Promosi Bisnes Melalui Internet, Media Massa

DARIPADA luar rumah teres tiga tingkat itu biasa saja, sama seperti rumah lain.Tetapi sebaik saja menjejakkan kaki ke bahagian dalam ia ibarat sebuah butik pengantin yang indah. Lengkap dengan dekorasi pelamin menghiasi perkarangan ruang tamu, dua kerusi bersama bunga-bungaan rona ungu mengelilingi dinding, serta lampu menghiasinya.

Menjenguk pula ke tingkat bawah, menempatkan helaian padanan persalinan raja sehari pelbagai warna serta sebuah bilik dengan peralatan alat solek. Sepanjang jalan menuju tangga terdapat bingkai gambar memaparkan himpunan terkini busana pengantin miliknya.

Hanya tingkat atas saja menjadi ruang privasi untuk keluarga ini. Pendek kata rumah yang dibeli sekitar 2008 ini bukan saja menempatkan sebuah keluarga, tetapi menjadi lokasi pertemuan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat serta berbincang mengenai majlis perkahwinan membabitkan busana pengantin, pelamin, hantaran dan juga solekan.

Bagi pemilik Zaifie Zainal Creation, Zaifinidza Zainal Abidin, pengalaman membuka butik pada 2006 di Bandar Tun Razak dan pada masa sama bergelar ibu kepada dua anak menyebabkan dia mengambil keputusan membuka butik di rumah.

Walaupun ketika itu perniagaan yang diusahakan bersama suami, Tunku Ariff Tunku Ulin mula menampakkan hasil, memikirkan dua anak yang masih kecil serta tidak memiliki pembantu rumah menyebabkan dia dan suami mencari rumah sesuai bukan saja untuk penempatan, tetapi membuka sebuah butik.

“Ketika itu nasib menyebelahi kami apabila dapat membeli sebuah rumah teres tiga tingkat dengan lima bilik, sesuai menempatkan peralatan perkahwinan dan pada masa sama menjadi pusat pertemuan pelanggan,” katanya.

Zaifinidza yang memulakan perniagaan menerusi laman fotopages mengakui kebanyakan pelanggannya menerusi Internet dan mereka hanya membuat temu janji selepas waktu bekerja iaitu sekitar jam 6 petang ke atas. Atas alasan terpaksa menunggu hingga ke malam ditambah pula keselesaan anak-anak yang turut dibawa ke butik menjadi sebab utama dia membuka butik di rumah.

“Di butik saya terpaksa menunggu sehingga jam 9.30 malam dan ini mengganggu masa bersama suami dan anak-anak. Begitu juga pada hujung minggu saya terpaksa berkerja sehingga lewat malam kerana pelanggan lebih ramai datang ke butik,” katanya.

Kini, selepas tiga tahun mengusahakan butik pengantin di rumah, dia semakin selesa kerana dapat melakukan tiga tugasan serentak iaitu isteri, ibu dan perancang majlis perkahwinan.

Akui Zaifinidza, paling penting dia mempunyai 24 jam bersama dua anaknya Tunku Harris Karmahani, 8, dan Tunku Lisa Nur Zahraa, 6, menguruskan persekolahan, keperluan harian serta menjaga makan minum suami yang turut melepaskan jawatan sebagai pensyarah di kolej swasta semata-mata ingin membantu isteri.

“Rutin harian saya bermula seawal pagi, menyiapkan sarapan dan menyediakan kelengkapan sekolah mereka. Selepas itu mengemas, membasuh dan memasak. Selesai semuanya barulah saya menyelesaikan urusan pelanggan, mengambil tempahan dan membuat temujanji. Pada jam 6 hingga 8 malam saya peruntukkan bersama keluarga manakala 8.30 hingga 9 malam waktu bertemu pelanggan. Ketika ini saya mempunyai masa bersama pelanggan. Sambil menunggu, ahli keluarga yang datang bersama boleh menonton televisyen di ruang disediakan,” jelasnya mengenai rutin seharian.

Bagi menempatkan peralatan besar seperti pelamin, dia menyewa sebuah kedai bagi memastikan ruang di rumah tidak digunakan sepenuhnya. Setakat ini tiada masalah kerana anak-anak memahami kawasan yang boleh dijadikan tempat permainan dan kawasan pejabat. Jika sesekali keluarga atau saudara berkunjung ke rumah, Zaifinidza memastikan pelanggan tidak datang pada waktu itu.

Baginya semua itu boleh diatur memandangkan dia berada di tempat yang sama iaitu rumah dan tidak perlu bergegas ke tempat lain.

“Setakat ini jiran juga tiada masalah malah ada yang tidak tahu saya membuka butik disebabkan keadaan sama saja kerana kebanyakan pelanggan tidak datang pada waktu sama,” ujarnya yang mengakui apabila anak-anak sudah besar dan boleh berdikari dia akan mempertimbangkan membuka butik semula bagi mengembangkan lagi perniagaannya.

Bagi pemilik butik Whatalovelywedding, Nur Fathinatul Huda Md Nor, yang mengambil keputusan membuka butik di Shah Alam, selepas tujuh tahun menjalankan perniagaan menerusi dalam talian mengakui ketika itu sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan.

