Pilih Hitam, Kelabu Warna Dasar
Jenama terkenal, HM membawa sedikit kelainan dengan pelancaran rangkaian terbarunya bagi musim luruh tahun ini menerusi rekaan ala tomboi bagi koleksi wanita. Pada masa sama ia turut menggunakan hitam dan kelabu sebagai warna dasar untuk kebanyakan pakaiannya selain sedikit cetusan merah.
Dihasilkan oleh pasukan pereka HM, koleksi berkenaan menggabungkan cetusan idea glamor dan semangat ala tomboi yang banyak mewarnai gaya terbarunya.
Antara yang ditampilkan adalah kot yang mampu memberi siluet dramatik sama ada jenis panjang atau singkat serta gaun berkain lembut dihiasi labuci dan juraian yang boleh dipadankan dengan mana-mana pakaian lain.
Jaket kulit pula diberikan gaya vintaj dengan butang yang tidak sepadan antara satu sama lain, manakala seluar kulit membawa imej keras.
Gaya bohemia ditonjolkan pada jaket baldu yang dihiasi sulaman dan kepelbagaian aksesori termasuk cincin kecil untuk setiap jari bagi membangkitkan penampilan punk.
Ketua Pereka HM, Ann-Sofie Johansson, berkata dia berasa sungguh teruja dengan koleksi terbaru itu yang menonjolkan keseronokan sebenar dalam berfesyen dengan pelbagai idea digabungkan menjadi sesuatu yang tersendiri.
“Ia mempunyai semua gaya utama untuk musim luruh dan saya rasa sungguh bangga ia dapat dipamerkan pada pertunjukan fesyen di Paris dan tidak sabar untuk melihatnya mual dijual di kedai pada September ini,” katanya.
Sementara itu, bagi koleksi lelaki HM musim luruh ini, ia menampilkan jahitan baru dan bentuk yang kontras, antaranya kot saiz besar sama ada bulu dengan kolar atau mempunyai hud bagi memberi rasa moden.
Jaket Harrington berzip dan jaket pendek bersulam memberi gaya kemas manakala kot panjang dilengkapi hud, blazer pendek, seluar panjang, baju panas, kemeja dan tali leher sepadan, memberi gaya maskulin yang menawan.
Aksesori pula menampilkan but, kasut, sarung tangan kulit, topi yang dikait dan tali leher bercorak.
Ketua pereka pakaian lelaki HM, Andreas Lowenstam, berkata koleksi berkenaan membawakan elemen maskulin yang pelbagai yang digabung bagi musim ini.
“Terdapat terlalu banyak pilihan dan apabila digabungkan sekali, ia memberi gaya yang sungguh bergaya. Dengan pelbagai penampilan, ia membuatkan musim luruh lebih bermakna,” katanya.