Persediaan Awal Ke Alam Persekolahan
Setiap hari tepat jam 7 pagi, suasana di lorong rumah penulis agak riuh dengan bunyi bas sekolah dan suara beberapa ibu menjerit memanggil anak mereka supaya segera menaiki bas yang sudah menunggu. Masing-masing mahu memastikan anak mereka duduk dan menunggu sehingga bas bergerak sebelum meneruskan tugas harian.
Ada juga yang ‘bersyarah’ apabila melihat anak kurang memberi perhatian kepada aspek keselamatan walaupun sudah berulang kali diingatkan. Antaranya ialah beratur dan berhati-hati menaiki tangga bas, menunggu bas benar-benar berhenti sebelum naik atau turun dan duduk ketika bas bergerak.
Memang begitulah fitrah kanak-kanak yang sentiasa riang apabila berjumpa kawan-kawan sehingga kadangkala terlupa pesanan penting diberikan ibu bapa. Namun, bak kata penceramah motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, untuk memberitahu perkara baik kepada anak-anak, ibu bapa perlu mengulanginya berpuluh malah beratus kali mengingatkan mereka.
Justeru itulah, program keselamatan jalan raya dan peraturan menaiki bas sekolah dijalankan saban tahun untuk memberi pendidikan berterusan kepada kanak-kanak. Tahun ini, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur mengambil peluang mengadakan program ‘Be Smart ‘bagi mendidik kanak-kanak prasekolah mengenai aspek keselamatan jalan raya dan peraturan menaiki bas sekolah dalam suasana yang menyeronokkan.
Seramai 150 kanak-kanak dari tiga buah prasekolah menyertai program ini iaitu Smart Reader Kids Ukay Perdana, Tadika Cerdik Kami, Setapak dan Tadika Duta Iman, Bandar Tun Hussein Onn.
Antara aktiviti yang diadakan selama tiga hari bersempena pesta Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA) dari 14 hingga 16 Mac ini ialah pendedahan mengenai keselamatan dan peraturan menaiki bas iaitu ‘Safety Bus’, juga aktiviti ‘Smartfun’ di mana kanak-kanak prasekolah ini dapat menunjukkan bakat mereka dalam persembahan tarian dan sesi menghias kek cawan.
Misi utama program ‘Be Smart’ ini adalah untuk memastikan kanak-kanak bermula hari persekolahan mereka dengan langkah yang betul, selamat dan menyenangkan.
Dalam aktiviti ‘Safety Bus’ kanak-kanak diajar mengenai peraturan dan tatatertib menaiki bas sekolah seperti cara beratur semasa menaiki bas dan memakai tali pinggang keselamatan ketika berada dalam bas sekolah.
Apa yang lebih menarik ialah pihak hotel menjemput polis trafik berpengalaman untuk mengajar cara yang betul dan selamat untuk menyeberangi jalan kepada para pelajar.
Sub Inspektor Cawangan Bandaraya, Mustafa Zaini berkata, sebanyak 6,788 kes kemalangan jalan raya yang membawa maut berlaku setiap tahun dengan anggaran 479 kes setiap bulan dan 19 kes setiap hari. Ini bermakna satu dalam setiap 80 minit ada saja rakyat Malaysia yang mati akibat kemalangan jalan raya.
“Mengikut statistik yang kami terima, pejalan kaki adalah penyumbang ketiga terbesar dalam kemalangan jalan raya di mana kes motosikal menduduki tempat pertama diikuti kemalangan kereta yang berada di tempat kedua.
“Antara langkah yang diambil oleh pihak trafik untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya adalah memberi ceramah keselamatan kepada pelajar sekolah seperti program yang diadakan hari ini,” katanya yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun sebagai polis trafik.
Selain mengambil pendekatan dengan memberi ceramah, pihak trafik juga mengadakan projek angkat iaitu membabitkan sekolah terpilih di kota raya.
Mengulas mengenai program ‘Be Smart’, beliau mengatakan program ini adalah amat bagus untuk mendidik mereka dari kecil mengenai keselamatan jalan raya dan diharap kanak-kanak ada kesedaran pentingnya keselamatan jalan raya kepada mereka.
Pengurus Besar Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Mohamad Halim Merican berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan program ‘Be Smart’ terutama aktiviti ‘Safety Bus’ yang dapat membantu kanak-kanak membuat persediaan awal sebelum menghadapi alam persekolahan sebenar.
“Setiap tahun kami akan menjalankan projek komuniti yang berlainan tema dan untuk tahun ini, kami memberi fokus kepada kanak-kanak. Kami merasakan kanak-kanak dan keselamatan jalan raya adalah aspek yang perlu diberi lebih perhatian,” katanya.
Beliau menambah, program ini dirasakan bermanfaat kepada kanak-kanak prasekolah sebelum menempuhi alam persekolahan yang sebenar kerana berkemungkinan mereka akan menaiki bas sekolah. Walaupun ada segelintir murid yang dihantar ibu bapa, keselamatan ketika menunggu ibu bapa juga penting kerana macam-macam perkara boleh berlaku.
“Kami mengharap kanak-kanak prasekolah yang menyertai program ini akan lebih berwaspada ketika berada di jalan raya. Ia bukan hanya membabitkan masalah keselamatan jalan raya, tetapi kanak-kanak juga harus berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali,” tambahnya.
Guru Besar Smart Reader Kids Ukay Perdana, Rizwani Maarof berkata, program
‘Be Smart’ ini sangat bagus kerana memberi pendedahan kepada kanak-kanak suasana belajar di luar sekolah.
“Dalam program ini juga pelajar dapat mempelajari tatatertib semasa menaiki bas sekolah kerana kebanyakan pelajar menggunakan perkhidmatan bas untuk ke sekolah dan pulang ke rumah” katanya.
Langkah keselamatan di jalan raya
1. Pergi ke sekolah lebih awal supaya tidak tergopoh-gapah.
2. Berjalan di lorong pejalan kaki jika ada.
3. Jika tiada lorong untuk pejalan kaki, hendaklah berjalan di tepi jalan (berjalan di sebelah kanan jalan).
4. Jangan bermain-main di atas jalan raya atau di lorong pejalan kaki.
5. Lihat kiri dan kanan sebelum melintas jalan raya dan pastikan tiada kenderaan lalu-lalang di situ.
6. Melintas dengan cepat, tetapi jangan berlari.
7. Jangan melintas jalan secara sambil lewa, jalan terus dan jangan menyerong.
8. Jangan melintas di hadapan atau di belakang kenderaan yang sedang berhenti, pandangan akan terlindung.
Tatatertib semasa menaiki bas
1. Jangan sesekali naik atau turun semasa bas sedang bergerak.
2. Tunggu sehingga bas betul-betul berhenti, sebelum naik atau turun.
3. Hendaklah berbaris untuk menaiki bas.
4. Duduk atau berdiri diam-diam semasa di dalam bas.
5. Jika anda turun daripada bas dan hendak melintas jalan, biarkan bas berjalan baru melintas.
6. Menunggu di tempat perhentian bas yang disediakan.