Pertumbuhan Terbantut

Jangan ambil ringan mengenai pemeriksaan bulanan ketika hamil. Pemeriksaan berkala itu membolehkan ibu mengenal pasti masalah bayi yang dikandung sejak awal.

Sama ada ibu melahirkan bayi bersaiz kecil atau besar, ia akan ditentukan menerusi ukuran rahim atau ujian ultrabunyi yang dilakukan doktor.

Lazimnya, bayi normal dilahirkan dengan berat badan anggaran 3.4 hingga 3.5 kilogram. Namun, jika bayi dilahirkan lebih kecil berbanding bayi normal pada usia kandungan sama, kemungkinan si kecil berhadapan masalah kecil daripada usia kandungan (SGA).

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan juga Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata, SGA terbahagi kepada dua bahagian iaitu SGA normal dan tumbesaran dan perkembangan bayi dalam kandungan terbantut (Intra Uterine Growth Retardation atau IUGR).

“SGA normal biasa berlaku disebabkan keturunan dan dianggap tidak berbahaya. Berbanding SGA, IUGR dikatakan berisiko dihadapi oleh ibu yang mengalami masalah kesihatan atau mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

“Bayi SGA tidak perlu diawasi secara terperinci berbanding bayi IUGR. Doktor akan melihat perkembangan janin setiap masa sebelum usia kandungan mencecah 34 minggu bagi mengelakkan risiko kematian,” katanya.

SGA

Masalah SGA berlaku kepada bayi dilahirkan lebih kecil berbanding bayi normal. Ia biasa berlaku kepada bayi atas faktor keturunan atau daripada ibu yang berbadan kecil.

Untuk mengetahui sama ada bayi dilahirkan dikategorikan dalam SGA atau tidak, ia dapat dilihat daripada berat badannya. Walaupun berat dan saiz bayi itu lebih kecil, ia masih dianggap normal. Bayi SGA kurang bermasalah dan tidak perlu diawasi setiap masa secara terperinci.

“Ia boleh berlaku kepada bayi yang dilahirkan cukup bulan atau pramatang. Jika bayi dilahirkan cukup bulan, biasa berat yang dicapai adalah kurang daripada 2.5 kilogram.

“Berat badan yang dicapai bayi SGA adalah sama dengan bayi IUGR. Cuma yang membezakan bayi ini adalah proses pertumbuhan janin,” katanya.

Ujarnya, jika dilihat pada graf pembesaran bayi dalam kandungan, perkembangan bayi SGA lebih berjaya mengikut usia kandungan berbanding si kecil yang mengalami masalah IUGR.

IUGR

IUGR membabitkan masalah pertumbuhan bayi. Ia berlaku disebabkan pertumbuhan bayi dalam rahim yang terbantut disebabkan kekurangan bekalan oksigen.

Antara faktor yang boleh menyumbang kepada kekurangan bekalan oksigen adalah apabila berlaku gangguan aliran darah kepada bayi. Darah bukan saja menyalurkan oksigen malah ia juga membantu memberikan nutrien diperlukan bayi untuk membesar.

Darah membawa oksigen dan semua nutrien yang diperlukan bayi. Apabila kurang mendapat bekalan darah, banyak masalah akan berlaku kepada janin.

Kekurangan darah boleh menyebabkan bayi lemas sendiri di dalam kandungan atau ketika proses bersalin. Apabila ada tekanan dan oksigen tidak mencukupi, bayi berisiko tinggi untuk lemas.

Bayi IUGR boleh dikesan menerusi imbasan menggunakan pengamatan teknik ultrabunyi atau ukuran rahim. Antara faktor yang menyebabkan bayi mengalami masalah IUGR adalah daripada ibu, bayi itu sendiri dan uri (plasenta).

“Sebelum usia kandungan memasuki 34 minggu, ia akan diawasi oleh pakar. Jika tidak bermasalah, usia bayi akan dilanjutkan sehingga matang sebelum dilahirkan.

“Setiap minggu, pakar akan mengawasi tumbesaran bayi, air ketuban, ukuran bayi dan pengaliran darah di dalam tali pusat. Jika semua perkara berkenaan normal dan bayi tidak membesar lebih daripada usia mereka walaupun pertumbuhan terencat, ia tidak berbahaya,” katanya. Tambah Dr Nurhazinat, apabila usia kandungan melepasi 34 hingga 36 minggu, jika air ketuban terlalu sedikit, bayi akan dilahirkan menerusi pembedahan melainkan atas sebab tertentu seperti bukaan faraj yang membenarkan ibu bersalin normal. Namun, majoriti atau 90 peratus ibu yang hamil bayi IUGR ini dinasihatkan bersalin secara pembedahan.

