Potongan Ala Duyung Curi Tumpuan

Siapa yang tidak mahu kelihatan anggun dan serba berbeza pada hari bersejarah mereka.

Justeru bagi menyerlahkan keanggunan, mempelai perlu membuat pertimbangan dari pelbagai segi termasuk, rekaan, perincian juga warna busana.

Itulah jua yang diketengahkan butik pengantin, Rins Suzana yang menampilkan kepelbagaian rekaan busana pengantin gaya moden dan sederhana yang anggun dan menarik dipandang.

Kombinasi bridal satin, sifon, renda berserta perincian manik dan kristal memenuhi titik tumpu pada, baju menyerlahkan lagi keindahan busana pengantin yang digayakan.

Kebiasaannya, pilihan utama tampalan perincian lebih menjurus pada bahagian bahu, dada, hujung lengan, tengah badan serta hujung kain dan layah.

Pilihan gaun labuh yang dipelbagaikan dengan motif perincian tersendiri serta tatarias kepala sedondon membolehkan ia dipakai bakal pengantin bertudung dan juga tidak bertudung.

Potongan kain ala duyung serta kembang juga menjadi pilihan bakal pengantin, namun perlu disesuaikan dengan persekitaran persandingan untuk menyerlahkan keunikannya.

Menggunakan fabrik jaring sebagai layah belakang sama ada dijahit bersama baju atau hanya dibuat tampalan, rekaan busananya kelihatan lebih eksklusif dan menawan.

Padanan warna kain dan perincian juga menimbulkan aura kreatif terutama bagi mereka yang menggemari rekaan unik pada baju. Ia mengetengahkan seri pada baju malah menjadi penyamar bentuk bagi mereka yang ingin tampil langsing.

Tidak terhad untuk bakal pengantin bersaiz kecil, mereka yang memiliki bentuk badan berisi juga boleh menggayakan busana pengantin disediakan butik ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

556 views