Pulangan Lumayan Setiap Bulan
Bukan saja reka bentuk yang menarik hati dan cantik, malah rasa enak membuatkan coklat buatan ibu tiga anak ini menjadi rebutan ramai.
Untuk menghasilkan coklat yang dapat menawan hati penggemarnya, pemilik jenama ArahChocolate dan Bakery, Siti Zahrah Mat Zain, 39, sentiasa membuat perubahan bentuk coklat dengan kreativiti sendiri.
Dia kreatif dalam menghasilkan pelbagai coklat selain mengekalkan keaslian rasa seakan-akan coklat jenama terkenal dan mahal yang ada di pasaran.
Untuk itu, Siti Zaharah tidak jemu menambah pengetahuan daripada ramai guru dan membuat kajian melalui Internet supaya coklat buatannya menjadi sebutan.
Katanya, pada masa ini coklat buatan tangan semakin banyak di pasaran dengan kemunculan ramai usahawan kecil yang kebanyakannya berlumba-lumba menghasilkan pelbagai jenis dan bentuk coklat. Bukan saja suri rumah, malah wanita bekerja juga tidak melepaskan peluang ini dengan menghasilkan pelbagai jenis coklat.
Ini kerana perniagaan coklat mampu memberi pendapatan lumayan bagi menampung kos hidup yang semakin meningkat.
Siti Zaharah berkata, dia bersyukur kerana setiap hari menerima banyak tempahan sehingga tidak menang tangan untuk membuatnya.
Coklat yang diusahakan dari rumah sejak empat tahun lalu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar mendorongnya untuk melakukannya sepenuh masa.
“Saya berhenti kerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta sejak empat tahun lalu kerana tiada masa untuk memenuhi tempahan dan membahagikan masa bersama anak.
“Ketika itu, saya hanya mengambil sedikit tempahan, tetapi masih tidak cukup masa menyiapkan tempahan. Setiap hari saya hanya tidur dua atau tiga jam saja. Akhirnya saya nekad berhenti kerja dan memberi tumpuan penuh kepada perusahaan ini selain turut menghasilkan biskut, hamper dan kek,” katanya.
Menurutnya, dia membuat pelbagai jenis makanan kerana tahu setiap satu mempunyai penggemarnya tersendiri dan kebanyakan pelanggan akan datang lagi untuk membuat tempahan.
Pembabitannya dalam pembuatan coklat dan pelbagai produk makanan itu boleh dikatakan sebagai ‘bidan terjun’ kerana tiada kemahiran langsung, tetapi semangat untuk bekerja dari rumah demi membesarkan tiga anak membuatkan dirinya nekad melakukan sesuatu walaupun tahu ia mempunyai risiko tinggi.
Minat mendalam dan semangat untuk memeriahkan lagi dunia perniagaan coklat, dia sanggup belajar dari bawah apabila menghadiri beberapa kursus anjuran Lembaga Koko Negara, guru persendirian dan rujukan di Internet.
Katanya, kebanyakan gurunya berada di Kuala Lumpur, namun dia juga sanggup mempelajari teknik membuat coklat yang lebih rumit di negeri lain.
Walaupun agak jauh dan memenatkan, dia tidak pernah berputus asa untuk meningkatkan kemahiran diri kerana hanya orang terpilih saja yang dapat melakukan perkara itu.
“Tidak semua orang dianugerahkan dengan kemahiran ini kerana hanya mereka terpilih saja yang dapat mempelajari dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan.
“Kemahiran ini juga perlu dikongsi dengan orang ramai supaya ia bertambah dan saya juga membuka peluang kepada orang lain untuk mempelajari teknik membuat coklat melalui kelas pada hujung minggu, cuti sekolah dan hari biasa.
“Bukan saja wanita negara ini yang datang untuk mempelajari teknik ini, malah masyarakat Brunei dan Singapura juga sanggup bersusah payah datang ke rumah saya di Taman Puncak Jalil. Biasanya mereka datang ketika musim cuti panjang seperti cuti persekolahan,” katanya.
Apa yang lebih menggembirakan, ramai pelajarnya yang sudah mempunyai perniagaan sendiri. Malah, dia turut mengajar teknik pembungkusan yang betul.
Tidakkah bimbang pelajarnya akan menjadi pesaing kepada perniagaan yang diusahakan? Siti Zaharah tersenyum dan menggeleng kepala. Baginya rezeki itu milik Allah sepenuhnya jadi tidak timbul soal rezeki berkurang jika ada pesaing dalam perniagaan. Malah, ilmu yang ada padanya itu hanya dipinjamkan seketika dan rugilah jika ia tidak dikongsi dengan orang lain.
Katanya, dia bersyukur kerana niat murninya yang mahu bekerja dari rumah dan menguruskan rumah tangga membawa tuah kerana mampu memberi pulangan lumayan setiap bulan.
“Setiap hari ada tempahan dan saya tidak menang tangan untuk menyiapkannya walaupun sudah dibantu suami, Rozaimi Alias yang turut mengambil keputusan berhenti kerja dari sebuah bank setahun lalu,” katanya.
Siti Zaharah berkata, dalam pembuatan coklat dan biskut, rasa yang konsisten amat penting. Dia tidak mahu pembeli berasa tertipu kerana tidak mendapat seperti yang diidamkan. Oleh itu, acuan khas disediakan bagi membuat adunan coklat supaya tidak timbul masalah terkurang atau terlebih bahan.
Bukan saja rasa yang enak dan sama, malah reka bentuk menarik juga menjadi faktor produk buatannya menjadi pilihan apabila mempelbagaikan bentuk dan warna mengikut permintaan.
Kepelbagaian warna menarik perhatian penggemar kerana bukan saja boleh dijadikan sebagai makanan sendiri, malah diberikan hadiah kepada insan tersayang.
Antara bentuk yang dihasilkan ialah masjid, kotak berpenutup, bakul, hati dan sebagainya mengikut kreativiti sendiri selain dibantu acuan yang dibeli khas dari luar negara.
Walaupun harga acuan itu agak mahal, ia amat berbaloi kerana dapat menarik hati penggemar yang sukakan keunikan bentuk coklat dihasilkannya. Disebabkan faktor ini coklat buatannya menjadi pilihan ramai dan kerap ditempah untuk pelbagai majlis termasuk hari jadi, hantaran kahwin dan majlis rasmi.
“Sebelum menghidangkannya kepada orang lain, kita terlebih dulu perlu merasai masakan sendiri sama ada sedap atau tidak. Kalau kurang enak, maka ia tidak layak untuk dijual,” katanya.
Siti Zaharah atau lebih dikenali sebagai Arah berkata, produk buatannya bukan saja dipasarkan di dalam negara, malah di negara jiran. Untuk menghantar coklat ini perlu menggunakan teknik pembungkusan yang betul kerana tidak mahu ia cair dan rosak. Malah coklat buatannya tahan dalam tempoh yang lama iaitu enam bulan.
Bagi mereka yang berminat sama ada untuk menempah coklat ataupun menghadiri kelas membuat coklat, anda boleh layari www.arahchocolate.blogspot.com.