Pilih Makanan Secara Berhemah

SELEPAS 15 hari menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana penuh meriah maka perayaan itu bertukar kepada sederhana saja pada sambutan hari Cap Goh Mei pula.

Cap Goh Mei adalah malam pertama bulan purnama selepas Tahun Baru Cina. Pada malam berkenaan, tanglung berwarna-warni dinyalakan untuk menambah suasana meriah perayaan. Tidak ketinggalan hidangan bersama keluarga meskipun ia disediakan secara sederhana saja.

Sama ada di musim perayaan mahupun sebaliknya, ada beberapa jenis makanan lazim yang sebenarnya boleh menggemukkan tanpa kita sedari.

Bayangkan makanan yang kelihatan mudah seperti biskut dan kuih-muih juga berisiko tinggi menyebabkan kegemukan. Walhal, makanan jenis inilah yang selalu menjadi pilihan kita bukan saja pada musim perayaan.

Malah pada hari biasa, makanan ini biasanya dijadikan kudapan tidak kira pada

waktu pagi, petang mahupun malam.

Di sini, saya menyenaraikan beberapa contoh makanan berkenaan yang perlu diambil secara berhemah dan berhati-hati, sama ada makanan itu sekadar kudapan harian atau pilihan ketika menyambut perayaan.

Pelbagai jenis biskut

Selain sajian harian, sudah menjadi kebiasaan untuk kita menjamu tetamu dengan aneka jenis biskut sebagai pembuka selera atau makanan ringan. Ini termasuk biskut coklat, kacang serta tat nanas.

Bagi biskut berkenaan, kandungannya dianggarkan 132.2 kalori manakala lemak pula mempunyai purata 5.3 gram. Ia dianggap menggemukkan kerana sekali kita memakannya, biasanya kita sukar berhenti.

Keinginan untuk mengunyah biskut pasti berterusan bagaikan kita mempunyai semangat yang meluap-luap menyaksikan perlawanan bola sepak.

Biskut ini juga mengandungi mentega, telur, kandungan gula yang tinggi dan beberapa jenis bahan perasa yang lain.

Itik peking, itik atau ayam panggang

Hirisan itik yang nipis dengan kulit yang rangup biasanya dimakan bersama lempeng dan sos dikenali sebagai ‘hoisin’.

Hidangan berasal dari Beijing, China ini dianggarkan mempunyai anggaran 340 kalori untuk setiap hidangan manakala lemaknya pula sebanyak 14 gram.

Pasti anda tertanya-tanya mengapa pula ia menggemukkan bukan? Jawapannya, daging itik peking, itik atau ayam panggang ini dimakan bersama kulit yang berlemak, sekali gus menambah kandungan kalori dan lemak di dalam badan anda. Saiz hidangan yang kecil bagi itik peking juga bermakna anda mungkin memakan lebih daripada satu hidangan sekali.

Ayam bijan, ayam kung pao dan ayam atau ikan masam manis

Hidangan berkenaan adalah antara lauk-pauk yang lazat dan biasa dihidangkan pada bila-bila masa selain musim perayaan.

Sejarahnya, masakan ini menjadi makanan klasik asli di daerah Szechuan, China. Meskipun begitu, masakan ini sangat popular di Malaysia, Indonesia (khususnya di Jakarta) serta negara Asia yang lain.

Cara menyediakan hidangan ayam kung pao cukup mudah iaitu potongan ayam diperap dalam sos tiram, kicap dan garam, kemudian ia digoreng. Rasanya yang pedas dan manis ditambah rangup kacang gajus menjadikannya enak dimakan panas bersama nasi putih. Bertambah variasi jika ayam ini dimakan bersama sayuran seperti sawi, salad dan brokoli.

Tetapi anggaran kalori bagi setiap hidangan ini ialah 350 hingga 600 dan kandungan lemaknya pula secara purata seberat 17 gram. Ia dikategorikan sebagai hidangan yang boleh menyebabkan masalah kegemukan disebabkan ayam atau ikan itu disalut tepung dan digoreng terlebih dulu sebelum dimasak dan dicampur dengan bahan perencah lain.

Dimsum goreng

Juadah ini sememangnya menjadi kegemaran ramai dan sesuai dimakan sebagai pembuka selera mahupun sajian utama. Dimsum goreng termasuk pelbagai jenis wantan, popia, bebola ubi dan bebola bijan.

Anggaran kalori bagi setiap hidangan ialah 420 dengan 29 gram lemak. Ia menggemukkan kerana cara masakannya yang digoreng. Ia bagaikan anda memakan beberapa senduk minyak yang menyaluti hidangan itu semasa ia digoreng.

Hidangan di atas sememangnya enak tetapi kuncinya, anda perlu berpada-pada. Jangan makan terlalu banyak dan cuba mencari alternatif lain yang lebih sihat. Jangan lupa juga memulakan atau meneruskan rutin senaman semula selepas musim perayaan ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

981 views