Puas Bantu Golongan Gelandangan

Dipertemukan dengan golongan kurang bernasib baik yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, ternyata memberi seribu keinsafan juga inspirasi kepada kumpulan sukarelawan ini untuk tampil memberi bantuan.

Malah, kumpulan sukarelawan disertai 10 individu ini sanggup mengeluarkan wang sendiri termasuk duit gaji dan simpanan semata-mata mahu melihat golongan yang dibantu itu hidup dalam kegembiraan.

Mereka juga berkorban masa lapang pada hari minggu dan selepas waktu bekerja untuk sama-sama meringankan beban ditanggung golongan kurang bernasib baik.

Pada masa terluang, kumpulan yang bergerak aktif sejak setahun lalu ini mengadakan pertemuan untuk membuat perbincangan termasuk dari segi pengumpulan dana dan pelbagai peralatan yang bakal disalurkan kepada golongan memerlukan itu.

Antara bantuan kepada golongan kurang bernasib baik itu termasuk wang tunai, baju, peralatan sekolah, makanan serta minuman.

Salah seorang sukarelawan kumpulan terbabit, Leia Az-Zahra Justin Abdullah, 33, mengakui kepayahan golongan terbabit menjalani kehidupan seharian biarpun sekadar mahu memperoleh makanan seharian, membuatkan dirinya sangat bersyukur.

“Melihat anak kecil yang menempuh hidup susah bersama keluarga tersayang, malah adakalanya terpaksa mengikat perut selama beberapa hari, benar-benar menginsafkan saya.

“Atas tanggungjawab ini, kami tampil memberi sedikit sumbangan kepada mereka dengan meluangkan masa melawat anak-anak yatim dan susah di rumah kebajikan serta membantu golongan gelandangan,” katanya.

Leia yang menjalankan perniagaan sendiri berkata, bantuan kepada golongan sedemikian cukup memberikannya kepuasan, malah semangatnya terus menebal untuk terus menghulurkan bantuan.

Setiap minggu, dia dan rakannya yang lain akan berkumpul untuk membincangkan agenda seterusnya membantu golongan terbabit.

Dia akui meskipun ahli kumpulannya hanya bekerja dengan pendapatan sederhana, mereka tetap mempunyai semangat tinggi untuk melakukan kerja amal dengan hanya mengeluarkan wang sendiri.

“Kami tidak berkira soal duit kerana bagi kami, wang boleh dicari, tetapi kasih sayang sesama insan sukar dicari ganti. Melakukan kerja kebajikan ini juga sebenarnya mampu mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya.

Leia berkata, walaupun tidak berdaftar sebagai badan bukan kerajaan (NGO), mereka akan berusaha mendapat dana menggunakan wang sendiri selain menerima bantuan daripada ahli keluarga dan rakan yang sudi menghulurkan bantuan.

Ajar membaca dan menulis

Bagi eksekutif undang-undang, Emma Suhada Abd Rahman, 32, dia bersama kumpulan terbabit juga memberi didikan kepada kanak-kanak kurang kurang berkemampuan selain memberi sumbangan peralatan menulis dan buku kepada mereka.

Usaha itu mungkin tampak kecil, tetapi ia diharap dapat membantu si kecil itu daripada tercicir dalam pelajaran.

“Kebanyakan golongan kurang berkemampuan ini tercicir dalam pelajaran kerana tidak mampu membeli peralatan sekolah, malah mereka juga tiada wang untuk membayar yuran persekolahan. Atas inisiatif ini, kami turut meluangkan masa mengajar mereka teknik membaca.

“Kanak-kanak yang tidak pernah melihat peralatan menulis ini begitu teruja mendapat bantuan, malah mereka juga menunjukkan minat yang mendalam untuk belajar,” katanya.

Menurutnya, bantuan peralatan itu juga dapat mengajar mereka membaca dan menulis serta memberi inspirasi untuk terus belajar.

Kebiasaannya, kumpulan mereka meluangkan masa beberapa jam di hujung minggu dan selepas waktu bekerja dengan berkunjung ke rumah anak-anak yatim dan bertemu dengan golongan gelandangan untuk mengajar.

“Ada kalangan anak-anak gelandangan tidak tahu membaca justeru, kami berusaha membantu mereka supaya dapat membaca dan menulis.

“Kami berharap projek yang baru diusahakan ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan mereka mengubah nasib kehidupan keluarga masing-masing,” katanya.

Dia akui, golongan terbabit juga kebiasaannya mempunyai semangat yang tinggi dalam pelajaran, malah turut melahirkan keinginan untuk meneruskan persekolahan sekiranya ada pihak membantu.

Tidak ketinggalan, kumpulan terbabit turut membantu pelarian Rohingya yang semakin ramai di negara ini selain menghulurkan bekalan makanan kepada penduduk Somalia.

Katanya, segala bantuan itu dihulur atas dasar perikemanusiaan bagi membantu komuniti terbabit keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Bantuan itu juga sekurang-kurangnya dapat menggembirakan hati mereka dan merealisasikan impian untuk mendapatkan barangan yang diperlukan,” katanya.

Dekati kepayahan insan lain

Bagi Aisyah Standley yang bekerja sebagai tutor bebas dan penulis buku, dia amat simpati dengan golongan gelandangan apabila ada antara mereka terpaksa tinggal di bawah jambatan bersama anak-anak yang masih kecil.

Setiap kali berkunjung ke kawasan gelandangan, hati kecilnya menangis kerana melihat si kecil yang comot hidup dalam persekitaran yang kotor.

“Ada antara mereka yang meluahkan perasaan sedih kerana tidak mampu menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada keluarga masing-masing memandangkan pendapatan kecil dan kos hidup yang tinggi di bandar.

“Untuk menambah pendapatan, mereka terpaksa membuat kerja sampingan mengutip tin kosong untuk membeli barangan keperluan seharian,” katanya.

Menurutnya, atas kesedaran itu, dia turut membawa anak-anak dan pelajarnya melawat komuniti kurang bernasib baik berkenaan untuk mendekati kehidupan mereka.

“Dengan melakukan kerja amal bersama anak, sekurang-kurangnya ia turut mendedahkan mereka kepada kehidupan sebenar golongan yang sangat memerlukan ini. Ia diharapkan dapat memupuk kesedaran untuk membantu golongan terbabit menerusi apa saja bantuan sama ada makanan, wang tunai dan keperluan lain.

“Saya juga sentiasa menerapkan sikap kasih sayang kepada anak-anak dan pelajar apabila membawa mereka untuk melakukan kerja amal ini,” katanya yang turut menggalakkan sesiapa saja untuk sama-sama membantu bagi meringankan beban yang ditanggung golongan memerlukan itu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

543 views