Perlu Kerap Buat Pemeriksaan Mata

Pada 24 September 2009, Datuk Hew Hoi Lam, 66, disahkan menghidap masalah degenerasi (degenaratif) makular berkaitan umur (AMD) yang mengganggu penglihatan mata kanannya.

Semuanya berlaku ketika beliau berada di majlis makan malam sempena cuti Aidilfitri apabila secara tiba-tiba mendapati mata sebelah kanannya tidak dapat melihat makanan yang terhidang di dalam pinggan dengan jelas.

Perkara itu turut menyebabkan matanya berasa gatal dan tidak selesa. Tidak menyangka ia penyakit yang boleh membawa kepada masalah buta, beliau membiarkan masalah berkenaan berlarutan selama tiga hari sebelum pergi berjumpa doktor.

Beliau ke klinik berhampiran pejabatnya untuk mengetahui masalah dihadapi. Beliau semakin berdebar kerana sepanjang rawatan, tiada sepatah perkataan diucapkan oleh doktor lantas mula mengesyaki sesuatu yang buruk.

Apa yang ditakuti menjadi kenyataan apabila doktor memberitahu separuh daripada mata kanannya mempunyai gumpalan darah. Beliau kemudiannya dirujuk ke Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) untuk pemeriksaan lanjut.

Pelbagai prosedur berkaitan dilakukan dan keputusan akhir mendapati beliau menghidap AMD lembap yang memerlukannya menjalani rawatan laser serta suntikan untuk menghentikan perkembangan penyakit itu.

Kira-kira 46,000 rakyat Malaysia berumur melebihi 45 tahun yang menghadapi risiko buta tidak boleh dipulihkan disebabkan AMD. Malah, penyakit yang berkaitan usia itu adalah punca utama kehilangan penglihatan rakyat Amerika Syarikat yang berusia 60 tahun ke atas.

AMD adalah kerosakan makula iaitu bahagian mata yang bertanggungjawab untuk ketajaman pusat penglihatan yang diperlukan untuk melakukan aktiviti seperti membaca cetakan kecil dan mencucuk benang ke dalam jarum.

Gejala AMD termasuk kekaburan, herotan imej atau tompok hitam pada bahagian tengah penglihatan seseorang. Terdapat dua jenis AMD iaitu kering dan lembap.

AMD lembap berlaku apabila saluran darah tidak normal mula tumbuh di bahagian bawah makula iaitu di bawah retina.

Saluran darah baru ini boleh bocor dan melelehkan darah atau bendalir, meninggalkan parut dan mengaburkan penglihatan pusat seseorang.

Semakin lama saluran darah ini tumbuh dan semakin banyak ketirisan, semakin tinggi risiko kehilangan penglihatan pusat.

Seseorang boleh menjadi buta disebabkan AMD lembap berlaku dengan lebih cepat dan ketara daripada AMD kering. Kerosakan juga lebih teruk dan tidak boleh dipulihkan.

Dalam kes tertentu, AMD dapat dirasai secara perlahan-lahan pada mulanya dengan perubahan penglihatan mereka.

Pemeriksaan mata secara komprehensif yang kerap dapat mengesan AMD sebelum ia boleh menyebabkan seseorang kehilangan upaya penglihatan. Namun, rawatan hanya boleh memperlahankan kehilangan penglihatan dan tidak memulihkannya.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretina, Dr Kenneth Fong berkata, AMD lembap adalah wabak senyap dalam kalangan mereka yang berusia.

Penyakit mata progresif dan kronik ini boleh dicegah tetapi kesedaran terhadapnya sangat rendah.

“Terlalu ramai orang tidak menyedari mengenai AMD lembap dan gejalanya. Secara tidak langsung, ini bermakna mereka melengahkan langkah untuk mendapatkan rawatan kerana tidak menyedari mereka boleh kehilangan penglihatan dalam masa tiga bulan.

“Pesakit AMD lembap selalunya tidak dapat membaca, menulis dan melakukan kerja di rumah. Mereka juga mungkin mengalami kesukaran untuk mengenali wajah atau objek.