Faktor IUGR

Ibu hamil yang terlalu muda atau lanjut usia. Ibu hamil yang berusia 35 hingga 40 tahun ke atas yang menghidap masalah darah tinggi, kencing manis atau sakit buah pinggang yang kronik berisiko mendapat bayi IUGR.

Selain itu, ubat-ubatan yang diambil oleh ibu untuk mengawal penyakit mereka juga boleh menjadi antara punca bayi mengalami IUGR.

Malah, kecacatan janin seperti Sindrom Down juga boleh menjadi punca kepada masalah bayi IUGR. Namun, kandungan tidak akan bermasalah jika ibu itu sihat walaupun hamil di usia lewat.

Bukan itu saja, IUGR juga boleh disebabkan oleh ibu yang merokok. Kebiasaannya bayi IUGR akan mengalami kecacatan tubuh ketika dalam kandungan kerana tidak mendapat bekalan oksigen yang cukup sekiranya si ibu masih merokok walaupun sarat mengandung.

Bayi IUGR mempunyai bentuk tubuh kecil selain mengalami komplikasi sewaktu kelahiran disebabkan tidak menerima oksigen secukupnya dan perlu mendapatkan rawatan segera selepas dilahirkan.

Kekurangan zat makanan. Bayi juga memerlukan nutrien secukupnya untuk membesar dengan sihat. Disebabkan itu, jika nutrisi diterima bayi tidak mencukupi, ia akan memberi kesan kepada kulit bayi sama ada menjadi berkedut atau nampak lebih matang daripada usia sebenar.

Justeru, ibu hamil perlu mengamalkan diet seimbang yang lengkap mengandungi protein, karbohidrat dan lemak. Tanpa protein, bayi tidak mampu membina otot dan sel badan.

Lemak pula berfungsi untuk membentuk hormon dan proses metabolisme bayi. Semua perlu diambil secara seimbang dan tidak boleh berlebihan. Jangan pula kerana bimbangkan masalah ini berlaku, ada yang mengambil pendekatan ‘makan untuk dua orang’ kerana ia akan menimbulkan masalah lain pula. Pada masa sama, ibu hamil juga perlu minum air yang mencukupi.

Jangkitan kuman. Ibu hamil yang mengalami jangkitan kuman seperti cacar air juga boleh memberi kesan buruk kepada bayi. Bagaimanapun ia turut bergantung kepada usia kandungan ketika jangkitan berlaku. Jika ibu terkena jangkitan cacar air pada trimester awal (tiga bulan pertama) maka risiko tinggi untuk bayi mengalami kecacatan otak adalah tinggi.

Ciri-ciri bayi SGA atau IUGR

Bayi SGA yang cukup bulan kelihatan matang, tetapi bersaiz kecil dan mungkin mempunyai sifat berikut:

Kelihatan cukup bulan (matang)

Kurus, kecil dan kurang tisu lemak

Kulit berkedut (kurang nutrisi)

Keseluruhan badan kemerahan

Mengalami gangguan pernafasan

Kelihatan lesu disebabkan kekurangan gula dalam darah

Kemungkinan masalah dihadapi bayi IUGR

Komplikasi awal – hipoglisemia (kurang gula dalam darah)

Polisitemia – sel darah merah dalam darah berlebihan

Hipotermia – tidak dapat mengekalkan suhu badan

Mengalami gangguan pernafasan

Ketidakseimbangan garam galian dalam darah

Kulit kebiru-biruan akibat kurang oksigen

Tidak stabil semasa kelahiran

Komplikasi lewat: Bergantung kepada sebab berlakunya IUGR. Misalnya, kes kromosom yang tidak normal seperti Sindrom Edward’s yang boleh menyebabkan risiko kematian pada minggu pertama kelahiran.

Sebahagian bayi ini akan membesar seperti bayi biasa manakala sebahagian lagi mengalami tumbesaran yang lambat. Bukan itu saja, bayi juga berisiko mengalami penyakit kronik ketika dewasa seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, obesiti dan masalah jantung.

Cara mengendalikan bayi IUGR

Rawatan khas mengikut keadaan dan keperluan bayi, tetapi kebanyakan bayi ini memerlukan:

Pengawasan kadar gula dalam darah

Penyusuan yang awal dan kerap

Sebahagian bayi mungkin perlu dimasukkan ke wad bayi (Neonatal) untuk:

Pemberian susu berkalori tinggi melalui tiub

Air dektros melalui intravena

Bantuan pernafasan

Pertukaran darah

Rawatan fototerapi untuk jaundis

Langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan IUGR

Penjagaan semasa mengandung sangat penting:

Awasi kesihatan ibu

Rawat ibu bermasalah seperti tekanan darah tinggi

Pantau pertumbuhan janin dalam kandungan

Periksa uri bagi mengesan masalah

Kesan kecacatan pada janin

Rancang kelahiran yang selamat

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

4,816 views