Popular Di Luar Negara
Seunik namanya, begitulah juga pengalaman yang boleh dinikmati oleh pelanggan pusat dobi merangkap kafe, Wash Ur Gossips, yang terletak di kawasan perindustrian Seksyen 15, Shah Alam.
Bukan sekadar mencuci pakaian menggunakan mesin basuh layan diri, pelanggan juga boleh mengisi masa dengan menjamu selera, melayari Internet, membaca majalah atau sekadar minum bersama rakan di kafe dalam premis yang sama, sambil menunggu cucian mereka selesai dalam tempoh 40 minit.
Lebih menarik, harga cucian layan diri yang ditetapkan juga jauh lebih murah berbanding dobi tradisional iaitu hanya RM6 untuk satu cucian menggunakan mesin muatan sembilan kilogram.
Dibuka pada Jun tahun lalu sebagai sebahagian perniagaan keluarga, Wash Ur Gossips menggunakan konsep kafe dobi yang diterapkan di beberapa negara maju seperti Australia dan New Zealand.
Pengarah Operasi Danmal Resources, Ranie Hamdan, yang menguruskan pusat kafe dobi berkenaan bersama ayahnya berkata, ia adalah perniagaan pertama keluarganya.
Keluarga memilih untuk menjalankan perniagaan berkenaan selepas mengambil kira pengalaman ayahnya, Danny Hamdan Zulkifli, 57, yang pernah berkecimpung selama 30 tahun dalam industri perhotelan.
“Kami juga memilih konsep kafe dobi kerana walaupun popular di luar negara, ia masih belum ada lagi di Malaysia. Kami berpendapat sekiranya perniagaan jenis ini berjaya di luar negara, tentu ia juga boleh berjaya di negara ini,” katanya.
Namun disebabkan sudah terbiasa dengan cara tradisional, masih ada pelanggan yang meninggalkan baju mereka di kafe dobi itu dan datang pada hari lain untuk mengambilnya biarpun tahu pusat berkenaan menawarkan perkhidmatan dengan konsep layan diri.
Pun begitu, pihaknya tidak menolak jika ada pelanggan yang mahukan perkhidmatan penuh atau dobi tradisional, tetapi caj yang dikenakan berbeza iaitu RM2 untuk setiap kilogram pakaian. Malah, kafe dobi itu turut menjalankan perkhidmatan cucian kering dan seterika pakaian.
Bagaimanapun menurut Ranie, dia sering mendidik dan menggalakkan pelanggan supaya menggunakan mesin layan diri bagi mendapat faedah dari segi harga selain mendedahkan mereka dengan konsep baru pusat dobi yang popular di negara maju.
Menyediakan talian Internet secara percuma, Wash Ur Gossips disasarkan kepada golongan pelajar di awal usia 20-an, mereka yang baru berkahwin sehingga kepada golongan pekerja dalam lingkungan 40-an.
Malah dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, ruang baca yang disediakan juga sentiasa dikemas kini dengan bacaan terbaru supaya pelanggan mempunyai lebih pilihan bersantai di kafe dobi berkenaan.
Sejak beroperasi hampir setahun lalu, sambutan yang diterima ternyata menggalakkan. Malah ramai kalangan pelanggannya sering berulang menghabiskan masa di kafe dobi berkenaan.
Konsep, susun atur dan pemilihan warna semuanya dilakukan sendiri oleh keluarga Danny Hamdan. Warna biru dipilih kerana ia menggambarkan kebersihan, sesuai dengan aliran perniagaan mencuci pakaian.
Sementara itu, Danny Hamdan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Danmal Resources berkata, biarpun terletak dalam satu premis, mesin basuh yang ada tidak berbunyi atau boleh mengganggu ketenteraman pelanggan.
Ia juga dipisahkan oleh dinding kaca bagi menampakkan premis kelihatan lebih kemas, tersusun dan menarik. Keadaan itu menjadikan premisnya unik dan sekali gus menarik pelanggan untuk masuk dan melihat apa yang ditawarkan.
Dia menggunakan sepenuhnya ruang kedai yang ada termasuk turut menjual koleksi tudung di situ bagi pelanggan yang berminat. Ini kerana menurutnya, dalam zaman ini yang mana orang semakin sibuk dan sering tiada masa mencukupi, semua orang mahu melakukan sesuatu perkara dengan pantas.
“Malah mereka juga boleh menikmati pelbagai menu lazat di sini, sama ada tempatan atau Barat. Makanan yang disediakan juga pada harga berpatutan malah kebanyakan menu yang ditawarkan adalah hasil maklum balas pelanggan.
“Antara menu yang popular dan sering mendapat permintaan adalah telur dadar, salad, pencuci mulut banana pillows dan sup cendawan yang dihasilkan daripada empat jenis cendawan,” katanya.
Lebih menarik, Danny Hamdan dan anaknya turut beramah mesra dengan pelanggan malah pelanggan boleh memberi apa saja komen atau berkongsi idea dengannya. Ini kerana dia percaya hubungan baik antara pengusaha dan pelanggan menjadi kunci kejayaan sesuatu perniagaan.
Bukan sekadar tempat melepak atau mencuci pakaian, Wash Ur Gossips turut menyediakan pakej perkhidmatan bagi pelbagai acara yang boleh diadakan di premisnya yang boleh memuatkan 40 orang pada satu masa.
Golongan pelajar juga mendapat keistimewaan kerana mereka menerima potongan harga sebanyak 20 peratus untuk makanan yang dibeli di kafe sekiranya menunjukkan kad pelajar ketika membuat pesanan.
“Kami juga ada pelbagai promosi dan setiap tiga bulan, promosi berbeza akan diadakan. Semuanya kami uar-uarkan di ruang Facebook kami iaitu WashUrGossips,” katanya.
Malah, dia tidak menolak sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan itu di kawasan mereka namun mereka perlu mengekalkan konsep yang sama.