Persekitaran Bantu ‘suburkan’ Alahan

Masalah alahan tidak seharusnya diambil mudah kerana ia bukan sekadar menyebabkan ketidakselesaan kepada seseorang, tetapi hakikatnya ia mencakupi keadaan kesihatan sistem pertahanan badan dalam ruang lingkup yang lebih meluas.

Malah, sekiranya alahan tidak dirawat, ia akan berkembang menjadi lebih kronik serta menjurus kepada masalah kesihatan lain seperti asma dan rinitis.

Ketika ini, penyakit yang disebabkan oleh masalah alahan meningkat secara mendadak di seluruh dunia, sama ada di negara maju atau sedang membangun dengan 30 hingga 40 peratus penduduk dunia kini menghidap satu atau lebih jenis alahan.

Peningkatan itu sememangnya memberi kesan yang buruk kepada kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah terbabit sejak dua dekad yang lalu. Ini kerana biarpun alahan boleh berlaku pada mana-mana usia, kanak-kanak golongan yang mudah terdedah kepada serangan alahan dengan 60 peratus daripada semua alahan yang ada muncul pada tahun pertama kanak-kanak terbabit.

Disebabkan masalah alahan sebenarnya tidak mempunyai ubat yang boleh memulihkannya, pencegahan sememangnya bentuk pertahanan terbaik, antaranya melakukan pencegahan yang bermula ketika anak masih berada di dalam kandungan.

Pakar alergi dan imunologi klinikal, Dr Amir Hamzah Abdul Latiff berkata, ramai orang mengambil mudah masalah alahan, malah menganggapnya perkara biasa yang akan berlalu seiring usia.

Menurutnya, alahan sebenarnya satu keadaan yang lebih serius daripada apa yang disangka apatah lagi masalah itu kini kian meningkat bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Jika 10 tahun lalu, masalah alahan yang wujud dalam kalangan penduduk Malaysia sekitar 15 peratus, kini masalah itu dilihat semakin banyak berlaku. Biarpun tidak ada angka rasmi daripada kajian dalam masa terdekat yang menunjukkan pertambahan masalah kesihatan itu, peratusan mereka yang berhadapan dengan alahan dilihat semakin meningkat.

“Ada yang menganggap apabila berlaku alahan, ambil saja ubat nanti semuanya akan baik, tetapi mereka perlu ingat, keadaan ini boleh berulang dan menjadi bertambah kronik,” katanya.

Sehubungan itu, pencegahan dari awal dititikberatkan terutama bagi bakal ibu bapa yang pernah mengalami alahan dan mempunyai sejarah keluarga berkaitan masalah itu biarpun ia mungkin sudah lama berlalu iaitu ketika mereka masih kanak-kanak.

Dr Amir Hamzah yang juga Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) berkata, antara pencegahan awal yang cuba dilakukan bagi mengesan dan mengelak kemungkinan alahan adalah mengetahui sejarah kesihatan keluarga supaya langkah bersesuaian dapat diambil.

“Ketika anaknya masih dalam kandungan lagi, kami menyelidiki sejarah alahan yang pernah dialami bakal ibu dan suaminya biarpun ia mungkin sudah pulih. Kadangkala tidak semestinya bakal ibu atau bapa itu sendiri, tetapi adik-beradik yang pernah mengalami masalah itu turut diambil kira kerana ia membabitkan sejarah kesihatan keluarga.

“Jika ibu dan bapa ada alahan, kemungkinan anak mendapat alahan antara 50 hingga 80 peratus. Ini kerana genetik juga memainkan peranan dalam menentukan sama ada seseorang itu mendapat alahan,” katanya.

Selain ibu bapa, alahan yang dialami adik-beradik juga diambil kira kerana ia boleh menyebabkan kemungkinan antara 15 hingga 20 peratus seseorang turut mendapat masalah alahan yang sama.

Dr Amir Hamzah berkata, selain faktor genetik, persekitaran juga memainkan peranan dalam kewujudan alahan. Oleh itu, ia turut diberikan perhatian penting bagi menangani masalah alahan yang semakin meningkat.

Persekitaran yang dimaksudkan tidak terhad kepada udara atau apa yang ada di sekeliling, tetapi ia merangkumi pemakanan, nutrisi sebenar, gaya hidup, senaman dan pencemaran alam.

Katanya, segelintir individu mempunyai genetik yang boleh membawa mereka kepada masalah alahan, namun disebabkan tidak terdedah kepada persekitaran yang memungkinkan alahan berlaku, individu terbabit tidak menunjukkan sebarang alahan.

Oleh itu, sememangnya penting untuk setiap bakal ibu disaring dengan soalan berkaitan alahan bagi mengenal pasti kumpulan berisiko tinggi seterusnya merangka pelan pencegahan supaya anak yang bakal lahir tidak akan menderita akibat alahan.

