Pujuk Si Kecil Jika Bosan

Mendekatkan anak dengan hafalan al-Quran pada peringkat usia muda sememangnya sesuatu yang digalakkan, malah dituntut kerana didikan peringkat awal mampu mempersiapkan mereka dengan ilmu akhirat.

Justeru, pasangan suami isteri, Dr Mohamad Nor Sundari, 49, dan Salwana Abd Razak, 48, mengambil inisiatif menubuhkan Akademi Tahfiz Indera Mahkota (ATIM) berpusat di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang bagi meneruskan kelangsungan melahirkan generasi muda celik al-Quran.

Salwana berkata, memiliki anak-anak yang fasih membaca al-Quran dengan tajwid yang betul bahkan pandai pula melagukannya dengan irama taranum indah menjadi impian setiap ibu bapa Muslim.

Walaupun baru memulakan operasi Oktober lalu, Salwana berkata, ATIM mempunyai kelebihan dan keistimewaannya dalam memberi didikan al-Quran kepada kanak-kanak yang mengikuti pengajian di situ.

Jadual bermula seawal jam 8 pagi iaitu pelajar melakukan solat Dhuha dan bacaan kitab al-Mathurat sebelum memulakan aktiviti harian dengan menghafal ayat al-Quran yang baru dan tasmi’ serta talaqqi bersama guru.

Selain itu, katanya, pendidikan agama secara amali termasuk fardu ain, wirid berjemaah, solat dan fardu kifayah turut diajar selain beriadah selepas solat Asar.

“Kanak-kanak mudah dilentur bak kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ dan saya kagum dengan keinginan mereka untuk belajar menghafal walaupun ada antara mereka masih tergagap-gapap.

“Saya amat menghargai usaha ibu bapa yang menghantar anak mereka mendalami ilmu al-Quran kerana bukan semua anak yang mahu menghabiskan masa seharian dengan menghadap kitab,” katanya yang dibantu dua tenaga pengajar berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Salwana berkata, kemahiran menghafal kanak-kanak di situ ditanda setiap hari. Selagi tidak dapat menghafal dengan sebutan betul, mereka tidak dibenarkan menukar surah sebaliknya perlu diulang sehingga lancar.

“Ada waktunya mereka kelihatan bosan dan mula buat perangai tetapi saya mengambil pendekatan positif dengan memeluk dan memujuk mereka dengan kata-kata lembut seperti memujuk anak sendiri.

“Inilah sumbangan saya dan suami sebagai usaha melahirkan dan mendidik serta memberikan bimbingan cara menghafal ayat suci al-Quran,” katanya.

Ketika ditanya mengapa mereka hanya diajar menghafal tanpa memahami maksudnya, Salwana mengakui ia bukan perkara mudah untuk dilakukan kanak-kanak yang masih muda usianya.

“Hafalan mereka juga menjurus kepada juzuk 30 yang mengandungi surah pendek. Jika ia dilakukan sekali (menghafal dan terjemahan ayat), ia boleh mengganggu proses hafazan. Apa yang kami lakukan adalah mendidik mereka mencintai al-Quran, mengajar mereka membaca dengan betul dan lancar dari segi tajwidnya terlebih dulu,” katanya.

Tidak sukar jika minat

Sementara itu, pelajar, Nur Atiqah Zarazillah, 14, berkata, dia gembira kerana cuti sekolah yang panjang baru-baru ini dapat dimanfaatkan dengan mendekatkan diri pada al-Quran.

“Ibu mendaftarkan saya untuk mengikuti kelas hafazan di sini. Daripada membuang masa tidak tentu hala, lebih baik saya gunakannya dengan membaca dan menghafal al-Quran bersama rakan.

“Sebagai anak tunggal saya tidak mempunyai rakan berbual di rumah. Justeru, saya gunakan sepenuh masa di sini untuk berkawan dan bertukar fikiran selepas waktu belajar,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad ini.

