Produk Berkualiti, Reka Bentuk Menarik
AKHBAR lama biasanya dibuang atau dibuat kertas pembalut makanan, namun bagi kaum ibu di Kampung Janda Baik, Bentong, bahan buangan itu mempunyai nilai yang tersendiri dan boleh menghasilkan pendapatan sampingan.
Walaupun sentiasa sibuk dengan tugas menguruskan rumah tangga, kaum ibu ini masih mempunyai masa dan tenaga untuk ‘melontar’ idea kreatif menghasilkan produk kraf daripada kertas surat khabar, majalah, rotan dan daun mengkuang yang tidak mempunyai nilai pada pandangan sesetengah pihak.
Kesempatan penulis bertemu kumpulan ‘wanita kreatif’ ini sempena program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M)-Pahang baru-baru ini mengungkap keunikan empunya jejari kreatif ini dalam menghasilkan bakul sampah, pasu bunga, kotak tisu, bakul telur dan bakul hiasan daripada bahan buangan ini.
Bagi memenuhi masa senggang selepas selesai urusan rumah tangga, golongan ini mengambil kesempatan berkumpul dan mengadakan kelas kraftangan dengan bimbingan tenaga pengajar Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah.
Sejak lebih lima bulan lalu, wanita termasuk pelajar tidak melepaskan peluang mendapatkan bimbingan daripada ‘guru’ berkenaan yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar sehingga menghasilkan produk berkualiti dengan reka bentuk yang menarik.
Lebih menarik, ketika musim perkahwinan, kaum ibu ini tidak menang tangan menyiapkan bakul telur daripada surat khabar yang ditempah dalam jumlah besar, sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada mereka.
Konsep tolong-menolong sesama jiran ini jelas ‘mewarnai’ kehidupan seharian mereka, malah beberapa hari dalam seminggu mereka berkumpul dan menyiapkan kerja tangan ini.
Bagi Jasmani Abdul Malik, 31, walaupun memiliki kemahiran dalam bidang jahitan, dia tetap berminat membuat produk kraftangan bagi menambah pendapatan.
Ibu kepada dua anak ini berkata, kebanyakan suri rumah kini semakin aktif menjalankan aktiviti sampingan yang dapat meningkatkan lagi pendapatan keluarga.
“Walaupun sibuk menjahit, saya curi-curi masa belajar membuat kraftangan daripada kertas surat khabar dan majalah yang selama ini dibiarkan ‘berlonggok’ di sudut rumah.
“Tidaklah susah mempelajarinya, malah ia tidak memerlukan modal yang besar kerana hanya menggunakan bahan asas, gunting, gam dan varnis untuk mengilatkannya supaya kelihatan menarik dan tahan lebih lama,” katanya.
Jasmani berkata, walaupun produk itu kelihatan mudah untuk dihasilkan, kerja melipat dan menggulung kertas yang dililit pada lidi tetap memerlukan ketelitian bagi mengelakkan kertas yang digulung longgar, sekali gus menyebabkannya ‘mudah patah’.
“Ada masanya bosan juga kerana beratus-ratus gulung kertas perlu dibuat terlebih dahulu sebelum membentuknya menjadi produk yang kita hajatkan seperti bekas pasu bunga, kotak tisu, bakul telur atau bakul kain.
“Bagaimanapun, daripada rasa bosan itulah terbitnya kepuasan kerana menghasilkan produk sendiri, malah boleh dijual pula kepada pengunjung inap desa di sini,” katanya.
Katanya, keindahan kraf tangan daripada kertas akhbar lama setanding barangan yang diperbuat daripada rotan atau buluh jika kena cara pembuatannya.
“Saya melakukannya hanya untuk mengisi masa lapang. Namun siapa sangka bakul yang dihasilkan akhirnya menarik hati jiran tetangga dan mereka sama-sama ingin mempelajarinya,” katanya.
Jirannya, Sarimah Mat Daud, 39, berkata, kebiasaannya mereka berkumpul pada sebelah petang selepas waktu Asar untuk berkongsi ilmu dan bertukar pendapat serta mencari kaedah meningkatkan lagi pengeluaran produk kraftangan itu.
“‘Daripada duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti lain saya rasa lebih baik membuat kraftangan bakul, tempayan dan pasu daripada akhbar lama kerana bahan ini mudah diperoleh.
“Kebiasaannya, kami membuat demonstrasi kepada pengunjung inap desa dan berkumpul di rumah pemilik inap desa terbabit,” katanya.
Suri rumah sepenuh masa yang juga ibu kepada enam cahaya mata ini banyak menghasilkan bakul hiasan dan bekas telur dan pernah menerima tempahan untuk majlis perkahwinan.
“Walaupun jari kebas kerana asyik melilit kertas ini untuk dijadikan gubahan, ia satu aktiviti yang menyeronokkan kerana kita dapat menggunakan idea dan kreativiti tersendiri dalam menggubah barangan yang kita minat.
“Saya harap lebih ramai kaum ibu di kampung ini menceburi aktiviti ini kerana ia boleh menjana pendapatan keluarga jika dijual kepada tetamu di sini terutama pelancong asing yang sudah pasti terpikat dengan hasil seni ini,” katanya.
Menurutnya, sebuah bakul daripada kertas akhbar lama dapat disiapkan dalam masa tiga hari dan dijual pada harga antara RM12 hingga RM45 sebuah manakala tudung saji antara RM40 hingga RM50.
Bagi Siti Rose Ahmad, 52, aktiviti yang pada peringkat awalnya dilakukan secara suka-suka akhirnya menjadi sumber kewangan tambahan kepada keluarganya apabila kerap menerima tempahan daripada pihak luar.
“Pada awalnya, saya sekadar suka-suka menghasilkan barangan ini tetapi lama-kelamaan ia memberi keseronokan pada saya, tambahan pula boleh memberi keuntungan kepada keluarga.
“Biasanya pada musim perkahwinan, permintaan untuk bakul telur sangat tinggi, kadang-kadang boleh terlupa makan kerana terlalu sibuk,”‘ katanya.
Bercerita lebih lanjut, Siti Rose berkata, pada peringkat awal dia hanya menghasilkan barangan yang kecil kerana kurang yakin dengan kemampuan dirinya selepas belajar membuat kraf itu melalui jirannya.
“‘Pada peringkat awal dulu, saya mengambil masa agak lama kadang-kadang sampai dua hari untuk menyiapkan satu bakul telur yang kecil. Tapi kini boleh menyiapkan dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh beberapa jam saja,” katanya.
Bagi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jengka, Nur Ain Norisam, 18, aktiviti itu dapat meningkatkan kemahirannya dalam bidang kraftangan selain memenuhi masa lapangnya ketika pulang bercuti.
“Saya memang berminat dengan kerja kraftangan ini terutama daripada surat khabar dan majalah lama kerana ia adalah satu seni kreatif yang boleh menghasilkan pendapatan sampingan keluarga.
“Walaupun saya baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini, saya tidak menganggapnya sebagai satu pembaziran kertas atau masa kerana ia adalah satu kaedah menggunakan semula bahan kitar kitar semula.
“Daripada kita menjualnya kepada orang lain atau menggunakannya sebagai kertas bungkusan, lebih baik kita jadikannya sebagai produk yang mendatangkan hasil dan boleh dijual pula kepada mereka yang berminat dengan keunikan dan keasliannya,” kata pelajar jurusan Diploma Sains Komputer ini.