereka sudah menetapkan dalam pemikiran sejak awal untuk tidak merokok secara sementara ketika siang hari bagi melaksanakan ibadat dan patuh kepada tuntutan agama.

“Mereka sedar jika merokok pada siang hari, puasa akan terbatal, sekali gus memaksa diri untuk terus tidak merokok sehinggalah waktu berbuka,” katanya.

Disebabkan perokok akan merokok sebaik habis berbuka, paras nikotin dalam darah mereka tidak pernah habis sepenuhnya sepanjang siang hari Ramadan. Disebabkan itu mereka tidak mengalami simptom berhenti merokok yang teruk, seterusnya membuatkan usaha menahan diri daripada merokok pada siang hari menjadi lebih mudah.

Keazaman tinggi untuk berpuasa pada Ramadan sedangkan keazaman yang sama tidak ada pada bulan lain bukanlah isu sebenar di sini, tetapi apa yang paling penting adalah motivasi dan keputusan untuk berhenti merokok selamanya. Inilah yang perlu dibuat oleh perokok itu sendiri.

Apabila seseorang perokok ingin berhenti merokok atau mengurangkan jumlah rokok seperti kebiasaannya, kekurangan nikotin seterusnya membawa kepada simptom penarikan balik yang berbentuk psikologi dan fizikal.

“Secara fizikalnya, badan bertindak balas dengan kehilangan nikotin manakala secara psikologi pula, perokok perlu berhadapan dengan masalah membuang tabiat yang biasa mereka lakukan selama bertahun-tahun yang kemudiannya membawa kepada perubahan sikap yang ketara,” katanya.

Simptom selalunya bermula beberapa jam selepas rokok yang terakhir dan memuncak antara dua hingga tiga hari selepas itu apabila sejumlah besar nikotin dan bahan sampingannya keluar daripada tubuh.

Kesan penarikan balik itu boleh berlangsung selama beberapa hari sehingga beberapa minggu, tetapi mereka akan menjadi semakin lebih elok setiap hari sepanjang mereka kekal tidak merokok.

Antara simptom penarikan balik yang berlaku pada tubuh seperti rasa pening, kecewa, mudah hilang sabar, cepat marah, kebimbangan, gangguan tidur seperti insomnia atau mempunyai mimpi buruk, sukar memberikan tumpuan, keresahan atau kebosanan, sakit kepala, keletihan serta peningkatan selera makan dan berat badan.

Simprom lain yang turut menghambat dan memberi cabaran getir kepada mereka yang mahu meninggalkan terus tabiat itu adalah sembelit dan perut berangin, batuk, mulut kering, sakit tekak, titisan hidung, kemurungan dan sakit dada.

Buat pilihan

Menurut Dr Sallehuddin, perokok mempunyai dua pilihan cara untuk berhenti merokok iaitu sama ada berhenti secara perlahan-lahan dengan mengurangkan jumlah rokok atau terus berhenti serta-merta (cold turkey).

“Secara amnya, berhenti merokok secara tiba-tiba tanpa berfikir, membuat persediaan, mengurangkan jumlah rokok atau mempunyai sebarang perancangan menangani masalah ketagihan adalah satu cara paling popular untuk berhenti merokok.

“Ia juga bermakna seseorang berhenti tanpa bantuan ubata-ubatan atau terapi formal. Namun cara drastik ini sebenarnya hanya mencatatkan peratusan kejayaan antara tiga hingga 10 peratus sahaja,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan perokok terlalu bergantung kepada rokok dan apabila mereka tiba-tiba berhenti menghisap rokok, mereka akan mengalami kesan simptom berhenti yang boleh berlarutan sehingga tiga bulan.

Namun perlu diingat setiap perokok berbeza iaitu sesetengah perokok mudah berhenti tanpa memerlukan sebarang bantuan.

Katanya, segelintir perokok pula berhenti merokok secara tiba-tiba kerana mereka berasa lebih mudah untuk ‘menderita’ dalam tempoh sementara daripada terpaksa berhadapan dengan simptom yang tidak terlalu kuat, tetapi berpanjangan.

“Ada pula yang berkata berhenti merokok, tetapi menggantikannya dengan terapi penggantian nikotin dalam bentuk gula-gula getah nikotin, lozenge atau tampalan yang menggoda mereka untuk kembali merokok. Jadi perokok lebih suka pendekatan kaedah yang sudah terbukti berkesan,” katanya.

Buang dua rokok

Disebabkan kejayaan berhenti merokok melalui kaedah cold turkey hanya sekitar tiga hingga 10 peratus, Dr Sallehuddin sangat menyarankan perokok supaya menggunakan kaedah mengurangkan jumlah rokok yang dihisap seharian secara perlahan-lahan.

“Saya sangat menggalakkan kaedah mengurangkan bilangan rokok yang dihisap setiap hari secara berterusan iaitu ‘membuang’ dua batang rokok setiap hari dalam tempoh dua minggu bagi mereka yang menghisap satu kotak rokok sehari.

“Bagi setiap rokok yang tidak dihisap, mereka boleh menggantikannya dengan gula-gula getah nikotin atau lozenge,” katanya.

Pada masa sama, syarikat farmaseutikal dan penjagaan kesihatan pengguna berlandaskan penyelidikan, GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK), baru-baru ini menganjurkan kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat dalam usaha menggalakkan lebih ramai meninggalkan tabiat itu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

612 views