Produk Kecantikan Organik

KULIT adalah organ terbesar tubuh dan ia juga umpama ‘perisai’ yang melindungi diri daripada pelbagai elemen luar yang agresif seperti persekitaran, selaran cahaya matahari dan penggunaan pelbagai produk kosmetik.

Sudah terbukti sebelum ini dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik seluruh dunia bahawa apa saja produk yang diletakkan pada kulit akan memasuki tubuh.

Oleh itu, setiap kali ingin menyapu sesuatu pada kulit, kita perlu berfikir terlebih dulu sama ada produk berkenaan bersifat semula jadi, selamat dan tidak memudaratkan kesihatan.

Sejak 50 tahun lalu, ribuan bahan kimia sintetik dihasilkan dan terkandung dalam pelbagai produk dari makanan, produk mandian dan sebagainya.

Sudah tentu kita tidak akan dapat mengelak 100 peratus daripada semua produk yang mengandungi kimia sintetik kerana ia sentiasa ada di sekeliling dan sebahagian daripada kehidupan tetapi kita boleh mengurangkan penggunaannya.

Sebagai alternatif, ketika ini, barangan organik semakin popular dan mendapat tempat di hati pengguna tetapi adakah kita sebagai pengguna mengetahui apa sebenarnya produk yang dikatakan sebagai organik.

Produk organik adalah barangan yang diperbuat daripada tumbuhan yang ditanam dan diproses mengikut peraturan spesifik yang ketat.

Ia tidak sama dengan bahan semula jadi lain yang tidak ditanam seperti tanah liat, garam atau air.

Kaedah pertanian organik berjalan seiring dengan ekosistem semula jadi, bukannya melalui kaedah yang cuba menguasai, membuktikan bumi ini bergantung pada keseimbangan yang halus tetapi kompleks.

Dengan menggalakkan hidupan yang pelbagai untuk bertindak sebagai penghapus serangga perosak semula jadi, selain penyumbang nutrien untuk menyuburkan tanah bagi menghasilkan tumbuhan yang kuat dan sihat, kebergantungan terhadap bahan kimia sintetik dapat dielakkan.

Bagi memastikan sesuatu produk itu benar-benar organik, ia perlu melalui satu pemantauan oleh undang-undang seperti diamalkan di Eropah sebelum disahkan dan hanya produk yang diiktiraf boleh menggunakan terma ‘organik’.

Namun apabila bercakap mengenai produk kecantikan dan kesihatan, tiada peraturan sama dikenakan menyebabkan perkataan organik mungkin disalah guna.
Walaupun produk itu

dilabel sebagai organik, ia tidak memberi jaminan bahannya dihasilkan melalui pertanian yang menggunakan kaedah organik.

Maka, daripada membandingkan jenama barang, adalah lebih baik sekiranya pengguna membandingkan logo pengesahan atau melihat sendiri senarai kandungan yang ada dalam produk bagi memastikan ia benar-benar organik.

Dengan menggunakan produk diperbuat daripada bahan organik, jumlah sisa kimia sintetik yang diserap ke dalam tubuh dapat dikurangkan.

Selain itu, bahan organik seperti kandungan semula jadi dan pemakanan yang baik juga mampu memberi rawatan serta kesan lebih baik kepada kulit, tanpa bergantung kepada bahan kimia sintetik.

Bahan organik bukan saja baik untuk tubuh malah kepada alam sekitar kerana pertanian secara organik mengenakan peraturan ketat di mana baja buatan atau baja perosak tidak sesekali dibenarkan, secara tidak langsung mengurangkan jumlah pencemaran kepada persekitaran.

Petani yang menggunakan kaedah organik menggalakkan pertumbuhan tanaman secara sihat dengan tanah yang subur selain menanam pelbagai jenis tanaman.

Mereka juga mencipta habitat pelbagai di kawasan tanaman dan haiwan itu dijaga tanpa diberi sebarang dadah, antibiotik atau ubat cacing seperti yang selalu diberi kepada haiwan yang diternak.

Produk kosmetik yang selamat atau bersifat organik, tidak mengandungi sebarang paraben, pewangi tiruan, organisma ubahsuaian genetik (GMO), silikon, uji kaji ke atas haiwan, phthalates, nano, minyak mineral, asid ethylenediaminetetraacetic (EDTA), propylene glycol, carbomer, DEA, acylates atau butylated hydroxytoluene (BHT)

Menyedari hakikat itu, produk kecantikan dan kesihatan organik dan semula jadi, Neal’s Yard Remedies kini dipasarkan di negara ini dan boleh didapati di cawangan Isetan di pusat beli-belah KLCC, One Utama dan Lot 10.

Setiap bahan dalam produk keluaran jenama itu bukan saja mendapat sijil pengesahan bahan organik malah formulasinya turut mendapat pengiktirafan.

Advanced Apotheke, syarikat yang bertanggungjawab mengedar produk berkenaan di negara ini, bergabung dengan Isetan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan sendiri jenama itu yang turut menjadi pilihan selebriti antarabangsa termasuk pelakon Hollywood, Jennifer Aniston.

Pelopor dalam penghasilan produk kecantikan dan kesihatan organik, Neal’s Yard Remedies diasaskan syarikat milik keluarga warga British dan dibangunkan di kilang mesra alam sekitar di Dorset, England, lebih 30 tahun lalu.

Produk itu tidak menggunakan bahan daripada haiwan, malah ia hanya mengguna pakai bahan yang dihasilkan daripada tumbuhan, tanaman dan minyak hasil dari bahan organik, serta ditanam sendiri di ladang milik keluarga itu.

Peraturan yang ketat dalam penghasilan produk berkenaan, memastikan tiada kimia sintetik digunakan hingga turut menggunakan bunga mawar dan ekstrak propolis serta penggunaan botol biru bergred perubatan sebagai bahan pengawetnya.

Pengarah Pembangunan Jualan Antarabangsa Neal’s Yard Remedies, Jerome Muscat, berkata kepercayaan syarikat kuat terhadap keberkesanan produk organik dibuktikan melalui pelbagai anugerah dan pengiktirafan yang diterimanya pada peringkat antarabangsa dan tempatan.

Katanya, pengiktirafan sangat penting kepada jenama itu memandangkan ia meletakkan piawaian tertinggi untuk semua produk keluarannya demi memberi terbaik kepada pelanggan.

“Kami sudah menerima pelbagai anugerah berprestij dan selama lebih 30 tahun, diterima dengan baik oleh pelanggan dan berharap menerima reaksi positif sama di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Neal’s Yard Remedies, di pusat beli-belah One Utama.

Beliau berkata, setiap bahan organik yang terkandung dalam produk itu mendapat pengesahan daripada The Soil Association iaitu badan terkenal yang meletakkan peraturan ketat terhadap penghasilan produk organik dan yang pertama mendapat pengiktirafan itu bagi produk bukan makanan.

Jenama itu membawa rangkaian produk penjagaan rambut dan kulitnya ke negara ini, selain beberapa produk untuk lelaki dan bayi keluarannya, selain produk pewangi rumah dan minuman teh. Maklumat tambahan boleh didapati dengan melayari www.nealsyardremedies.com.

Leave a Reply

1,115 views