Pulih Posisi Badan

Senaman ketika mengandung mampu meningkatkan stamina bakal ibu, malah, ia turut membantu memudahkan proses bersalin.

Apabila bersenam aliran darah menjadi lebih lancar kerana banyak oksigen dihantar ke otak dan seluruh badan yang membuatkan wanita berasa segar dan bertenaga.

Senaman wanita hamil memberi penekanan kepada latihan menguatkan otot, khususnya otot perut dan golongan ibu hamil turut diajar teknik pernafasan yang betul.

Menurut ahli fisioterapi kanan, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Azimah Jamaluddin, asas senaman ketika hamil ialah ia perlu dilakukan secara bersederhana.

Jangan memaksa diri dan perlu berhenti sekiranya berasa tidak selesa untuk mengelak masalah kepanasan berlebihan kerana ia boleh menjejaskan aliran darah ke rahim dan meningkatkan risiko kekurangan air dalam badan. Di sebabkan itu, wanita hamil perlu minum banyak air ketika dan selepas bersenam.

“Sebaiknya senaman dimulakan sejak trimester pertama lagi bagi memberi sokongan kepada ibu hamil agar lebih bertenaga dan sihat.

“Namun, bukan bermakna senaman ibu mengandung menyamai senaman biasa kerana ia perlu disesuaikan dengan keadaan fizikal si ibu,” katanya.

Antara aktiviti perlu dielakkan ialah berlari atau berjoging, senaman regangan keterlaluan, senaman yang menekan atau memberi tekanan pada perut serta angkat berat.

Katanya, paling penting dalam apa juga senaman yang dilakukan adalah memastikan posisi tubuh berada dalam keadaan betul dan baik.

Ketika mengandung, bentuk badan wanita biasanya berada dalam posisi sedikit melengkung bagi menampung berat bayi dikandung.

Lama-kelamaan ia boleh menyebabkan wanita berkenaan mengalami masalah sakit belakang dan lenguh badan terutama apabila usia kandungan semakin sarat.

“Disebabkan itu, senaman boleh membantu mengembalikan posisi badan yang betul bagi mengurangkan masalah sakit belakang yang kerap dialami ramai wanita.

“Sama ada duduk ataupun baring, paling utama tulang belakang perlu berada dalam posisi tegak dan bukan melengkung kerana ia menambah tekanan pada badan dan perut,” katanya.

Di samping itu, untuk mengetahui kaedah senaman betul, sebaiknya ibu mengandung menyertai kelas atau program senaman direka khusus bagi wanita hamil.

Selepas mendapat tunjuk ajar mengenai kaedah yang betul, ia boleh dipraktikkan di rumah bagi keselesaan diri dan juga kandungan.

Untuk mendapat lebih kepastian rujuk kepada doktor terlebih dulu sebelum memulakan sesuatu aktiviti ataupun dapatkan pandangan pakar fisioterapi bagi melakukannya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,765 views