“Penyakit ini juga mengekang pergerakan dan kebebasan serta menjejaskan kesejahteraan emosi pesakit dengan agak teruk. Walau apapun puncanya, buta menyebabkan kualiti hidup merosot,” katanya.

AMD dihidapi oleh kira-kira 30 hingga 50 juta orang di seluruh dunia dan menjadi punca utama kehilangan penglihatan teruk di negara maju.

Bagi AMD lembap, ia satu bentuk penyakit yang menjejaskan kira-kira 1.3 peratus penduduk global berumur lebih daripada 50 tahun. Penularan AMD lewat dalam kalangan orang Asia sama seperti di negara Barat.

Meskipun AMD lembap hanya meliputi kira-kira 10 peratus daripada semua kes AMD, ia turut menyebabkan sehingga 90 peratus kehilangan penglihatan yang dikaitkan dengan penyakit berkenaan.

Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi, Penyakit Perubatan dan Pembedahan Retina dan Gelemaca, Dr Wong Jun Shyan berkata, tanpa rawatan, ramai pesakit yang disahkan menghidap AMD lembap akan buta dalam tempoh dua tahun.

“Oleh sebab itu, pesakit perlu melakukan diagnosis dan mendapatkan rawatan secepat mungkin bagi mencegah masalah lebih serius seperti buta.

“Buat masa ini tidak ada ubat untuk menyembuhkan AMD lembap tetapi rawatan boleh dijalankan untuk membantu melambatkan penularan penyakit, malah boleh mengembalikan penglihatan yang hilang,” jelasnya.

Pilihan rawatan awal untuk AMD lembap termasuk laser yang digunakan untuk menghapuskan saluran darah halus dan bocor yang tumbuh di belakang mata serta terapi fotodinamik iaitu ubat diaktifkan cahaya akan disuntik ke dalam lengan dan bergerak melalui saluran darah.

Selepas suntikan, lampu disuluh ke dalam mata untuk mengaktifkan ubat yang akan memusnahkan saluran darah halus dan bocor tadi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, AMD lembap dirawat dengan perencat faktor pertumbuhan endotelium vaskular (VEGF) iaitu rawatan berkesan menyasarkan sekumpulan protein yang merangsang pertumbuhan saluran darah bocor dalam mata.

Mengulas mengenai rawatan laser dan terapi fotodinamik yang tidak lagi digunakan secara meluas, Dr Wong menjelaskan, terapi perencat VEGF memberi revolusi baru kepada rawatan AMD lembap dan menjadi terapi paling lazim digunakan sekarang.

Bagaimanapun, terapi perencat VEGF awal memerlukan pemantauan mata secara bulanan di mana kadang-kadang boleh membebankan pesakit dan juga pakar perubatan.

Baru-baru ini, Bayer HealthCare melancarkan pilihan rawatan baru iaitu EYLEA (VEGF Trap-Eye, larutan aflibercept untuk suntikan).

Ia adalah sebatian protein yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi merawat AMD lembap berdasarkan bukti yang meyakinkan daripada dua kajian klinikal Fasa lll.

Ujian berkenaan menunjukkan keberkesanan EYLEA untuk mengekalkan ketajaman penglihatan dengan kurang kekerapan suntikan berbanding terapi semasa diberikan sepanjang tempoh 52 minggu kajian.

Kajian Fasa III kini dijalankan dengan EYLEA dalam rawatan pusat oklusi vena retina (CRVO), edema makular diabetes (DME) dan neovaskularisasi koroid miopik (mCNV).

Pengarah Urusan Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd, Thomas Steffen berkata, menerusi EYLEA, pesakit yang menghidap AMD lembap boleh mendapat manfaat daripada keberkesanan terapi perencat VEGF dan menikmati kualiti hidup lebih baik.

“Mereka juga dapat mengurangkan kekerapan pemeriksaan pemantauan dan mungkin kurang suntikan. EYLEA menandakan satu pencapaian membanggakan dalam rawatan AMD lembap lantas membuatkan kami lebih komited untuk menambah baik kehidupan masyarakat menerusi sains,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,393 views