Profesional Merias Wajah

Solekan adalah seni yang penuh keindahan dan keunikan tersendiri. Menghasilkannya memerlukan daya imaginasi tinggi serta paduan teknik yang betul. Ini kerana setiap sentuhan akan memberi kesan dan pengalaman berbeza pada setiap individu.

Daripada sekadar memberikan kesempurnaan wajah sehingga mengubah penampilan mengikut kesesuaian keadaan, sentuhan solekan sama ada semula jadi, glamor, dramatik atau seni mempunyai kekuatan dan keajaiban yang memukau.

Namun begitu, setiap inci pergerakan tangan pada wajah adalah berbeza bergan tung kepada teknik, warna, jenis alat solek serta konsep yang diinginkan.

Menurut jurusolek profesional Nurulhidayah Mohtar, mekap pada dasarnya adalah seni menciptakan keindahan fizik pada wajah termasuk rambut dan kuku. Oleh itu dalam apa juga keadaan solekan berfungsi menampilkan kesempurnaan, keanggunan dan kreativiti bergantung kepada konsep diinginkan.

Kebanyakan wanita hari ini sudah terbiasa dengan solekan ‘cantik’, namun dalam sesetengah keadaan solekan seni mampu menonjolkan kelebihan, mencipta karakter, mengangkat daya imaginasi jurusolek serta memberikan sesuatu yang berbeza kepada wanita.

Walaupun ia tidak sesuai untuk hari-hari biasa, namun siapa tahu untuk jangka masa 10 atau 20 tahun akan datang solekan seni menjadi trend atau gaya terkini wanita.

Berpengalaman dalam menghasilkan solekan dramatik dan seni untuk drama, filem serta pertunjukan fesyen pentas, Nurulhidayah menjelaskan solekan seni biasanya dihasilkan bergantung kepada konsep diinginkan. Sama ada untuk majlis bertema, pertunjukan fesyen atau acara yang memerlukan seseorang wanita tampil berbeza atau luar biasa.

“Solekan jenis ini langsung tidak terikat kepada peraturan atau disiplin sebaliknya mengundang daya imaginasi serta kreativiti jurusolek dalam membuat lakaran. Tiada salah atau betulnya kerana semakin berani corak atau warna dihasilkan ia menandakan ketinggian kreativiti mereka yang menghasilkannya,” jelasnya.

Di Barat, penggunaan alat solek daripada rona gelap seperti hitam, kelabu, keemasan dicampur dengan warna terang seperti jingga atau merah yang dilakar pada wajah memberikan keunikan tersendiri. Jurusolek menggunakan kreativiti menghasilkan lakaran dengan tambahan perhiasan seperti manik, batu permata, serbuk berkilat, reben bagi mewujudkan penampilan berbeza.

“Penggunaan bahan kosmetik yang tepat melalui kaedah pemakaian bersesuaian mampu mengubah wajah menjadi lebih anggun dan jelita. Melalui teknik merias wajah secara profesional akan memperlihatkan gaya solekan terkini serta perubahan diinginkan,” katanya yang menunjukkan solekan menggunakan manik pada wajah model.

Jelasnya lagi, solekan yang dihasilkan sesuai untuk pertunjukan fesyen pentas serta acara bertema yang memerlukan seseorang itu berdandan lain daripada lain. Dalam hal ini kreativiti sangat diperlukan selain daripada memilih rona sepadan.

“Untuk solekan yang dihasilkan, saya menyolek model terlebih dulu menggunakan gaya solekan glamor iaitu dengan memberikan tumpuan pada mata menerusi rona pembayang mata. Saya menggunakan warna pastel seperti coklat, kelabu dicampur ungu dan biru. Sapuan celak sedikit tebal pada hujung ekor mata bagi memberikan kesan dramatik dan anggun manakala bibir lebih menyerlah dengan rona merah,” katanya.

Selepas solekan siap, Nurul membuat lakaran pada bahagian pipi kiri menggunakan celak. Lukisan dihasilkan mengikut kreativiti tanpa membuat contoh lakaran terlebih dulu. Ini kerana idea secara spontan adalah lebih kemas dan kreatif berbanding secara terancang.

“Namun, saya membuat sedikit kajian mengenai konsep yang akan diketengahkan supaya tidak terlalu berbeza apabila memadankan dengan warna pembayang mata. Lakaran sangat penting kerana ini akan mencerminkan sejauh mana seseorang itu mampu menghasilkan solekan lain daripada lain,” jelasnya.

Manik dan serbuk berkilat diletakkan di atas alis bagi mewujudkan kesan dramatik tambahan.

“Gunakan gam supaya manik melekat dengan baik pada kulit. Ini sangat penting supaya solekan tampak kemas dan meyakinkan,” katanya yang menggunakan rona merah pada bibir supaya lebih seksi dan menggoda. Supaya tidak nampak kosong ikatkan reben pada kepala.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

474 views