Pilihan Baju Biar Sesuai Badan

Kepelbagaian rekaan baju pengantin adakalanya membuatkan diri rambang mata membuat pilihan terbaik seperti diingini.

Apabila melihat patung ‘menggayakannya’ di butik pengantin, kelihatan rekaan sungguh menarik. Dengan bentuk badannya yang kecil molek ditambah pula dengan potongan baju mengikut ukuran badan, ia seolah-olah terletak elok di badan.

Namun, bakal pengantin perlu memahami ia hanyalah ilusi dan perlu memilih baju mengikut kesesuaian tubuh sendiri.

Bertindak sebagai perantara kepada bakal pengantin, butik pengantin Satri’s Bridal Atelier yang dimiliki Satri Hashim turut memberi panduan mengenai penggayaan terbaik untuk kelihatan lebih anggun pada hari bersejarah mereka.

Setiap baju yang dihasilkan memiliki personaliti dengan potongan gaya berlainan. Tetapi kebanyakan bakal pengantin kini lebih meminati rekaan gaun atau jubah gaun yang lebih moden.

Bentuknya yang lebih terserlah dengan kombinasi perincian manik, sulam tampal serta renda sesuai digayakan pengantin bertudung dan tidak bertudung.

Walaupun ada baju yang menggunakan perincian agak sarat, ia hanya difokuskan pada bahagian tertentu antaranya bahagian pinggang, dada, bahu, lengan, leher serta hujung kain.

Sifon, bridal satin dan renda menjadi pilihan utama menghasilkan pakaian pengantin bermutu tinggi. Rekaan yang dihasilkan juga kelihatan lebih mewah apabila disertakan aksesori tertentu.

Malah, kombinasi warna antara padanan perincian juga perlu diutamakan bagi memastikan ia tidak janggal dipandang mata.

Selain manik, penggunaan sulam tampal juga mampu menyerikan lagi baju pengantin. Walaupun kelihatan agak sarat, ia ternyata memberikan kelainan kepada busana berkenaan.

Selain itu, kelebihan koleksi pakaian yang disediakan butik terbabit juga membolehkan bakal pengantin mendapatkan baju diimpikan pada harga berpatutan.

Panduan persiapan majlis perkahwinan untuk bakal pengantin:

Pastikan pilihan untuk sebarang keperluan majlis dan diri dilakukan tidak melebihi bajet.

Apabila memilih baju, ikut bentuk badan dan warna kulit bukan sebaliknya. Jangan mendengar alasan individu lain, sebaliknya buat keputusan sendiri.

Jangan terlalu cerewet dalam membuat pilihan, biarlah bersederhana.

Pilih warna bersesuaian.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

851 views