Platform Kecergasan Menyeronokkan
Lompat, lompat dan terus melompat. Tanpa sedar, baru 15 minit masa berlalu, namun tubuh berpeluh seakan usai berlari lebih 10 kilometer!
Dan menariknya, tidak perlu mengangkat bebanan, lari di papan pengisar injakan (treadmill) atau bergelut dengan karung tinju.
Cuma melompat setempat pada trampolin yang sudah disediakan dalam tempoh sejam atau diselang-selikan dengan aktiviti melompat lain seperti slam dunk dan dodge-ball.
Sememangnya melompat di atas trampolin ini jadi pilihan utama penulis kerana tidak perlu memaksa diri untuk bersenam di gimnasium atau taman rekreasi. Hanya sarungkan pakaian selesa dan stoking khas, diri sudah sedia melompat dengan gembira.
Ada yang kata aktiviti membabitkan trampolin ini memerlukan kos yang tinggi kerana harga satu set alat itu mampu mencecah ribuan ringgit.
Selain itu, trampolin memerlukan ruang yang luas bagi membolehkannya berfungsi dengan baik.
Justeru, katil sering menjadi ‘mangsa’ kala diri terasa ingin melompat tanpa rasa bimbang kerana tidak mampu untuk membeli trampolin hatta yang termasuk dalam kategori mini.
Berteraskan konsep itulah Jump Street hadir sebagai alternatif untuk mereka yang culas bersenam, selain ia menjadi aktiviti menyeronokkan bersama keluarga tanpa perlu mengorbankan tilam dan katil.
Jump Street menyediakan taman trampolin terbesar di Asia dan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Dengan keluasan 37,000 kaki persegi, pengunjung bukan saja boleh melompat setempat di gelanggang utama, malah melompat trampolin sambil bermain bola keranjang dan dodge-ball di ruang khas.
Jika inginkan kesan lantunan lembut, kolam span sedia menanti pengunjung. Ribuan span memenuhi kawasan bersegi empat seakan kolam renang yang memberi peluang pengunjung terjun atau merebahkan diri dengan gaya tersendiri. Meskipun tiada pengalaman kita tidak perlu bimbang kerana keseluruhan Jump Street dipantau sekumpulan Jump Referee berpengalaman.
Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Jump Street Malaysia Sdn Bhd, Duncan McGiligan, ruang trampolin ini direka sebagai salah satu tarikan rekreasi terbaru di Malaysia, selain menjadi platform kecergasan yang menyeronokkan.
“Siapa yang tidak suka melompat di atas katil? Lantunan dihasilkannya bukan saja mencetuskan rasa gembira, malah membantu meningkatkan kecergasan.
“Tapi melompat di atas trampolin lebih selamat berbanding di katil dan dalam masa memberi kepada kesan positif pada diri kita,” katanya.
Beberapa kajian menjelaskan bahawa trampolin salah satu penyumbang kepada kesihatan holistik, di mana ia memberi manfaat secara menyeluruh kepada fizikal dan mental kanak-kanak serta golongan dewasa.
Berbanding aktiviti fizikal lain contohnya joging, trampolin menghasilkan kesan lebih pantas dan efektif.
Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melaporkan melompat trampolin selama 10 minit memberi efek pada tubuh seperti berlari selama 30 minit.
“Latihan lompatan dan lantunan ini adalah antara teknik paling berkesan dan mudah dilakukan. Untuk tahap yang sama pada kadar degupan jantung dan penggunaan oksigen, magnitud rangsangan biomekanik adalah lebih besar apabila melompat di atas trampolin berbanding berlari,” menurut kenyataan NASA.
Tidak dinafikan joging atau berlari dapat membakar kalori dengan cepat, namun ada ketikanya ia memberi tekanan fizikal ke atas anggota badan terutama bahagian bawah kaki.
Kesan daya-g (daya yang disebabkan pecutan graviti yang dirasakan sebagai tekanan atau berat) akan meningkat setiap kali kaki memijak tanah dan kadang-kala sehingga mencecah empat kali ganda mengikut faktor berat seseorang pelari itu.
Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai berat badan 68 kilogram melakukan aktiviti larian, individu terbabit berisiko memberi tekanan sehingga 272 kilogram pada bahagian sendi setiap kali kakinya mencecah tanah.
Justeru, trampolin adalah alternatif kepada aktiviti itu khususnya bagi golongan warga emas serta mereka yang pernah cedera di kaki kerana trampolin mengurangkan tekanan pada sendi terbabit sehingga 80 peratus.
Trampolin juga boleh menjadi latihan sesuai untuk mereka yang lama tidak bersukan atau baru memulakan program senaman.
Selain itu, kajian lain mendapati aktiviti trampolin ini adalah salah satu kaedah paling bermanfaat untuk mengurangkan masalah selulit yang dialami majoriti wanita.
Apapun, tambah McGiligan, yang penting trampolin mampu mencetuskan suasana gembira dan menyeronokkan terutama apabila dilakukan bersama keluarga mahupun teman.
“Trampolin membuatkan kita rasa lebih seronok untuk bersenam. Malah, kadang-kala kita sendiri tidak sedar sepanjang sesi lompatan itu adalah salah satu teknik senaman,” katanya.
Memang, inilah yang dirasai penulis. Memang seronok dapat melompat dan ‘terapung’ seketika di udara. Lebih seronok apabila dalam 10 minit jumlah lompatan yang dilakukan berkali ganda berbanding berlatih dengan tali skip di rumah tanpa merasakan beban pada kaki. Hasilnya? Malam itu tidur lebih nyenyak dan keesokan paginya rasa lebih segar untuk bekerja!
Jump Street beroperasi setiap hari di No 8A, Jalan 13/6, Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor. Untuk maklumat lanjut boleh layari www.jumpstreetasia.com atau www.facebook.com/JumpStreetAsia.