Nur Atiqah yang sudah membaca 13 juzuk al-Quran berkata, menghafal tidak sukar jika disertai minat dan bersungguh-sungguh melakukannya.

“Ustaz dan ustazah tidak memberi tekanan, sebaliknya mengajar dengan lembut menggunakan teknik yang sesuai dan mudah diterima.

“Saya yakin menghafal al-Quran akan memberi kekuatan untuk menjalani kehidupan ini kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai panduan untuk manusia hidup di dunia dan akhirat,” katanya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Mahkota Utama Abdullah Alif Samsuddin, 11, pula berkata, minat untuk menyertai kelas hafazan itu bermula daripada semangat ingin tahu bagaimana bermulanya proses hafalan.

“Saya selalu mendengar orang bercerita mengenai hafazan al-Quran tetapi saya tidak memahami maksudnya. Jadi pada cuti sekolah, baru-baru ini, saya meminta kebenaran ibu dan ayah untuk ke kelas ini.

Alhamdulillah mereka bersetuju dan membenarkan saya mengikuti kem ini bersama kakak (Adlina Syafiqah, 14) dan abang (Abdullah Hazim,12),” katanya.

Abdullah Alif berkata, kelas itu benar-benar memberi manfaat dan menyedarkan diri mereka mengenai kepentingan membaca dan menghafal al-Quran sebagai bekalan dan pedoman hidup serta menghindarkan perbuatan dilarang.

“Selain menghafal al-Quran, kami juga diajar solat berjemaah, tahajud, tajwid yang betul dan memperdengarkan hafalan di hadapan guru. Seronok dapat belajar di sini kerana ini satu permulaan bagi kami untuk menjadi insan yang celik dan cintakan al-Quran,” katanya.

Ahmad Mustaqim Mohd Nor, 12, berkata, dia berminat menyertai kem hafazan itu bagi mempertingkatkan lagi mutu bacaan ayat suci al-Quran.
“Bagi saya, lebih baik belajar menghafal al-Quran berbanding melayari Internet atau menonton televisyen sepanjang masa.

“Kem ini tidak lama, jadi saya perlu gunakan masa sepenuhnya memperbaiki mutu bacaan saya dan saat paling gembira apabila dapat membaca al-Quran depan ustaz dan ustazah kerana mereka boleh membetulkan terus mana-mana bacaan yang silap atau kurang tepat,” katanya yang bersekolah di Sekolah Rendah Islam al-Irsyad.

Haris Mohd Norrani, 8, dan adiknya Haikal, 6, ternyata mempunyai pengalaman menarik kerana mereka berdua berasal dari Ulu Langat, Selangor yang kebetulan pulang bercuti ke kampung.

“Masa mula-mula datang ke sini, rasa takut juga sebab kami tidak kenal rakan lain tetapi ustazah pujuk dengan mengatakan orang bijak tidak boleh takut. Ustazah juga kata, Allah sayang orang yang suka baca al-Quran,” katanya.

Menurutnya, saat paling digemari ketika menghafal surah beramai-ramai berbanding membaca di hadapan guru.

“Kalau tak pandai boleh ikut kawan tapi kalau depan ustazah kena tunggu ustazah baca dulu sebelum ikut dan hafal,” kata murid SK Tun Abdul Razak Majid, Ulu Langat ini.

Murid SK Indera Mahkota Utama, Wan Nabila Syafiah Wan Zain, 10, pula berkata, dia terpanggil menyertai kelas hafazan itu bagi memenuhi masa lapangnya.

“Walaupun tempoh belajar hanya 10 hari, sekurang-kurangnya sebahagian daripada cuti itu saya manfaatkan dengan cara yang betul iaitu dengan menghadiri kelas ini.

“Selain itu, saya dan adik (Wan Haziq Sufyan, 8) dapat ramai kawan baru. Kami dapat belajar dan bermain bersama-sama setiap hari dan ia sesuatu yang menyeronokkan berbanding duduk di rumah saja,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,867 views