Pencegahan yang dilakukan bermula semasa anak masih dalam kandungan dan diteruskan secara agresif pada tahun pertama kanak-kanak itu.

“Jika ibu ada alahan atau sejarah keluarga menunjukkan ada yang mengalami alahan, ibu itu akan diberi probiotik iaitu dos bakteria baik dalam tubuh.

“Apabila ibu daripada kumpulan berisiko tinggi diberi probiotik, didapati masalah kulit iaitu ekzema yang dihadapi bayi mereka berjaya dikurangkan sehingga 30 hingga 50 peratus. Malah, ada juga bayi yang langsung tidak menunjukkan masalah ekzema selepas ia dilahirkan,” katanya.

Antara jenis probiotik yang diberi pada ibu mengandung dan selalunya menunjukkan hasil yang konsisten dalam mencegah masalah alahan adalah lactobacillus rhamnocus.

Namun, penggunaan probiotik bukanlah penyelesaian hakiki kerana ia tidak memberi kesan serupa apabila kajian yang sama dibuat di negara lain. Ini kerana faktor persekitaran juga memainkan peranan penting sebagai penyebab alahan.

Melalui kajian yang dijalankan dunia perubatan, sekumpulan tikus bunting didedahkan kepada serbuk putih telur berbanding sekumpulan lagi tikus bunting yang tidak mendapat pendedahan itu.

Selepas anak tikus itu dilahirkan, anak tikus yang pernah didedahkan dengan putih telur tidak mengalami sebarang masalah apabila turut didedahkan dengan bahan itu, sebaliknya anak tikus daripada ibu yang tidak pernah mendapat pendedahan menunjukkan simptom alahan.

Ini menunjukkan sistem pertahanan tubuh perlu mendapat pendedahan dan mengenali sesuatu persekitaran supaya ia boleh bertoleransi, seterusnya tidak menunjukkan sebarang kesan buruk.

Katanya, kadangkala sistem pertahanan badan keliru dan tidak dapat mengenal pasti bahaya dan menganggap sesuatu yang tidak bahaya sebagai ancaman kepada tubuh seterusnya memulakan langkah pertahanan yang seterusnya menjurus kepada alahan.

Disebabkan itu katanya, kanak-kanak mudah mengalami alahan kerana sistem pertahanan badannya masih belajar untuk mengenal pasti persekitarannya.

“Permulaan yang baik untuk sistem pertahanan badan dan mempelajari persekitaran adalah kelahiran secara normal. Bayi akan melalui saluran peranakan yang mempunyai ribuan bakteria baik yang mampu mendedahkan sistem pertahanan dan membantunya belajar mengenal pasti bakteria baik dan buruk.

“Apabila bayi dilahirkan secara Caesarean, ia boleh meningkatkan risiko mendapat alahan kerana dilahirkan secara ‘bersih’ tanpa terdedah kepada sebarang bakteria. Ini seterusnya membuatkan sistem pertahanan badan tidak sempat belajar atau mengenal pasti persekitaran. Ia juga boleh menyebabkannya keliru dan menganggap semua bakteria sebagai bahaya.

“Selagi tiada sebarang komplikasi timbul dan ibu boleh bersalin normal, sebaiknya lahirkan bayi secara normal kerana banyak hikmahnya demi kebaikan bayi,” katanya.

Ketika mengandung pula, ibu disaran mengamalkan pemakanan seimbang dan jangan cuba mengelak kumpulan makanan tertentu dan mengambil nutrien secukupnya.

Menurutnya, sistem pertahanan badan sama seperti kanak-kanak yang sedang berkembang dan belajar mengenai persekitarannya. Disebabkan itu, kanak-kanak lebih mudah mengalami alahan, namun keadaan itu akan mula berubah apabila sistem pertahanan badannya sudah matang.

Selain itu, beliau menyarankan supaya golongan ibu memberikan susu badan kepada anak-anak kerana ia mempunyai antibodi dan mampu memberikan kekuatan kepada si kecil untuk melawan alahan.

Kadangkala imbangan dalam tubuh kanak-kanak yang memungkinkan ia mendapat alahan agak goyah. Walaupun mereka tampak sihat dan tidak menunjukkan sebarang masalah alahan, mereka tetap perlu diberi perhatian dan sentiasa dipantau sekiranya mempunyai sejarah keluarga serta faktor genetik berkaitan alahan.

Ini kerana pada bila-bila masa, imbangan yang goyah itu boleh berubah dan kanak-kanak berkenaan seterusnya akan menunjukkan simptom alahan biarpun selama ini tidak mempunyai masalah kesihatan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,800 views