Pilih Bunga Tahan Lama

Membuat gubahan yang menarik bukannya mudah kerana memerlukan kreativiti dan penelitian supaya barangan hantaran biasa atau murah kelihatan lebih menyerlah.

Pemilihan bahan gubahan misalnya bunga perlu dititikberatkan supaya hantaran yang dibuat itu tampil cantik apatah lagi jika majlis perkahwinan itu diadakan dewan besar.

Untuk menjadikan barangan hantaran yang biasa nampak mewah dan menarik, penggubah hantaran profesional yang juga pemilik Coco’s Creation Mohammad Jeffri Yusop berkata, gubahan mengikut tema sebenarnya jauh lebih mudah.

Katanya, gubahan hantaran mestilah seiring dengan tema yang menjadi pilihan mempelai. Gubahan kali ini bertemakan kontemporari tropika iaitu menggunakan beberapa jenis bunga segar yang digubah menjadi mewah dan moden.

Mohammad Jeffri berkata, dalam gubahan itu dia menggunakan beberapa jenis bunga segar iaitu mawar, orkid, baby breath, kekwa dan eustoma.

“Gabungan bunga ini akan menjadikan barangan hantaran nampak lebih mewah dan menggamit pandangan tetamu. Kesemua bunga ini dipilih khas untuk menjaga mutu barangan hantaran supaya ia kelihatan segar walaupun seharian berada di dalam dewan atau di rumah pengantin.

“Hantaran ini adalah sesuatu yang amat penting untuk menambahkan keceriaan dewan persandingan apabila ia diletakkan di depan singgahsana mempelai,” katanya.

Setiap hantaran dihasilkan dengan teliti kerana mahu pasangan pengantin dan keluarga berpuas hati dengan nilai wang yang dibayar. Bagaimanapun jika kreatif, keluarga pengantin boleh menghias sendiri hantaran mengikut cita rasa mereka. Sebagai panduan, Mohammad Jeffri menunjukkan cara menghasilkan hantaran untuk pembaca Harian Metro.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,608 views