Puas Kreativiti Mampu Dizahirkan

Melihat kecekapan wanita ini menggerakkan nozzle sambil memicit aising krim mentega di atas sebiji kek coklat yang sudah siap dibakar, ia seakan satu kerja yang mudah. Tidak sampai 30 minit, hiasan patung Barbie ‘dipakaikan’ gaun kembang selesai dilakukan.

Walaupun nampak ringkas, sebenarnya setiap langkah dalam penghasilan hiasan memerlukan ketelitian terutama dari segi pemilihan warna krim mentega serta bentuk picitan.

Menurut pemilik My Mum’s Bakery Siti Saleha Idris, 32, hiasan patung Muslimah kini menjadi trend serta pilihan ramai terutama kanak-kanak bagi sambutan hari lahir mereka. Namun begitu teknik menghias memerlukan masa yang lama berbanding patung biasa. Ini kerana penghasilan baju yang lebih menyeluruh iaitu menutup aurat begitu juga teknik penggayaan tudung menggunakan fondant bagi mengelak ia cair atau tanggal.

“Kek hiasan patung Muslimah memerlukan lebih kesabaran dan ketelitian dalam menghasilkannya. Ini kerana walaupun menggunakan teknik yang sama, bahan digunakan berbeza. Fondant lebih sensitif dan mudah tanggal. Meletakkannya pada badan patung haruslah berhati-hati,” katanya.

Jika sebelum ini pemegang diploma daripada Sekolah Antarabangsa Sugarcraft dan Menghias Kek ini hanya menumpukan perhatian kepada teknik penghasilan kek yang sedap, dengan meningkatkan kemahiran menerusi seni menghias ia mampu memberikan kepuasan apabila idea serta kreativiti mampu dizahirkan di atas sebiji kek.

Lebih istimewa apabila hiasan bercirikan Muslimah ini jarang diperoleh di kedai kek biasa dan hanya eksklusif menerusi tempahan.

Dia yang meminati bidang masakan sejak kecil menjelaskan seni menghias kek menggunakan krim mentega bermula dari Barat. Ia dipengaruhi beberapa faktor antaranya pemilihan bahan, peralatan, teknik hiasan, kesabaran serta ketelitian sepanjang proses menghias. Paling penting, pemilihan warna krim mentega yang tidak melebihi daripada tiga warna.

“Penghias kek sama seperti pereka fesyen yang tahu mengenai pemilihan warna, fabrik serta potongan sesuai. Begitu juga dengan seni menghias yang memerlukan kreativiti dari segi pemilihan warna krim mentega serta perhiasan digunakan. Untuk nampak cantik, warna krim tidak harus terlalu terang dan mampu menarik perhatian,” ujarnya yang menggunakan resipi turun temurun daripada ibunya.

Jelas Anne, walaupun seni menghias satu bakat yang boleh dipelajari dan dipraktikkan, untuk melahirkan daya kreativiti, individu harus menimba ilmu terutama mengenai asas dekorasi. Apabila sudah menguasainya, barulah bakat seni ini dapat diserlahkan. Ia ibarat anak kecil yang baru belajar membaca, apabila sudah pandai bertambah ilmu pengetahuan yang dapat dipelajarinya hanya menerusi pembacaan.

“Saya percaya dengan kesungguhan dan sedikit kreativiti, sesiapa saja mampu menghasilkan kek yang cantik dan sedap. Malah dengan minat dan usaha untuk berlatih membuat hiasan, lama-kelamaan mereka akan mahir dan mengetahui selok-belok seni menghias menggunakan krim mentega,” katanya yang menerima tempahan kek pengantin seperti kek fondant, mentega, coklat, dan kek cawan untuk cenderahati.

Tambahnya, untuk menghias apa yang harus difikirkan ialah konsep majlis sama ada dikhususkan untuk dewasa atau kanak-kanak. Misalnya untuk majlis hari jadi kanak-kanak, kek dengan hiasan watak kartun, bola sepak atau kereta menggunakan warna ceria mampu menarik perhatian.

“Lumrahnya, kanak-kanak sukakan kek berwarna-warni dengan hiasan cip coklat dan marshmallow bersama barangan permainan kecil. Jadi terpulang pada kreativiti pembuat kek untuk menghasilkan hiasan,” ujarnya yang turut mengadakan kelas membuat kek di rumahnya di Subang.

Selain kek hari jadi, Anne juga banyak menerima tempahan untuk kek perkahwinan. Bezanya, pemilihan warna untuk aising harus sama mengikut tema asal majlis. Misalnya jika tema majlis perkahwinan ungu dan putih sebaiknya serasikan kek dengan warna senada. Untuk dewasa, warna lembut seperti merah jambu, hijau muda, putih atau coklat, sesuai digunakan.

Bagi pembaca yang ingin membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai seni menghias kek boleh melayari Facebook My Mum’s Bakery atau berkunjung ke No 13 Jalan Suria, UI5/103, Bandar Pinggiran Subang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,625 views