Banyak tempahan pelamin dan hantaran diterima terutama pada musim cuti sekolah.
Namun selepas enam bulan beroperasi, keadaan menjadi tidak terurus terutama memikirkan anak-anak yang semakin kurang waktu bersama serta terpaksa dibawa ke butik apabila tiada orang menjaga.

“Saya kasihan melihat anak-anak kerana terpaksa ditinggalkan di taska apabila saya bekerja. Melihat keadaan mereka yang tidak terurus serta kebanyakan pelanggan membuat temu janji pada hujung minggu dan selepas waktu kerja, saya dan suami memutuskan mengusahakan butik di rumah,” katanya yang memilih rumah teres dua tingkat sebagai lokasi.

Rumah empat bilik itu dibahagi dua iaitu keseluruhan ruang tamu dijadikan butik dan stor, manakala tingkat atas untuk keluarga. Dengan cara ini, kedua-dua pihak sama ada pelanggan, suami, Mohd Azmi Maarif, serta anak-anak lebih selesa dan mempunyai ruang privasi sendiri. Oleh kerana bilik di rumah agak terhad, Fathinatul turut menyewa sebuah rumah dijadikan stor menyimpan peralatan pelamin.

Kini selepas hampir dua bulan mengusahakan butik di rumah, dia mengakui lebih selesa kerana mampu menyelesaikan dua tugasan serentak iaitu ibu dan juga usahawan. Walaupun mempunyai anak kecil, Azmihani Al Rayyan, 4, dan Salsabeel Jannah Al Rayyan, 2, namun mereka tidak mengganggu urusan kerja. Mereka faham barang butik dan hantaran pelanggan adalah barang larangan.

Begitu juga pembahagian masa bersama anak-anak. Keadaan ini berbeza ketika dia membuka butik dulu kerana terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah dan hanya bertemu mereka pada waktu malam saja.

“Sekarang saya tidak perlu terkejar-kejar ke butik kecuali sekiranya ada majlis perkahwinan yang memerlukan saya menghias pelamin. Apabila ada temu janji, saya akan pastikan anak-anak dihidangkan makanan, disusukan serta diberikan bahan bacaan, peralatan melukis, mewarna, bermain kraf atau permainan yang membina minda dan kreativiti mereka. Kebiasaannya waktu bertemu pelanggan selepas bekerja dan saya hadkan sehingga jam 9 malam saja,” katanya.

Sebagai isteri dan ibu, Fathinatul melihat tanggungjawab kedua-duanya lebih utama. Perniagaan hanyalah usaha membantu menjana pendapatan sampingan keluarga justeru, seorang isteri, ibu dan usahawan perlu bijak membahagikan masa antara tanggungjawab menguruskan keluarga dan pelanggan.

“Saya menetapkan tiga cara promosi iaitu membalas e-mel, mengemas kini blog, membuat kajian dan membalas pesanan menerusi facebook. Kebiasaannya pada awal pagi sebelum anak anak bangun, tengah hari ketika mereka tidur dan malam selepas mereka tidur. Sebolehnya masa berkualiti bersama anak-anak digunakan sepenuhnya, kerana mereka juga tidak gemar ibu mereka bekerja saja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, menjadi kebiasaan anak-anak akan ada kerenah tersendiri apabila bersama ibu di rumah.

“Sekiranya anak-anak mengganggu, biasanya saya berhenti bekerja dan memberi perhatian kepada mereka. Ini kerana saya memberi keutamaan kepada anak-anak supaya mereka tidak rasa terabai. Paling penting terangkan keadaan kerja dan lama-kelamaan mereka akan faham,” katanya.

Wanita yang dulunya bergelar jurugambar ini mengakui setiap apa yang dilakukan ada kebaikan dan keburukannya. Apabila membuka butik, ia memberi lebih peluang kepada pelanggan mengetahui perniagaan dijalankan. Malah kebarangkalian mendapat pelanggan yang kebetulan melalui butik memang tinggi.

Apabila membuka butik di rumah, dia perlu bekerja keras membuat lebih banyak promosi terutama di Internet dan media massa. Namun kos untuk membuka butik di rumah lebih murah berbanding kedai.

Walaupun bekerja sendiri di rumah, Fathinatul tetap menjaga penampilan seperti mana di pejabat. Ini kerana ia memberi semangat untuk lebih bersikap profesional serta aura bekerja dengan gigih. Perlu ada ruang pejabat sendiri untuk menyelesaikan urusan pelanggan seperti mengemas kini akaun dan temu janji bersama pelanggan.

Bagi memudahkan urusan, Fathin turut mengambil dua pekerja tetap yang datang setiap hari menguruskan kerja di butik dan tempahan pelanggan.

“Jadi, masa dan kerja saya bertambah mudah dan dapat mengurangkan bebanan kerja. Saya juga mempunyai banyak masa menyertai persatuan seperti Jaringan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (Wena) dan Jaringan Perniagaan Wanita dan Ibu serta berpeluang mengembangkan lagi perniagaan,” jelasnya yang memikirkan akan membuka butik semula selepas anak-anak sudah mampu berdikari.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,115 views